|
ASM Investment Services Berhad (ASM Investment) mengumumkan terbitan unit pecahan, 1 bagi setiap 10 unit yang dipegang bagi ASM Syariah Aggressive Fund. Ini bermakna pemegang unit ASM Syariah Aggressive Fund akan menerima sebanyak 1 unit tambahan kepada setiap 10 unit yang dipegang. Semua pemegang unit ASM Syariah Aggressive Fund sehingga tahun kewangan berakhir pada 15 Julai 2007 akan menerima terbitan unit pecahan ini.
ASM Syariah Aggressive, sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Modal Bumiputera Yang Keenam, khusus untuk Bumiputera sahaja telah dilancarkan semula sebagai dana umum berlandaskan syariah pada Mei 2005. Ia mensasarkan kepada pelabur-pelabur yang mahukan pulangan yang tinggi dalam jangka masa sederhana dan panjang dengan kadar risiko yang berpatutan. ASM Syariah Aggressive Fund di kategorikan sebagai dana ekuiti (syariah) pertumbuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif, ASM Investment, Izaddeen Daud, berkata, ‘dalam tempoh setahun ASM Syariah Aggressive telah mencapai peningkatan harga sebanyak 38.82% berdasarkan NAB RM0.4341 seunit pada 16 Julai 2006 dan harga penutup RM0.6026 NAB seunit pada 15 Julai 2007. Ini bersamaan dengan kenaikan sebanyak RM0.1685 seunit dalam tempoh yang sama’.
ASM Investment merupakan subsidiari milik penuh Amanah Saham Mara Berhad, salah sebuah syarikat pelopor dalam pengurusan saham amanah negara. Setakat ini ASM Investment mempunyai 15 dana unit amanah yang diuruskannya. Dana-dana tersebut dibuka untuk semua kaum selain Bumiputera. ASM Investment juga merupakan salah sebuah daripada institusi pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP selain turut dilantik sebagai Ejen Institusi Unit Amanah.
|