ASM INVESTMENT SERVICES BERHAD (256439-D)

(formerly known as ASM Unit Trust Management Berhad)

Tingkat Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut,
50400 Kuala Lumpur.
Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-4042 6511
   
 
KENYATAAN MEDIA
 
ASM Investment Umum Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Pelaburan dan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan
 

8 Disember 2006 - ASM Investment Services Berhad (ASM Investment) hari ini mengumumkan pelantikan Encik Izaddeen Daud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Rusli Abu Yamin sebagai Ketua Pegawai Pelaburan dan Encik Sidek Ismail sebagai Timbalan Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan.

ASM Investment yang dahulunya dikenali sebagai ASM MARA Unit Trust Management Berhad, adalah anak syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Berhad (ASMB). ASM Investment kini mengambil-alih aktiviti pelaburan yang lebih luas meliputi pengurusan aset dan operasi saham amanah. ASM Investment juga turut memperolehi lesen Ejen Unit Amanah Institusi atau ‘Institutional Unit Trust Agent (IUTA) daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk membolehkan syarikat mempromosi dan menjual dana unit amanah pihak ketiga. Aktiviti pengurusan asset dahulunya dikendalikan oleh ASM Asset Management Sdn. Bhd, juga salah sebuah anak syarikat milik penuh ASMB.

Encik Mansoor Ahmad yang dahulunya Ketua Pegawai Eksekutif dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/Penasihat ASM Investment dan pelantikan ini akan mengukuhkan lagi perancangan dan aktiviti perniagaan ASM Investment.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan ASMB dan Pengerusi ASM Investment, YBhg. Dato’ Kamaruddin bin Mohammed, “selaras dengan penyatuan aktiviti perniagaan, kami merancang untuk memantapkan rangkaian jualan dengan penggunaan lebih daripada 100 pejabat cawangan MARA di seluruh negara. Kami amat menghargai sokongan MARA yang terus-menerus membantu dan sentiasa bersedia untuk meningkatkan kerjasama bagi memastikan program penambahan Kumpulan ASMB mencapai objektif”. Pada masa ini, ASM Investment mempunyai enam (6) buah pejabat agensi dan telah melantik Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad, Bank Simpanan Nasional Berhad and Bank Islam Malaysia Berhad sebagai Ejen Pungutan. Selain itu, ASM Investment turut melantik Standard Chartered Bank, Apex Investment Services dan CIMB Bank (dahulunya adalah Southern Bank Berhad) sebagai Ejen Institusi Unit Amanah.

“Pelantikan kumpulan pengurusan baru Ini adalah bersesuaian dengan perancangan baru perniagaan syarikat bagi membolehkan kami memperbaiki integrasi di antara divisyen,” tambah YBhg Dato’ Kamaruddin Mohammed.

Encik Izaddeen Daud, Ketua Pegawai Eksekutif ASM Investment mempunyai 14 tahun pengalaman dalam bidang-bidang pasaran modal, pelaburan dan mempunyai rekod yang cemerlang dalam operasi pengurusan unit amanah. Beliau mempunyai Ijazah Perakaunan dan Undang-Undang daripada DeMonfort University, United Kingdom. Beliau juga adalah Ahli ‘Financial Planning Association of Malaysia (FPAM). Dengan pelantikan ini, Encik Izaddeen adalah bertanggungjawab untuk mengukuhkan dua aktiviti utama syarikat iaitu pengurusan unit amanah dan pengurusan asset termasuk pengurusan dana pihak ketiga. Sebelum menyertai ASM Investment, Encik Izaddeen merupakan Penolong Timbalan Presiden di Permodalan Nasional Berhad(PNB), mengetuai Operasi Cawangan, Pemasaran dan Perkhidmatan Pelaburan, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Sepanjang perkhidmatan di PNB, Encik Izaddeen Daud juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat persendirian dan senaraian awam. Encik Izadden Daud juga berpengalaman di dalam bidang pasaran modal dan perbankan perdagangan ketika beliau menyertai Affin Merchant Bank Berhad dan pada tahun 1993 telah dilantik sebagai Ketua Seksyen Bahagian Perbankan Korporat dan Pasaran Modal.

Encik Izaddeen Daud dibantu oleh Encik Rusli Abu Yamin yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan. Beliau mempunyai 20 tahun pengalaman di dalam bidang pelaburan, jualan institusi, pengurusan dana, pengurusan aset dan perancangan korporat. Sebelum menyertai ASM Investment, Encik Rusli merupakan Timbalan Presiden Kanan, Jualan Institusi di JF Apex Securities Sdn Bhd. Kariernya bermula di Permodalan Nasional Berhad pada tahun 1985 selepas menerima Ijazah Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Encik Rusli turut mempunyai Ijazah Sarjana di dalam Pengurusan Perniagaan daripada Ohio University, Athens USA. Beliau menimba pengalaman pengurusan korporat sewaktu menyertai Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebagai Pengurus Kanan, Pengurusan Korporat pada tahun 2000.

Pelantikan Encik Sidek Ismail sebagai Timbalan Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan merupakan pelengkap kepada matlamat untuk mengukuhkan lagi bahagian operasi unit amanah, pembangunan perniagaan, jualan dan bahagian pemasaran. Encik Sidek Ismail mempunyai 18 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan aset dan operasi unit amanah. Beliau pernah bertugas di Pejabat Cawangan Bank Negara yang beroperasi di New York dan menguruskan portfolio Bond Perbendaharaan Amerika Syarikat selama empat tahun. Pada 1992, Encik Sidek Ismail mengetuai sekumpulan Penjual (dealers) untuk menguruskan Dana Amanah Negara bernilai RM 1.3 bilion. Beliau kemudiannya menyertai Malaysia International Shipping Corporation pada tahun 1995 sebagai Pengurus Dana yang bertanggungjawab menguruskan portfolio matawang Dollar Amerika. Pada tahun 1993, beliau bertugas di Bahagian Perbendaharaan, RHB Bank dan bertanggungjawab memberi perkhidmatan terus kepada pelanggan-pelanggan korporat dan kerajaan.

ASM Investment merupakan Institusi Pengurusan Dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan KWSP.

 
Disediakan Oleh : Jabatan Komunikasi Korporat
Tarikh : 08 Disember 2006

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
 


MARINA GHAZALI

Pengurus Kanan,
Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi
Amanah Saham Mara Berhad

Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-40453836
E-Mail : marina@asmb.com.my aniz@asmb.com.my