ASM Mara Unit Trust agih pendapatan bersih 5 sen
 
(Utusan Malaysia 7 Januari 2004)
 
KUALA LUMPUR 6 Jan. - ASM Mara Unit Trust Management Bhd. mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 5.0 sen seunit dan tiga unit pecahan untuk setiap 100 unit pegangan kepada pemegang unit Kumpulan Modal Bumiputera Kesebelas (KMB11).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, ASM Mara Unit Trust berkata, semua pemegang unit dana itu sehingga tahun kewangan berakhir 31 Dis 2003, layak menerima pengagihan pendapatan ini.

Pengagihan tunai lima sen bagi KMB11 adalah bersamaan dengan pulangan 9.41 peratus berdasarkan nilai aset bersih (NAB) seunit pada 1 Jan 2004 iaitu RM0.5315.

Ia menambah bahawa pulangan yang diperoleh lebih baik daripada pulangan yang diperoleh daripada simpanan tetap bank-bank tempatan.

Dana ini juga menunjukkan peningkatan modal sebanyak 24.19 peratus bagi pulangan setahun menurut Lipper Ranking pada 21 November 2003.

ASM Mara Unit Trust juga telah merancang untuk melancarkan tiga buah dana baru yang terdiri daripada dana pasaran wang, dana bon syariah dan dana yang khusus untuk kaum wanita, kata Ketua Pegawai Eksekutif ASM Mara Unit Trust, Mansoor Ahmad dalam kenyataan itu.