ASM MARA Unit Trust Management Berhad (256439-D)
Tingkat Bawah, Wisma ASMB, No. 1A, Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur
Tel: 03-4041 7199 Fax: 03-4042 6511
KENYATAAN MEDIA
ASM MARA UNIT TRUST UMUM 15.0 SEN BERSIH BAGI KMB 6
ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) telah mengumumkan pengagihan pendapatan bersih sebanyak 15.0 sen tunai seunit kepada pemegang unit Kumpulan Modal Bumiputera Keenam (KMB6). Semua pemegang unit dana tersebut sehingga tahun kewangan berakhir 15 Julai 2004 adalah layak untuk menerima pengagihan pendapatan ini.
KMB 6 telah menunjukkan pulangan pelaburan sebanyak 16% dimana harga unit berdasarkan nilai aset bersih (NAB) telah meningkat kepada RM2.1192 pada 15 Julai 2004 berbanding dengan RM1.8269 pada tarikh yang sama tahun sebelumnya. Sementara itu, pulangan pendapatan dana ini adalah pada tahap 8.21%, satu pulangan yang baik berbanding dengan pulangan simpanan di bank.
KMB 6 telah dilancarkan pada 5 Mei 1972 dan pelaburan di dalam dana ini sesuai untuk mereka yang ingin membuat pelaburan berterusan di dalam jangka masa sederhana dan panjang untuk menikmati pulangan yang berpatutan di dalam bentuk kenaikan modal dan agihan pendapatan tahunan. Oleh yang demikian jika dirujuk pada Lipper pada 15 Julai 2004, dalam tempoh tiga tahun KMB6 telah mencatatkan pulangan sebanyak 59.13 % mengatasi pulangan industri sebanyak 49.1% dan pulangan pasaran Indeks Komposit Kuala Lumpur pada 36.06%. Di dalam tempoh lima tahun pula KMB 6 telah mencatatkan pulangan sebanyak 17.7% mengatasi pulangan purata industri sebanyak 13.28 % dan pulangan pasaran Indeks Komposit Kuala Lumpur sebanyak 0.28%
KMB 6 merupakan salah satu daripada tujuh unit amanah yang diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust yang dibuka kepada golongan Bumiputera sahaja, sementara tujuh dana lagi dibuka kepada semua kaum dan satu dana yang diuruskan untuk pekerja-pekerja dan bekas pekerja TNB iaitu Amanah Saham Pekerja-Pekerja TNB.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM MARA Unit Trust, Encik Mansoor Ahmad, “Kami menjangkakan bahawa pengumuman keuntungan syarikat-syarikat Malaysia untuk separuh tahun pertama iaitu pada bulan Ogos nanti akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham untuk dua bulan yang akan datang. Berdasarkan kepada prestasi pasaran semasa adalah sukar untuk menjangkakan prestasi keuntungan syarikat-syarikat memandangkan adanya beberapa peningkatan harga terutamanya terhadap harga minyak pada separuh tahun pertama 2004. Keuntungan syarikat-syarikat adalah sederhana, namun kami menjangkakan prestasi pasaran saham tempatan akan lebih meningkat pada suku tahun ketiga 2004 dan memberikan petunjuk yang baik kepada industri unit amanah.
“Jangkaan prestasi pasaran saham yang lebih baik untuk jangka masa terdekat ini akan meningkatkan lagi prestasi KMB 6 dan dapat memberikan pulangan yang lebih baik kepada pelabur pada masa akan datang. Setakat ini, KMB 6 merupakan salah satu dana unit amanah Bumiputera yang menunjukkan prestasi yang membanggakan yang diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust. Antara 26 dana di bawah katogeri pertumbuhan dan pendapatan, KMB 6 berada di tangga ke 10 mengikut penilaian oleh “The Edge Lipper Fund Performance” yang telah di siarkan pada 19 Julai 2004.
ASM MARA Unit Trust merupakan syarikat pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP.
Disediakan oleh : Jabatan Komunikasi Korporat
Tarikh : 21 Julai 2004
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
MARINA GHAZALI
Pengurus Kanan , Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi
Amanah Saham Mara Berhad
Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-40453836, EMAIL : marina@asmb.com.my