ASM Mara Sasar Jual 30 Juta Unit Dana Bestari (Berita Harian, 17/10/02)
ASM Mara Unit Trust Management Berhad (ASM Mara), mensasar untuk menjual kira-kira 30 juta unit Dana Bestari menjelang hujung tahun tahun ini.
Pengerusi ASM Mara, Datuk Kamaruddin Mohammed, berkata sejak dana amanah berasaskan Syariah itu dilancarkan 3 Oktober lalu, sebanyak 7 juta unit bernilai RM3.5 juta sudah dijual dengan 50 peratus daripada pelaburnya Bumiputera.
Beliau berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran jualan 30 juta unit menjelang hujung tahun ini kerana pelabur kini lebih tertarik untuk melabur dalam dana amanah berikutan risiko pelaburannya yang lebih rendah.
Rakyat negara ini, terutama ibu bapa juga semakin bijak merancang kewangan untuk menjamin masa depan pendidikan anak mereka dengan membuat pelaburan dalam produk yang menawarkan pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan untuk jangka panjang, katanya.
Kamaruddin berkata, ASM Mara ketika ini sedang menilai dan mengkaji portfolio pelaburan secara terperinci sebelum melaburkan dana berkenaan di dalam syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang berlandaskan. Syariah.
"Setakat ini, kami sudah mengenal pasti 32 syarikat senarai awam berpotensi yang terbabit dalam bidang telekomunikasi, pembinaan, perkhidmatan dan makanan.
"Pelaburan hanya akan dibuat berdasarkan penyelidikan dan analisis pasaran bagi membolehkan dana meraih pulangan berpatutan dalam tempoh masa tertentu dengan kadar risiko yang munasabah," katanya.
Beliau berkata, syarikat juga sudah melantik empat pakar dalam bidang Syariah bagi menasihati pengurusan dalam pemilihan portfolio pelaburan yang halal bagi mengelak dana itu dilabur dalam saham syarikat yang bercanggah dengan. syariah.
Kamaruddin berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Dana Bestari peringkat negeri Johor di Johor Bahru semalam.
Pelancarannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Usahawan, Industri Kecil dan Sederhana, Sains dan Teknologi, Johor, Md Salikon Sarpin.
Hadir sama ialah Ketua Eksekutif ASM Mara, Mansoor Ahmad, Pengurus Takaful Malaysia Cawangan Johor Bahru, Abdul Salarn Rani dan Pengarah Mara Negeri Johor, Mohd Rosdi Ismail.
Dana Bestari yang terbuka kepada semua kaum dijual pada harga 50 sen seunit.
Saiz yang diluluskan bagi dana itu ialah 250 juta unit.
Kamaruddin berkata, setakat ini, ASM Mara mempunyai 300 ejen dana itu di seluruh negara, termasuk di 87 cawangan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) dan 100 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
Syarikat itu juga sedang berbincang dengan beberapa bank tempatan lain untuk melantik mereka sebagai ejen kutipan dana itu, katanya.
Beliau berkata, mulai 3 Oktober hingga 31 Oktober ini, pelabur berpeluang menerima unit bonus tambahan sebanyak 2.5 unit bagi setiap pelaburan 100 unit Dana Bestari.
Pemberian unit percuma ini adalah satu galakan untuk melabur dalam tempoh permulaan ini.
"Keistimewaan Dana Bestari ini ialah pemegang unit individu akan mendapat perlindungan takaful bagi pelaburan yang melebihi RM1,000. Perlindungan adalah berdasarkan nilai bersih aset unit yang dipegang tertakluk kepada perlindungan maksimum RM2,000," katanya.