ASM mohon dananya diuruskan sebagai Tabung Pendidikan Khusus

KUALA LUMPUR 3 Okt. - ASM Mara Unit Trust Management Bhd. (ASMMUT) akan memohon bagi menjadikan saham amanah Dana Bestari yang diuruskannya sebagai sebahagian daripada Tabung Pendidikan Khusus yang berjumlah RM1 bilion.

Pengerusi ASMMUT, Datuk Kamaruddin Mohammed berkata, beliau yakin kerajaan akan memberikan pertimbangan positif terhadap cadangan itu memandangkan Dana Bestari mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membiayai kos pendidikan golongan berpendapatan rendah.

``Kami akan membuat permintaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membolehkan Dana Bestari ini disertakan dalam skim itu. Lagipun Dana Bestari turut melibatkan tabungan bersama jaminan takaful dan kerajaan tetap akan mencari pengurus untuk menguruskan Tabung Pendidikan itu,'' katanya selepas pelancaran semula Dana Bestari di Hotel Sheraton Imperial di sini hari ini.