|
ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust)
telah mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 3.0
sen seunit dan terbitan unit pecahan pada kadar 1 unit untuk
setiap 10 unit pegangan untuk ASM Index Fund. Ini bermakna
pemegang unit ASM Index Fund akan menerima sebanyak 10 % unit
tambahan kepada unit yang dipegang. Semua pemegang unit ASM
Index Fund sehingga tahun kewangan berakhir pada 15 Mac 2003
akan menerima pengagihan pendapatan ini.
Di dalam tempoh setahun ASM Index Fund telah mencapai peningkatan
harga sebanyak 22.59% berdasarkan NAB RM0.3852 seunit pada
15 Mac 2003 dan harga penutup RM0.4722 NAB seunit pada 15
Mac 2004.
ASM Index Fund merupakan dana yang dilancarkan semula pada
25 Mac 2002. Sebelum dilancarkan semula, ASM Index Fund dikenali
sebagai KMB 2. Objektif ASM Index Fund ialah untuk memberi
peluang kepada pelabur-pelaburnya menikmati pulangan yang
berpatutan secara berterusan dalam jangkamasa sederhana dan
panjang.
ASM Index Fund yang dibuka kepada semua kaum ini merupakan
salah satu daripada penerima dana terbaik bagi Anugerah Lipper
The Edge 2003 yang diadakan baru-baru ini. Menurut Encik Mansoor
Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, ASM MARA Unit Trust, “ASM
Index Fund telah menerima penganugerahan Lipper sebagai Dana
Terbaik bagi tempoh tiga tahun di bawah kategori Dana Indeks
Ekuiti. ASM Index Fund telah mengulangi kejayannya memenangi
anugerah Lipper pada tahun 2002 bagi dana terbaik untuk kategori
yang sama bagi tempoh setahun. ASM Index Fund telah mencatatkan
pulangan sebanyak 30.91% selama tiga tahun, mengatasi pulangan
pasaran BSKL pada 14.85% dan pulangan industri pada 20.29%”.
Mansoor seterusnya menambah, “Kami menjangkakan dana-dana
unit amanah yang diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust termasuk
ASM Index Fund akan memberikan prestasi yang lebih baik berdasarkan
kedudukan pasaran yang memberangsangkan. Para analisis pasaran
menjangkakan ekonomi domestik yang lebih kukuh di samping
pertumbuhan sedunia pada tahun 2004 dan ini akan memberikan
impak yang positif kepada industri saham amanah. Kami di ASM
MARA Unit Trust telah merangka pelbagai strategi pelaburan
yang diharap akan dapat memberikan pulangan menarik serta
prestasi yang menggalakkan bagi dana unit amanah yang kami
uruskan”.
ASM MARA Unit Trust merupakan salah satu daripada Institusi
Pengurusan Dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP
dan kini menguruskan 15 dana unit amanah yang dibuka kepada
semua kaum dan khusus kepada golongan Bumiputera.
|