ASM MARA Unit Trust Management Berhad (256439-D)

 

Tingkat Bawah, Wisma ASMB,

No. 1A, Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur.

Tel:  03-4041 7199   Fax:  03-4042 6511

 

 

 

 

KENYATAAN MEDIA

 

 

ASM MARA UNIT TRUST UMUM PENDAPATAN BERSIH  4.5 SEN SEUNIT UNTUK DANA BESTARI 

 

ASM MARA Unit Trust Management Berhad (ASM MARA Unit Trust) telah mengumumkan pengagihan pendapatan  tunai  Dana Bestari bagi  tahun kewangan berakhir 15 Ogos 2004. Pengagihan tunai bersih  Dana Bestari adalah sebanyak 4.5 sen. Semua pemegang unit Dana Bestari yang berdaftar  pada  15 Ogos 2004 adalah layak untuk menerima pengagihan pendapatan ini.

 

Dana Bestari telah menunjukkan peningkatan modal sebanyak 10.14% di mana harga unit berdasarkan nilai aset bersih  (NAB) telah meningkat kepada  RM0.5107 pada 15 Ogos  2004 berbanding  dengan RM0.4634 pada  tarikh yang sama tahun lalu.  Sementara itu, pulangan pendapatan dana ini adalah pada tahap 9.71%, satu pulangan yang baik berbanding dengan pulangan simpanan di bank-bank komersial yang rata-ratanya memberikan pulangan sebanyak 3% setahun untuk akaun simpanan.

 

Jika dirujuk kepada ‘The-Edge Lipper Fund Table’ pada 16 Ogos 2004,  dalam tempoh setahun, Dana Bestari  telah mencatatkan pulangan  sebanyak 11.55% mengatasi pulangan industri sebanyak 11.35%.

 

Dana Bestari merupakan dana syariah yang sesuai digunakan sebagai pelaburan untuk memulakan dana pendidikan anak-anak. Bagi pelaburan RM1,000 ke atas, ASM MARA Unit Trust akan menyediakan  perlindungan Takaful percuma dan nilai perlindungan bergantung kepada nilai pelaburan (atau NAV). Perlindungan ini diberikan ke atas kematian atau keilatan kekal pelabur dan jumlah maksima perlindungan RM200,000.00. Khairat kematian atas kematian anak sebanyak RM300 juga akan diberikan jika anak yang dinamakan meninggal dunia.  Selain itu anak-anak pelabur Dana Bestari berusia 6 hingga 12 tahun yang dinamakan  akan menerima keahlian program BEEBESTARI secara percuma dan berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti melalui BEECOLOUR, BEEKARAOKE, BEETOUR, BEEBULETIN DAN BEESMART. Bagi pelaburan di dalam Dana Bestari  kurang daripada RM1,000.00, anak-anak mereka yang dinamakan juga berpeluang menjadi ahli program BEEBESTARI dengan yuran keahlian hanya RM25. Semua ahli BEEBESTARI akan diberikan pelbagai barangan cenderahati  dan Kad Keahlian BEEBESTARI.

 

BEEBESTARI telah dirasmikan pada bulan April yang lalu dan sehingga kini ASM MARA Unit Trust telah membawa BEEBESTARI menjelajah ke lokasi-lokasi terpilih di  Semenanjung Malaysia dan menganjurkan pertandingan mewarna BEEBESTARI serta pelbagai peraduan seperti peraduan meneka BEEBESTARI untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai, khasnya golongan kanak-kanak mengenai peri pentingnya pelaburan untuk menjamin masa hadapan.

 

Setiap musim cuti sekolah, BEEBESTARI akan menganjurkan program BEETOUR di lokasi-lokasi terpilih secara berperingkat-peringkat dan pada 25 Ogos 2004 ini,  BEEBESTARI melalui program BEETOUR akan membawa ahli-ahlinya   ke Petrosains, KLCC.

 

ASM MARA Unit Trust merupakan institusi  pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP.  Selain daripada Dana Bestari, ASM MARA Unit Trust juga menguruskan enam  dana saham amanah lain, iaitu Dana Al-Aiman, ASM First Public Fund, ASM Index Fund, ASM Balanced Fund dan  ASM Dana Mutiara  serta tujuh dana saham amanah untuk pelabur Bumiputera sahaja. ASM MARA Unit Trust  juga menguruskan  Amanah Saham Pekerja-Pekerja TNB, sebuah dana unit amanah yang dibuka khusus untuk kakitangan dan syarikat-syarikat di bawah Tenaga Nasional Berhad.

 

 

 

Dikeluarkan oleh : Jabatan Komunikasi Korporat, Amanah Saham Mara Berhad

 

  

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi :

 

MARINA GHAZALI

Pengurus Kanan

Pembangunan Sumber Manusia dan  Komunikasi

Amanah Saham Mara Berhad

 

Tel.:  (03) 4041 7199, samb. 328

Faks.: (03) 40453836

E-mail :  marina@asmb.com.my