Utusan Malaysia

25 November 2002

Empat Beradik Terima Sumbangan Pelaburan Dana Bestari

Sungai Petani 24 November – Amanah Saham Mara Berhad (ASMB) memberi sumbangan dalam bentuk pelaburan Dana Bestari kepada empat daripada lapan adik-beradik yatim piatu yang tinggal di Taman Sri Tanjung di sini.

Pengurus Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasinya, Marina Ghazali berkata, empat beradik yang masih bersekolah iaitu Mohd. Firdaus Md. Yatim, 15; Norsaffiyah, 8 dan Mohd Naim, 6, mendapat sumbangan dana pendidikan tersebut bernilai RM1, 000 setiap seorang.

Empat adik-beradiknya yang lain ialah Noraini, 18: Norwahida ; 16, Nurul Hidayah,2. Menurutnya, sumbangan pelaburan Dana Bestari itu diharap dapat membantu adik-beradik malang tersebut untuk jangka masa panjang.

"Sumbangan dalam bentuk pelaburan Dana Bestari kepada empat adik-beradik dapat dimanafaatkan untuk pendidikan mereka pada masa depan," katanya.

Exco Kerajaan Negeri, Rosnah Majid yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai menyerahkan sijil Dana Bestari tersebut kepada kakak sulung mereka, Noraini di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Marina yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamaruddin Mohammed menyerahkan bayaran zakat sebanyak RM2,000 kepada lapan adik-beradik itu.

Turut hadir ialah Pengarah Mara Kedah, Mariam Majid.

Utusan Malaysia pada 12 November lalu melaporkan kesempitan hidup Noraini untuk menyara tujuh adik-beradik selepas kematian ibu bapanya.

Sementara itu Rosnah memberitahu, dua adik-beradik tersebut iaitu Noraini dan Norwahida akan ditawarkan mengikuti kursus dalam bidang jahitan di Pusat Giat Mara di sini.

Jelasnya, melalui kursus jahitan tersebut, dua beradik itu boleh menceburi bidang usahawan untuk menjamin masa depan keluarga mereka.

"Noraini dan Norwahida akan mendapat bantuan yang sewajarnya untuk menjadi usahawan selepas menamatkan kursus tersebut, " katanya.