| ASM
MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) hari
ini telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Bank
Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bagi melantik bank tersebut
sebagai ejen kutipan.
Menurut Mansoor Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, ASM MARA
Unit Trust, “pelantikan Bank Rakyat ini adalah bagi
memantapkan kerjasama yang sedia terjalin selain usaha mendekati
para pelabur kami menerusi 98 cawangan Bank Rakyat di seluruh
negara.”
Sebagai ejen kutipan, Bank Rakyat hanya menerima wang daripada
ejen-ejen ASM MARA atau pun pelabur-pelabur untuk membuat
pembayaran bagi pelaburan di dalam dana Syariah kami, iaitu
Dana Al-Aiman dan Dana Bestari. Namun, tanggungjawab mempromosi
dan memasarkan ujit-unit amanah terletak di atas bahu ASM
MARA.
Buat masa ini ASM MARA mempunyai 400 orang ejen-ejen di seluruh
negara untuk menjual unit amanah, dan kami menjangkakan angka
ini akan mencapai 1,000 orang ejen sehingga akhir tahun ini.
Selain daripada itu, kami juga mempunyai lebih daripada 80,000
para pelabur. Atas dasar inilah, kami memerlukan perkhidmatan
Bank Rakyat sebagai “conduit” untuk menerima wang
dan pembayaran sahaja dari ejen-ejen dan pelabur yang berada
di serata pelusuk negara.
Adalah menjadi dasar, bahawa semua ejen kutipan yang dilantik
(termasuk Bank Islam Malaysia Berhad) tidak mempromosi dan
memasarkan unit-unit saham amanah. Pendapatan yang diperolehi
oleh ejen kutipan daripada urusniaga-urusniaga melalui kaedah
ini adalah kecil berbanding dengan pendapatan yang diperolehi
oleh ejen-ejen institusi unit amanah atau lebih dikenali sebagai
IUTA. Pihak IUTA boleh menasihati, mempromosi dan memasar
unit-unit amanah yang dipilih untuk dijual oleh mereka kepada
pelabur-pelabur.
Menurut Mansoor lagi, pada tahun ini ASM MARA Unit Trust
telah merangka beberapa program menarik dalam usaha syarikat
itu untuk mendekati para pelaburnya yang sedia ada mahupun
pelabur-pelabur baru. Selain mengadakan Hari Pelanggan pada
setiap bulan, ASM MARA Unit Trust turut menganjurkan program
pelaburan dengan pemberian unit tambahan bagi pelaburan menerusi
Autodebit dan Skim Pelaburan KWSP. Semua pemberian unit tambahan
ditanggung oleh pihak ASM MARA Unit Trust.
Menyentuh tentang kedudukan industri saham amanah, Mansoor
berkata, ‘industri saham amanah negara sedang melalui
saat yang mencabar ekoran daripada perkembangan politik antarabangsa
yang meninggalkan kesan kepada keadaan pasaran saham. Kami
sentiasa optimistik dan berpendapat masa ini merupakan masa
yang sesuai untuk melabur ke dalam saham amanah kerana harga
unit yang lebih rendah dan memberi peluang kepada pelabur
untuk mengalih pelaburan yang berisiko rendah berbanding dengan
pasaran saham.
Majlis menandatangani perjanjian di antara ASM MARA Unit
Trust dan Bank Rakyat turut dihadiri oleh Dato’ Kamaruddin
Mohammed, Pengerusi, ASM MARA Unit Trust dan Tan Sri Dato’
Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, Pengerusi, Bank Rakyat
|