ASM INVESTMENT SERVICES BERHAD (256439-D)
Tingkat Bawah, Wisma ASMB,
No. 1A, Jalan Lumut,
50400 Kuala Lumpur.
Tel: 03-4145 3800 /03-4145 3900
Fax: 03-4145 3901


   
 
KENYATAAN MEDIA
 
ASM INVESTMENT AKAN TERUS MENDEKATI PARA PELABUR
 

ASM Investment Services Berhad (ASM Investment), sebuah syarikat pengurusan saham amanah umum dan Bumiputera akan terus mendekati serta memberikan perkhidmatan terbaik selain memberikan pulangan pelaburan memuaskan kepada para pelaburnya.

Salah satu usaha yang dijalankan untuk mendekati pelabur ialah dengan menganjurkan program sehari iaitu Hari Penghargaan Pelabur (HPP). HPP kali ini diadakan bagi peringkat Wilayah Tengah yang tertumpu kepada para pelabur baru dan sedia ada. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM Investment, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff, “tujuan HPP diadakan ialah untuk merapatkan hubungan di antara ASM Investment dengan para pelabur terutamanya kerana kami sangat menghargai keyakinan para pelabur untuk kami uruskan pelaburan mereka. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar sekarang ini, pelabur individu selain juga pihak korporat amat berhati-hati dalam berbelanja dan membuat pelaburan termasuk ke dalam saham amanah.”

HPP kali ini yang diadakan di Kuala Lumpur bagi merangkumi Wilayah Tengah atau HPP KL 2009 merupakan aktiviti ketiga anjuran ASM Investment dalam usaha mendekati para pelabur. HPP telah diaktifkan pertama kalinya di Kuantan, Pahang bagi merangkumi Wilayah Pantai Timur dan Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi merangkumi Wilayah Utara. Menurut Nik Zaki, sambutan daripada para pelabur adalah menggalakkan dan HPP turut berjaya menarik pelabur-pelabur baru melabur ke dalam dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh ASM Investment.

Sempena HPP KL 2009 kali ini, ASM Investment turut menyampaikan pampasan perlindungan takaful kepada empat waris para pelabur. Jumlah pampasan ialah sebanyak RM152,000.00. Dari tempoh 2006 hingga 2009, ASM Investment telah menyerahkan pampasan takaful melebihi RM360,000.00 kepada waris dan para pelaburnya yang layak. Daripada 14 dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh ASM Investment, lima daripada dananya menyediakan perlindungan takaful dan insuran percuma kepada para pelabur. Dana-dana tersebut ialah, Dana Al-Aiman, Dana Bestari, ASM Dana Mutiara, ASM Balanced Fund serta Amanah Saham Pekerja-pekerja TNB.

Kata Nik Zaki, ”pampasan yang diserahkan pada hari ini, tidak menjejaskan pegangan pelaburan para pelabur, kerana pelaburan dilindungi dengan nilai RM1.00 untuk setiap unit yang dipegang. Kami berharap pampasan yang diterima oleh waris ataupun para pelabur dapat membantu disaat-saat mereka memerlukan.

ASM Investment merupakan subsidiari milik penuh Amanah Saham Mara Berhad, sebuah syarikat pelopor dalam industri pengurusan saham amanah negara. ASM Investment juga diiktiraf oleh KWSP sebagai salah sebuah Institusi Pengurusan Dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP.

 
Disediakan Oleh : Pemasaran, Promosi dan Perkhidmatan Pelanggan
Tarikh : 09 Disember 2009

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
 
MARINA GHAZALI
Ketua
Pemasaran, Promosi dan Perkhidmatan Pelanggan
ASM Investment Services Berhad
Tel: 03 - 41453966
Fax:03 - 41453901
Hp : 013 - 3807423
E-Mail : marina@asmb.com.my,