|
ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust)
telah mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 12.0
sen seunit kepada pemegang unit Kumpulan Modal Bumiputera
Keenam (KMB6). Semua pemegang unit dana tersebut sehingga
tahun kewangan berakhir 15 Julai 2003 adalah layak untuk menerima
pengagihan pendapatan ini.
Sejak pelancarannya pada 5 Mei 1972, KMB 6 mengeluarkan agihan
pendapatan kasar sebanyak 619.6 sen atau pulangan purata kasar
sebanyak 19.98 sen setahun. Pulangan pelaburan bagi KMB6 untuk
pengagihan kali ini ialah 6.09 % berdasarkan NAB seunit RM1.9702
pada tarikh tahun kewangan berakhir 15 Julai 2002.
Pelaburan di dalam dana ini sesuai untuk mereka yang ingin
membuat pelaburan berterusan di dalam jangka masa yang panjang
untuk menikmati pulangan yang berpatutan di dalam bentuk agihan
pendapatan tahunan.
Berdasarkan Lipper Ranking pada 4 Julai 2003 di bawah kategori
pertumbuhan dan pendapatan, KMB 6 telah mencatatkan pulangan
sebanyak negatif 1.44% setahun, mengatasi pulangan pasaran
(BSKL) pada negatif 2.22%. Merujuk kepada pengagihan aset
KMB 6 setakat 15 Julai 2003 pula, 66.19% daripada pengagihan
asetnya dilaburkan ke dalam pasaran ekuiti dan selebihnya
di aset mudah tunai.
KMB 6 merupakan salah satu daripada lapan unit amanah yang
diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust yang dibuka kepada golongan
Bumiputera sahaja, sementara tujuh dana lagi dibuka kepada
semua kaum.
ASM MARA Unit Trust juga turut mengumumkan tentang program
Hari Bersama Pelanggan yang akan di adakan di Johor Bahru
pada 16 Ogos nanti. Ketua Pegawai Eksekutif ASM MARA Unit
Trust, Encik Mansoor Ahmad berkata, “Kami ingin meneruskan
program ini setelah menganjurkan pada kali pertama bulan lalu
di Kuala Lumpur. Johor Bahru dipilih sebagai lokasi kali ini
kerana kami mendapati jumlah pelabur kami di Johor semakin
meningkat selepas Wilayah Persekutuan. Sempena Hari Bersama
Pelanggan di Johor Bahru tersebut, ASM MARA Unit Trust akan
memberi pengurangan harga jualan sebanyak 1.0% bagi setiap
pelaburan yang dibuat. Pengurangan harga ini tidak hanya tertakluk
kepada pelabur di Johor sahaja tetapi kepada semua pelabur
di seluruh Malaysia. Mereka boleh membuat pelaburan ke dalam
dana-dana ASM MARA Unit Trust melalui Perunding Unit Amanah
kami di seluruh Negara”.
“Selain itu kami juga ingin mengambil kesempatan untuk
mendekati pelabur yang sedia ada di Johor Bahru dan mengalu-alukan
bakal-bakal pelabur yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut
mengenai dana-dana ASM MARA Unit Trust”.
|