ASM INVESTMENT SERVICES BERHAD (256439-D)

(formerly known as ASM Unit Trust Management Berhad)

Tingkat Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut,
50400 Kuala Lumpur.
Tel: 03-4041 7199
Fax: 03-4042 6511

   
 
KENYATAAN MEDIA
 
ASM INVESTMENT UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN 6.42 SEN BERSIH UNTUK KMB 10
 

ASM Investment Services Berhad (ASM Investment) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.42 sen seunit bersih bagi dana Kumpulan Modal Bumiputera Yang Ke Sepuluh (KMB 10).  Pengagihan pendapatan ini merupakan antara yang tertinggi tahun ini bagi dana yang diuruskan oleh ASM Investment.  Semua pemegang unit KMB 10 sehingga tahun kewangan berakhir pada 15 Oktober 2007 akan menerima pengagihan pendapatan tunai ini.  Pengagihan pendapatan sebanyak 6.42 sen seunit ini juga membawa kepada pulangan pelaburan (yield) sebanyak 8.50% setahun. 

Ketua Pegawai Eksekutif,  ASM Investment, Izaddeen Daud, berkata, ‘dalam tempoh setahun KMB 10 telah mencapai peningkatan harga sebanyak RM0.2918 seunit, bersamaan dengan 38.63% berdasarkan NAB RM0.7554 seunit pada 16 Oktober 2006 dan harga penutup RM1.0472 NAB seunit pada 15 Oktober 2007.

Izaddeen turut menambah, ‘Ekoran daripada usaha penstrukturan semula perniagaan serta operasi syarikat, objektif kami di ASM Investment ialah untuk memberikan pulangan pelaburan yang kompetitif bagi dana-dana yang kami uruskan’.

KMB 10 adalah khusus untuk Bumiputera sahaja telah dilancarkan pada 24 Oktober 1978.  Ia mensasarkan kepada pelabur-pelabur yang mahukan kadar pulangan yang berpatutan bagi mencapai pengembangan modal dalam jangka masa sederhana dan panjang.  KMB 10 di kategorikan sebagai dana ekuiti pertumbuhan dan pendapatan.

ASM Investment merupakan subsidiari milik penuh Amanah Saham Mara Berhad, salah sebuah syarikat pelopor dalam pengurusan saham amanah negara.  Setakat ini ASM Investment mempunyai 15 dana unit amanah yang diuruskannya.  Dana-dana yang diuruskan termasuk untuk semua kaum selain beberapa dana yang dikhususkan kepada Bumiputera.  ASM Investment juga merupakan salah sebuah daripada institusi pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP selain turut dilantik sebagai Ejen Institusi Unit Amanah. 

 
Disediakan Oleh : Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat
Tarikh : 15 Oct 2007

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
 

MARINA GHAZALI

Ketua, Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat
Amanah Saham Mara Berhad
Tel       :  03-4041 7199, extn. 532
Fax      :  03-40453836
Email   :  marina@asmb.com.my