ASM MARA Unit Trust Management Berhad (256439-D)
Tingkat Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur
Tel: 03-4041 7199 Fax: 03-4042 6511
   
 
KENYATAAN MEDIA
 
ASM MARA UNIT TRUST TUMPU AKTIVITI DEKATI PELABUR
 

ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust), pengurus dana unit amanah telah merangka beberapa aktiviti dalam usaha untuk mendekati pelabur sedia ada di samping mendapatkan para pelabur baru. ASM MARA Unit Trust akan mengadakan beberapa kempen menarik selain mengadakan Hari Pelanggan pada setiap bulan bermula Mei ini.

Encik Mansoor Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, ASM MARA Unit Trust berkata, “Antara kempen yang bakal kami anjurkan ialah para pelabur akan mendapat diskaun menarik di atas pelaburan mereka menerusi autodebit, potongan gaji serta pelaburan KWSP. Diskaun ini akan ditanggung oleh pihak ASM MARA Unit Trust sendiri. Inilah cara kami menghargai para pelabur kami.” Mansoor menambah, “Hari Pelanggan yang bakal diadakan pula bertujuan untuk membolehkan kami serta para pelabur saling mengenali di antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Selain daripada itu, para pelabur yang sedia ada boleh mendapat penerangan serta nasihat mengenai pelaburan mereka di dalam dana-dana unit amanah yang kami uruskan.”

ASM MARA Unit Trust merupakan subsidiari milik penuh Amanah Saham Mara Berhad, salah sebuah syarikat pelopor dalam pengurusan saham amanah negara. Setakat ini ASM MARA Unit Trust mempunyai lebih 80,000 pemegang unit menerusi 15 dana unit amanah yang diuruskannya. Dana-dana tersebut dibuka untuk semua kaum selain Bumiputera. ASM MARA Unit Trust juga merupakan salah sebuah daripada institusi pengurusan dana yang diluluskan untuk pelaburan KWSP.

Dalam kenyataan yang sama, ASM MARA Unit Trust turut mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 3.0 sen seunit bagi ASM Index Fund. Kesemua pemegang unit dana tersebut sehingga tahun kewangan berakhir 15 Mac 2003 adalah layak untuk menerima pengagihan pendapatan tunai ini. Pulangan ini bersamaan dengan 7.7% berdasarkan kepada nilai aset bersih seunit RM0.3852.

Walaupun pertumbuhan modal ASM Index Fund menunjukkan sedikit penurunan, namun ianya memperolehi pulangan pulangan pasaran dan pulangan di dalam kategori (sektor) yang sama, masing-masing pada kadar negatif 11.66% dan negatif 16.38% pada 15 Mac 2003.

Baru-baru ini ASM Index Fund telah memenangi anugerah Lipper bagi pencapaiannya selama setahun di bawah kategori dana indeks ekuiti untuk tahun 2002 setelah mencatatkan pulangan sebanyak 2.89% setahun, mengatasi pulangan pasaran BSKL pada negatif 5.43% dan pulangan industri pada negatif 1.25% sehingga 27 Disember 2002.

Sebelum ini ASM Index Fund dikenali sebagai KMB 2, sebuah dana saham amanah yang dibuka kepada kaum Bumiputera sahaja yang dilancarkan pada 19 Februari 1969. KMB 2 telah dilancarkan semula pada 25 Mac 2002 dan dikenali sebagai ASM Index Fund dan dibuka kepada semua kaum.

Objektif utama ASM Index Fund ialah untuk memberi peluang kepada pelabur-pelaburnya menikmati pulangan yang berpatutan secara berterusan dalam jangkamasa sederhana dan panjang menerusi pengagihan pendapatan jika ada.

 
Disediakan Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Tarikh : 21 March 2003

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
 
MARINA GHAZALI
Senior Manager
Human Resource Development and Communications
Amanah Saham Mara Berhad

Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-40453836
E-Mail : marina@asmb.com.my
asmb@asmb.com.my