
ASM MARA Unit Trust Management Berhad
(256439)Subsidiari milik-penuh Amanah Saham Mara Berhad
K E N Y A T A A N M E D I A
PENGAGIHAN PENDAPATAN TUNAI 6.0 SEN SEUNIT UNTUK ASM BALANCED FUND
ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) telah mengumumkan pengagihan pendapatan bagi ASM Balanced Fund (ASM Balanced) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2002. Semua 1,360 pemegang unit yang berdaftar sehingga tarikh tersebut layak untuk menerima pengagihan pendapatan ini. Pengagihan pendapatan ini akan dibayar dalam bentuk 6.0 sen tunai bagi setiap unit yang dipegang. Pengagihan pendapatan tahun ini merupakan peningkatan kepada pengagihan pendapatan 2.0 sen unit tambahan pada tahun 2001.
ASM Balanced sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Modal Bumiputra Yang Kesembilan (KMB 9) dan dibuka kepada pelabur Bumiputera sahaja. KMB 9 telah dilancarkan semula pada 1997 sebagai ASM TP Balanced Fund dan dibuka kepada umum. Ekoran daripada pelancaran semula, saiz dana tersebut telah ditingkatkan daripada 20.0 juta (KMB 9) unit kepada 100.0 juta unit.
Pelabur yang melabur 1,000 unit ke atas akan menerima perlindungan insurans nyawa percuma pada kadar RM1.00 bagi setiap unit yang dipegang. Perlindungan minimum ialah 1,000 unit sehingga perlindungan maksimum sebanyak RM200,000.00. Pelabur-pelabur korporat dan institusi akan menerima lima unit percuma bagi setiap 1,000 unit yang dibeli. Kos untuk unit-unit percuma ini adalah ditanggung oleh Pengurus.
Objektif ASM Balanced ialah untuk menyediakan pulangan tetap dan perkembangan modal dalam tempoh sederhana ke panjang.
Polisi pelaburan serta strategi ASM Balanced termasuklah dalam ekuiti dan sekuriti perpendapatan tetap. Dalam keadaan pasaran biasa, tahap pelaburan dalam ekuiti boleh mencapai 60% dan bakinya pula ke dalam sekuriti berpendapatan tetap. Portfolio ekuiti mungkin akan meningkat mengikut masa sehingga 70%:30% ketika keadaan pasaran meningkat atau mungkin akan dikurangkan sehingga 50%:50% apabila keadaan pasaran semakin lemah. Gabungan ekuiti yang difokuskan merangkumi saham-saham syarikat-syarikat Malaysia terpilih, yang mana memenuhi kriteria dana ini dari segi keupayaan operasi, kekukuhan kewangan, pendapatan masa depan dan potensinya untuk berkembang.
Sebagai sebuah dana seimbang, dana ini amat disyorkan kepada pelabur-pelabur yang matang dan bersedia untuk mendapat pulangan yang rendah pada kadar risiko yang rendah. ASM Balanced begitu sesuai bagi pelabur-pelabur yang bercadang untuk membuat pelan pendidikan untuk anak-anak atau merancang pelan persaraan bagi membuat persediaan menjelang masa persaraan.
ASM MARA Unit Trust merupakan subsidiari milik penuh Amanah Saham Mara Berhad. ASM MARA Unit Trust merupakan salah satu daripada institusi pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP. Ini bermakna pencarum KWSP boleh membuat memilih untuk melabur ke dalam mana-mana dana saham amanah yang diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust
Dikeluarkan oleh : Unit Komunikasi Korporat
Tarikh : 9 Disember 2002
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
MARINA GHAZALI
Pengurus, Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi
Amanah Saham Mara Berhad
Tel. : 03 – 404I 7199
Faks. : 03 – 4045 3836
E-mail :
ASM MARA Unit Trust Management Berhad (256439)
Tkt. Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut, Peti Surat 10701,
50722 Kuala Lumpur
Tel : 03 – 4041 7199 Fax : 03 – 4042 6511
E-mel : asmmara@asmb.com.my
Laman web :
www.asmb.com.my