| ASM
MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) telah
mengumumkan peningkatan saiz dana bagi Dana Al-Aiman dari 200
juta unit kepada 350 juta unit pada 6 Oktober 2003 setelah mendapat
kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti.
Dana Al-Aiman merupakan dana syariah ekuiti, dibuka kepada
semua dan di lancarkan pada 1997. Objektif Dana Al-Aiman ialah
untuk memberi peluang kepada pelabur-pelabur menikmati pulangan
yang berpatutan secara berterusan dalam jangkamasa sederhana
dan panjang menerusi pengagihan pendapatan (jika ada) serta
kenaikan modal.
Dana ini menawarkan perlindungan Takaful yang dibiayai oleh
ASM MARA Unit Trust kepada pelabur-pelaburnya yang layak.
Pelabur yang melabur sekurang-kurangnya 1,000 unit di dalam
Dana Al-Aiman akan mendapat perlindungan Takaful dengan nilai
RM1.00 bagi setiap unit yang dimiliki, tertakluk kepada perlindungan
maksimum sebanyak RM200,000 termasuk perbelanjaan pengkebumian
sebanyak RM1,000.
Sejak dari awal tahun 2003, sebanyak RM206,017.22 pampasan
telah dibayar kepada pelabur/waris bagi mewakili lapan kes
tuntutan dan kesemuanya adalah tuntutan ke atas Skim Perlindungan
Takaful Berkelompok Dana Al-Aiman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM MARA Unit Trust, Encik
Mansoor Ahmad “Sehingga Disember ini pelabur Dana Al-Aiman
yang membuat pelaburan melalui pelaburan skim KWSP, akan menerima
1.5% unit tambahan bagi setiap pelaburan baru dan pelabur
KWSP sedia ada layak menerima 2% unit tambahan di atas pelaburan
yang dibuat. Tawaran ini juga dibuka kepada orang ramai yang
membuat pelaburan melalui mana-mana dana yang diuruskan oleh
ASM MARA Unit Trust.
ASM MARA Unit Trust merupakan syarikat pengurusan dana yang
diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP. Selain daripada Dana
Al-Aiman, ASM MARA Unit Trust juga menguruskan sebuah lagi
dana syariah iaitu Dana Bestari. Dana Bestari merupakan dana
syariah yang sesuai di gunakan sebagai pelaburan untuk memulakan
dana pendidikan anak-anak.
|