ASM MARA Unit Trust Management Berhad (256439-D)
Tingkat Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur
Tel: 03-4041 7199 Fax: 03-4042 6511
   
 
KENYATAAN MEDIA
 
ASM MARA UNIT TRUST UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN TUNAI BERSIH UNTUK KMB 7 DAN KMB DANA PERTUMBUHAN
 

ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) telah mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 5.0 sen seunit kepada pemegang unit Kumpulan Modal Bumiputera Yang Ketujuh (KMB 7). Sementara bagi KMB Dana Pertumbuhan, semua pemegang unitnya layak menerima 5.0 sen seunit tunai dan terbitan unit pecahan sebanyak 5 unit bagi setiap 100 unit yang dipegang. Kesemua pemegang unit dana-dana tersebut sehingga tahun kewangan berakhir pada 15 Februari 2003 adalah layak untuk menerima pengagihan pendapatan ini. Bagi pengagihan pendapatan tunai, pemegang unit akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh dua bulan daripada tarikh tahun kewangan berakhir. Bagi terbitan unit pecahan pula, jumlah tersebut telah dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit KMB Dana Pertumbuhan pada tarikh tahun kewangan berakhir tersebut.

Pulangan pelaburan bagi KMB 7 ialah 5.66% berdasarkan NAB seunit iaitu RM0.8840. Bagi KMB Dana Pertumbuhan pula, kadar pulangan pelaburan adalah masing-masing bersamaan dengan 3.2% bagi agihan tunai dan 5% bagi unit pecahan berdasarkan NAB seunit pada RM1.5857 pada 15 Februari 2003.

KMB 7 dan KMB Dana Pertumbuhan telah dilancarkan pada 28 Disember 1972 dan dibuka kepada golongan Bumiputera sahaja. Objektif utama KMB7 ialah untuk memberi peluang kepada pelabur-pelaburnya menikmati pulangan yang berpatutan secara berterusan dan mencapai kenaikan nilai modal dalam jangkamasa sederhana dan panjang manakala objektif utama KMB Dana Pertumbuhan ialah memberi peluang kepada pelabur-pelaburnya untuk mencapai kenaikan nilai modal dalam jangkamasa sederhana dan panjang menerusi pelaburan dalam saham-saham berdaya maju dan pengagihan pendapatan (jika ada) adalah sampingan kepada kenaikan nilai modal.

Menurut Mansoor Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif ASM MARA Unit Trust, sehingga 10 Februari 2003, KMB 7 memberikan pulangan purata setahun sebanyak 2.16% berbanding pulangan purata pasaran (BSKL ) dan industri yang hanya memberikan pulangan sebanyak negatif 7.52% dan 1.24%. Selain itu, KMB 7 juga tersenarai di tangga ke-14 daripada 35 dana lain di turutan senarai Lipper yang berada di bawah kategori Pertumbuhan dan Pendapatan. Sejak dilancarkan pada 1972, KMB 7 telah mengeluarkan agihan pendapatan kasar sebanyak 469.1 sen atau pulangan purata kasar sebanyak 15.6 sen setahun. Sebahagian besar modalnya iaitu sebanyak 57.5% dilaburkan di dalam pasaran ekuiti dan selebihnya di aset mudah tunai sehingga 31 Januari 2003.

Bagi KMB Dana Pertumbuhan pula, dana ini telah mencatatkan pulangan sebanyak 1.18% setahun, mengatasi pulangan pasaran (BSKL) pada negatif 7.52% dan pulangan industri pada negatif 1.22%. Selain itu, menurut turutan senarai Lipper, dana ini berada di tempat ke-3 berbanding 21 dana lain yang berada di bawah kategori yang sama. Sebahagian besar modal KMB Dana Pertumbuhan iaitu sebanyak 63.0% dilaburkan di dalam pasaran ekuiti manakala 37.0% dilaburkan didalam aset mudah tunai.

Menyentuh mengenai keadaan pasaran saham, Mansoor berkata," keadaan pasaran saham masa kini dijangka akan berubah-ubah disebabkan faktor-faktor luaran seperti kemungkinan berlaku peperangan, tempoh dan kesannya ke atas harga minyak serta pertumbuhan ekonomi secara global. Sehubungan dengan itu para pelabur akan lebih berhati-hati untuk membuat urusan jual-beli. Di dalam jangkamasa pendek, keadaan pasaran akan menurun sedikit disebabkan perkara itu. Namun demikian berdasarkan analisis kami, perkembangan pasaran akan kembali stabil pada suku tahun ke tiga yang mana ianya akan menggalakkan lagi peluang pelaburan."

 
Disediakan Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Tarikh : 25 Februari 2003

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
 
MARINA GHAZALI
Senior Manager
Human Resource Development and Communications
Amanah Saham Mara Berhad

Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-40453836
E-Mail : marina@asmb.com.my
asmb@asmb.com.my