ASM INVESTMENT SERVICES BERHAD
 
SIRI ARTIKEL MENGENAI UNIT AMANAH
 
 
Senarai Artikel
 
 
 

BAHAGIAN 1

Pengenalan

Sebelum awal tahun-tahun 80-an, industri saham amanah boleh dikatakan tumbuh pada kadar yang agak perlahan. Hanya menjelang 1991 dan seterusnya industri ini telah mengalami pertumbuhan yang agak ketara dari segi pertambahan syarikat pengurusan saham amanah dan dana-dana unit amanah yang diluluskan. Pada tahun 2000, terdapat sebanyak 34 syarikat pengurusan saham amanah yang menguruskan 107 dana saham amanah.

Dengan perkembangan sihat ini, pengetahuan masyarakat dalam pelaburan amanah saham turut juga berkembang dan kaedah pelaburan ini menjadi semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat pelabur kini sudah semakin bijak menilai jenis pelaburan yang sesuai untuk mereka. Tambahan pula, pihak Kerajaan amat menggalakkan agar lebih banyak dana saham amanah dibentuk bagi menyediakan lebih banyak pilihan pelaburan kepada masyarakat selain melabur terus ke dalam pasaran saham. Namun begitu, pelaburan di dalam amanah saham mempunyai kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan melabur terus ke dalam pasaran saham. Ini adalah kerana ianya secara tidak langsung bersangkutan dengan pelaburan berisiko rendah dan merupakan cara yang selamat bagi mereka yang merancang untuk melabur dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.

Bagi mereka yang inginkan gambaran yang lebih jelas tentang pelaburan saham amanah dan elemen-elemen yang berkaitan dengannya, ikuti ruangan mingguan ‘Unit Amanah dan Anda’ yang bakal memberikan panduan-panduan berguna kepada para pembaca mengenai kelebihan melabur di dalam saham amanah. Ianya secara kasar memberikan pemahaman yang lebih jelas dalam pilihan pelaburan yang terdapat di pasaran selain daripada kaedah pelaburan lain. Selain daripada itu, ruangan ini akan memaparkan beberapa istilah kewangan yang buat masa ini agak asing supaya anda lebih yakin dan dapat memahami bahan-bahan bacaan kewangan yang perlu anda fahami sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Imbasan Sejarah Industri Saham Amanah di Malaysia

Industri saham amanah bukanlah satu industri yang baru. Bahkan ianya telah bermula sejak lebih 178 tahun yang lalu, iaitu pada 1822 di Belgium dan berkembang ke United Kingdom pada tahun 1868 dengan penubuhan ‘Foreign & Colonial Government Trust’. Industri ini kemudiannya berkembang ke Scotland pada 1886 setelah konsep saham amanah dibawa oleh Robert Fleming. Pertumbuhan industri ini terbantut oleh Krisis Baring (1890an) dan Perang Dunia Pertama (1914 - 1918) tetapi kembali berkembang dan tiba di Amerika Syarikat pada 1924 dengan penubuhan ‘Massachusetts Investors Trust’.

Di Malaysia pula, industri saham amanah telah bertapak di negara ini sejak tahun 1959 apabila pelabur Inggeris di Singapura menubuhkan Malayan Unit Trust Limited dan diikuti dengan penubuhan dana saham amanah pertama di Malaysia, ‘Unit Trust Fund of Malaya’. Dalam tahun 1966, Asia Unit Trust Limited pula ditubuhkan.

Ini diikuti pula dengan penubuhan Amanah Saham Mara Berhad sebagai syarikat amanah saham pertama yang dimiliki oleh Bumiputera dan ditubuhkan untuk Bumiputera dalam tahun 1967. Setahun kemudiannya dalam bulan April 1968, dana saham amanah pertama untuk pelabur Bumiputera yang dikenali sebagai ‘First MARA Bumiputra Investment Fund’ telah dilancarkan oleh Amanah Saham Mara Berhad.

Dalam tahun 1976, Amanah Saham Pahang Berhad telah ditubuhkan sebagai syarikat amanah saham negeri yang pertama dan dalam tahun 1981, Amanah Saham Nasional dilancarkan sebagai instrumen pasaran modal untuk meningkatkan taraf hidup dan penyertaan atau pemilikan ekuiti Bumiputera. Dengan terlancarnya Amanah Saham Nasional dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputera, telah membuka lembaran baru di dalam industri saham amanah di Malaysia apabila masyarakat mula memahami dengan lebih mendalam lagi tentang kebaikan melabur di dalam saham amanah. Bermula dari tahun 1983, banyak institusi kewangan telah melancarkan produk saham amanah mereka dan industri ini terus berkembang dengan pesatnya.

Dengan memperkenalkan Garispanduan Saham Amanah dan berkuatkuasanya Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 serta penubuhan Persekutuan Pengurus-Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) sebagai badan-badan pengawas industri saham amanah dalam tahun 1990an telah mengukuhkan lagi industri saham amanah. Perkembangan ini berserta dengan ‘super bull run ‘ pada tahun 1993 turut menyumbang kepada pertumbuhan industri saham amanah.

Konsep Saham Amanah

Saham amanah boleh dite rangkan sebagai pertalian tiga pihak, iaitu di antara pemegang unit, syarikat pengurusan dana dan pemegang amanah. Pertalian tiga pihak ini diikat dengan Suratikatan Amanah yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Saham amanah merupakan satu skim pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang yang dilaksanakan dengan mengumpulkan wang dari ramai pelabur dalam satu dana dan diuruskan oleh Pengurus Dana secara profesional dan sepenuh masa. Pengurus Dana pula akan melaburkan wang yang dikumpulkan itu ke dalam saham dan/atau sekuriti yang dibenarkan bagi pihak pelabur. Pelabur-pelabur pula akan menikmati pulangan pelaburan mereka menerusi pengembangan modal dan dividen (jika ada).

Setiap unit yang dipegang merupakan sebahagian daripada portfolio sekuriti dana tersebut. Nilai unit merupakan jumlah nilai pasaran portfolio pelaburan dibahagi dengan unit dalam edaran (Nilai Aset Bersih). Ini bermakna sekiranya nilai portfolio meningkat, maka nilai unit juga turut meningkat. Ini dinamakan pengembangan modal. Jika anda menjual unit ini pada harga yang lebih tinggi daripada ketika anda membelinya, maka anda telah mendapat keuntungan. Sebaliknya pula, jika nilai portfolio menurun, maka nilai unit juga turut menurun. Anda akan mengalami kemerosotan nilai pelaburan anda dan jika anda menjual unit-unit pada kadar harga yang lebih rendah daripada harga ketika anda membelinya sudah pasti anda akan mengalami kerugian.

Apabila dana tersebut mempunyai pendapatan hasil daripada pelaburan sekuriti yang dibuat, maka pendapatan dana ini akan diagih kepada pemegang unit menerusi dividen. Jika dana tersebut hanya berjaya menghasilkan pendapatan yang kecil atau tidak langsung, dana ini tidak akan mengeluarkan dividen. Untuk itu, para pelabur perlu faham bahawa dividen bukanlah satu kemestian tetapi sebaliknya bergantung kepada kemampuan dana untuk berbuat demikian. Walaupun begitu, setiap syarikat pengurusan saham amanah akan sentiasa berusaha supaya pelabur-pelabur akan menikmati dividen pada setiap tahun.

Secara amnya, terdapat tiga (3) pihak yang berkaitan dengan sesebuah dana saham amanah, iaitu:-

1. Pelabur – pihak yang mengamanahkan wangnya untuk dilaburkan. Pelabur dana saham amanah atau pemegang unit terdiri daripada pelabur individu, institusi, syarikat, koperasi, pertubuhan dan lain-lain. Terdapat juga dana saham amanah yang mengenakan syarat kelayakan pelabur. Contohnya, terdapat sepuluh (10) dana saham amanah yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad yang dikenali sebagai Tabung Kumpulan Modal Bumiputra yang hanya dibuka kepada pelabur Bumiputera sahaja.

2. Syarikat Pengurusan – pihak yang diamanahkan untuk melaburkan wang dari pelabur-pelabur. Syarikat Pengurusan adalah pihak yang akan menguruskan segala perihal berkaitan dengan dana saham amanah termasuk pendaftaran, pentadbiran urusniaga, pengeluaran laporan, pelaburan dana dan sebagainya mengikut Garispanduan Saham Amanah dan Suratikatan Amanah serta lain-lain undang-undang dan peraturan yang mengawal operasi saham amanah. Namun begitu, terdapat juga Syarikat Pengurusan yang menyerahkan urusan pelaburan dana kepada pihak ketiga, selalunya kepada syarikat Pengurusan Dana Berlesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

3. Pemegang Amanah – pihak yang dilantik bagi menjaga kepentingan pemegang unit serta menyelia Syarikat Pengurusan supaya sentiasa mematuhi Garispanduan Saham Amanah dan menguruskan dana mengikut Suratikatan Amanah. Pemegang Amanah juga memegang dan mengawasi aset dana saham amanah bagi pihak pemegang unit dan memastikan Syarikat Pengurusan tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menguruskan dana amanah saham.

Bagi mengawalselia industri saham amanah dan menjaga kepentingan pelabur, Suruhanjaya Sekuriti telah dibentuk. Melalui Garispanduan Saham Amanah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, setiap syarikat pengurusan dikehendaki mempunyai Pegawai Komplian yang bertanggungjawab memastikan semua operasi saham amanah oleh syarikat berkenaan mematuhi Garispanduan Saham Amanah, Suratikatan Amanah, Prospektus dan segala undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa. Suruhanjaya Sekuriti sentiasa mengemaskini undang-undang Saham Amanah supaya pelaburan melalui saham amanah selamat dan teratur.

 

BAHAGIAN 2

Faedah Melabur di dalam Saham Amanah

Secara dasarnya, pelaburan di dalam saham amanah adalah untuk anda yang mahukan satu bentuk pelaburan bagi jangka masa sederhana dan panjang. Sebelum mengambil keputusan untuk melabur wang yang telah dikumpul dari penat lelah anda, terlebih dahulu, anda perlu menilai kebaikan yang boleh dinikmati dengan melabur di dalam saham amanah. Apa yang penting ialah pelaburan dalam saham amanah membolehkan anda mempelbagaikan dana-pelaburan dengan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pelaburan secara terus di dalam pasaran saham. Pelaburan saham amanah juga amat sesuai bagi anda yang mempunyai modal yang kecil, tidak arif dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan portfolio peribadi . Kelebihan melabur di dalam saham amanah adalah seperti berikut:

1. Kepelbagaian Pelaburan bagi Mengurangkan Risiko

Bagi anda yang melabur di dalam saham amanah, kelebihan yang nyata ialah kepelbagaian di dalam pelaburan (diversification) kerana anda akan dapat mengurangkan risiko. Melalui saham amanah anda kini secara tidak langsung berpeluang melabur ke dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Menerusi pelaburan di dalam dana saham amanah, pengurus dana akan melaburkan ke dalam pelbagai saham-saham termasuk saham mewah, pasaran wang dan jenis pelaburan lain yang tersenarai dalam strategi pelaburan dana tersebut. Dengan pelaburan yang walaupun kecil, anda boleh mempelbagaikan pelaburan yang mana tidak dapat anda lakukan dengan jumlah yang sama jika mengambil bahagian secara langsung di dalam pasaran saham terbuka . Dengan yang demikian, pelaburan amanah saham merupakan pilihan pelaburan yang bijak bagi mereka yang mempunyai wang yang kecil.

2. Kemudahan Mendapat Pengurusan Dana Profesional

Para pelabur tidak perlu bersusah-payah untuk menjalankan penyelidikan terhadap pasaran saham kerana pelaburan anda akan diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Pengurusan dana yang efektif memerlukan penyelidikan berterusan dan sentiasa peka terhadap sebarang perubahan pasaran yang mungkin akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham. Untuk itu, semua keputusan pelaburan dibuat berdasarkan penyelidikan rapi dan menyeluruh. Anda hanya perlu memantau, menilai dan menyimpan rekod dana-dana yang anda laburkan.

3. Kemudahan Menunaikan Pelaburan

Saham amanah boleh dibeli dan dijual dengan mudah pada bila-bila hari urusniaga. Ini bermakna anda bebas untuk memasuki atau keluar daripada pelaburan saham amanah pada bila-bila masa yang sesuai . Syarikat pengurusan saham amanah dimestikan membeli semula unit-unit amanah yang ingin anda jual semula. Anda boleh mendapat wang anda dalam tempoh sepuluh hari atau kurang dari tarikh unit anda dijual. Namun ada sesetengah syarikat pengurusan yang melunaskan bayaran pada hari urusniaga yang sama.

4. Banyak Pilihan Dana Mengikut Objektif Pelaburan

Setiap dana mempunyai objektif pelaburannya yang tersendiri. Sebagai pelabur, anda juga perlu mempunyai objektif pelaburan anda. Jika anda membuat pelaburan untuk mendapatkan pulangan sederhana, maka dana seimbang lebih sesuai untuk anda. Jika anda mahukan pulangan yang cepat, maka risikonya agak tinggi juga. Untuk itu dana yang sesuai ialah dana pertumbuhan.

5. Transaksi Pelaburan Mudah

Para pelabur mempunyai pilihan serta kemudahan untuk melabur, menjual semula, menukar dana atau mencantumkan unit-unit pelaburan mereka.

6. Pulangan Menarik

Kajian telah membuktikan bahawa pelaburan di dalam saham amanah dapat memberi pulangan yang lebih menarik daripada pelaburan lain seperti simpanan tetap. Sesetengah dana unit amanah juga dapat mencapai prestasi yang lebih baik dengan mencatatkan pertumbuhan mengatasi Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur.

Risiko Melabur di dalam Saham Amanah

Semua jenis pelaburan mempunyai risiko. Walau bagaimanapun, risiko yang akan dihadapi adalah berbeza di antara satu sama lain. Pelabur perlu bersedia untuk menghadapi serba sedikit risiko. Bagi sesetengah pelaburan perubahan pasaran saham akan meninggalkan kesan-kesan negatif atau positif. Dari itu, para pelabur dinasihatkan untuk memantau pelaburan mereka setiap masa. Pengurus dana yang berpengalaman luas sekalipun tidak dapat mengawal keadaan pasaran dan faktor-faktor lain yang turut menentukan atau mempengaruhi nilai pelaburan yang telah anda buat. Dengan yang demikian nilai pelaburan anda akan berubah mengikut perubahan harga saham di pasaran saham. Risiko melabur di dalam saham amanah boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Risiko Pasaran

Pelaburan di dalam saham amanah adalah dipengaruhi oleh risiko pasaran yang merangkumi perubahan-perubahan yang berlaku dari aspek ekonomi, politik dan persekitaran sosial. Perubahan-perubahan ini pula akan mempengaruhi prestasi pasaran saham yang seterusnya akan menjejaskan harga-harga nilai unit amanah apabila sebahagian besar portfolio dana tersebut dilaburkan dalam ekuiti di pasaran saham.

2. Risiko Portfolio

Ini merujuk kepada risiko saham tertentu yang terdapat di dalam portfolio dana amanah saham. Sesebuah syarikat mungkin akan meraih keuntungan atau mengalami kerugian dan apabila saham syarikat ini dipegang oleh dana amanah saham tertentu, nilai unit amanah itu akan turut naik atau turun. Risiko ini boleh dikurangkan dengan mempelbagaikan portfolio dan memastikan dana tersebut tidak terlalu menjurus kepada syarikat-syarikat atau sektor-sektor tertentu sahaja.

3. Tiada Jaminan bagi Dividen

Memandangkan dividen kepada pemegang unit diperolehi daripada pendapatan pelaburan, maka kadar dividen tidak dapat ditetapkan. Jika sesebuah dana meraih pendapatan daripada pelaburan yang baik pada sesuatu tahun kewangan, pemegang unit dana tersebut berkemungkinan mendapat dividen yang tinggi.

4. Syarikat Pengurusan

Prestasi sesebuah dana amanah saham itu bergantung kepada kepakaran syarikat pengurusan. Pengurusan yang lemah akan meninggalkan kesan terhadap prestasi dana dan pemegang unit. Untuk itu, sebagai pelabur, anda dinasihatkan supaya membuat kajian menyeluruh mengenai latar belakang syarikat pengurusan di samping kepakaran yang mereka ada. Pelabur juga perlu diingatkan supaya peka dengan garispandaun-garispanduan serta undang-undang yang mengawal industri ini bagi memastikan syarikat pengurusan menguruskan dana-dana mengikut peraturan yang ditetapkan.

5. Risiko Kecairan

Walaupun anda sebagai pelabur berhak untuk menjual semula unit-unit amanah yang anda pegang kepada syarikat pengurusan, anda perlu menunggu sebelum mendapat kembali wang pelaburan anda. Syarikat pengurusan dibenar membayar semula wang pelaburan pelabur dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh unit-unit dijual.

 

BAHAGIAN 3

JENIS-JENIS DANA SAHAM AMANAH DI MALAYSIA

Seiring dengan perkembangan inovasi di dalam produk kewangan yang diterajui oleh kepesatan teknologi maklumat dan kepelbagaian pelaburan, jenis dana saham amanah di Malaysia juga telah turut dipelbagaikan berbanding dengan dekad 70-an dan 80-an. Pelabur di Malaysia kini mempunyai pilihan untuk memilih jenis dana saham amanah yang bersesuaian dengan objektif pelaburan mereka.

Di dalam siri kali ini, kita akan menerangkan tentang jenis-jenis dana saham amanah di Malaysia. Bagi memudahkan pelabur membuat rujukan, penerangan berdasarkan kepada jenis dana saham amanah seperti yang diklasifikasikan oleh ‘Lipper Asia Limited’ (Lipper), sebuah syarikat penyelidikan berkecuali mempunyai kepakaran khusus dalam membuat analisa industri pelaburan dana antarabangsa. Syarikat ini bekerjasama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) untuk mengumpulkan maklumat menyeluruh tentang dana-dana di Malaysia.

Mengikut Lipper, dana saham amanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada 10 jenis seperti berikut:-

1. Dana Syariah

Dana Syariah menghadkan pelaburan dana di dalam saham dan instrumen pelaburan yang halal serta berlandaskan prinsip-prinsip Syariah. Bagi memastikan pelaburan dana tidak melanggar prinsip Islam, setiap Dana Syariah di Malaysia dimestikan untuk mempunyai Panel Penasihat Syariah yang terdiri dari sekurang-kurangnya tiga (3) individu yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman terutamanya di dalam bidang ‘fiqh muamallah’. Panel Penasihat Syariah ini bertanggungjawab memastikan bahawa pelaburan dana sentiasa halal. Antaranya ialah memastikan bahawa pelaburan dana tidak dibuat di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai operasi berteraskan riba (faedah), perjudian, mengeluarkan dan menjual barangan haram serta mempunyai operasi yang melibatkan kegiatan yang mempunyai unsur ‘gharar’ (ketidakpastian) seperti perniagaan insurans konvensional. Kini terdapat 12 Dana Syariah di Malaysia.

2. Dana Pengembangan dan Pendapatan

Terdapat paling banyak dana saham amanah dikategorikan sebagai Dana Pengembangan dan Pendapatan (36 dana sehingga kini). Dana jenis ini melaburkan sebahagian besar modalnya di dalam sekuriti di pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang tempatan. Dana jenis ini paling digemari oleh orang ramai kerana pelabur boleh menikmati pulangan dari pelaburan mereka menerusi dua (2) cara iaitu pengembangan modal (hasil dari kenaikan harga unit) dan/atau dividen (jika ada). Prestasi dana ini bergantung sebahagian besar kepada prestasi BSKL kerana kebanyakan pelaburan dibuat ke atas saham-saham di BSKL.

3. Dana Pengembangan

Dana jenis ini juga agak popular di kalangan syarikat pengurusan amanah saham dan pelabur. Terdapat 16 Dana Pengembangan di Malaysia kini. Dari segi pelaburan dana, ianya serupa dengan Dana Pengembangan dan Pendapatan. Perbezaannya hanyalah dari segi pulangan di mana Dana Pengembangan lebih mengutamakan pengembangan modal dari pembayaran dividen. Pelabur yang melabur di dalam dana ini boleh mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi pengembangan modal terutama apabila pasaran saham meningkat tetapi pulangan dari dividen adalah lebih terhad.

4. Dana Pasaran Wang

Dana jenis ini menghadkan pelaburannya di dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dana jenis ini mempunyai risiko paling rendah jika dibandingkan dengan dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan dari dana jenis ini juga adalah rendah kerana lazimnya pelaburan di dalam instrumen pasaran wang memberikan pulangan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di bursa saham. Dana jenis ini kurang popular dan hanya terdapat dua (2) Dana Pasaran Wang sahaja di Malaysia.

5. Dana Seimbang

Dana saham amanah jenis ini adalah gandingan di antara Dana Pengembangan dan Pendapatan dengan Dana Pasaran Wang. Ia secara amnya melabur sebahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang. Di antara kelebihan Dana Seimbang ialah ianya berupaya memberi pulangan yang lebih tinggi daripada Dana Pasaran Wang manakala risikonya pula adalah lebih rendah dari Dana Pengembangan dan Pendapatan. Pemegang unit dana jenis ini boleh mengharapkan pulangan yang terletak di antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di bursa saham. Terdapat lima (5) Dana Seimbang dalam industri saham amanah di Malaysia.

6. Dana Pendapatan Seimbang

Dana jenis ini adalah hampir serupa dengan Dana Seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Apa yang membezakannya ialah hampir keseluruhan pendapatan yang diperolehi oleh dana jenis ini dalam sesuatu tahun kewangan akan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk dividen. Oleh itu, secara amnya dana jenis ini memberikan pulangan pengembangan modal yang lebih rendah tetapi pulangan dari dividen mungkin lebih menarik jika dibandingkan dengan Dana Seimbang. Di Malaysia kini terdapat enam (6) Dana Pendapatan Seimbang yang ditawarkan kepada para pelabur.

7. Dana Bon

Dana Bon pula menghadkan pelaburannya di dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian (Private Debt Securities) atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dari segi profil risiko dan pulangan pula, ianya mirip kepada Dana Pasaran Wang di mana risiko dan pulangannya lebih rendah dari dana saham amanah yang melabur di bursa saham. Terdapat enam (6) Dana Bon di Malaysia kini.

8. Dana Indeks Ekuiti

Dana jenis ini juga dikenali sebagai dana pasif di mana portfolio dana dirangka supaya prestasi dana tersebut seiring dan mencerminkan prestasi sesuatu indeks di BSKL. Sebagai contoh, terdapat beberapa dana saham amanah yang objektifnya adalah untuk mengikut prestasi Indeks Komposit BSKL. Dana jenis ini akan membuat pelaburan di beberapa saham (kaunter) yang terdapat di dalam sesuatu indeks. Terdapat lima (5) dana jenis ini yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan amanah saham kini.

9. Dana Syarikat Kecil Berkembang

Dana jenis ini akan mendefinasikan dan mengambil-kira saiz syarikat di mana modal dana tersebut boleh dilaburkan. Sebagai contohnya, terdapat dana yang menghadkan pelaburan di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai Permodalan Pasaran (Market Capitalization) tidak lebih dari RM750 juta. Dana jenis ini lazimnya berisiko lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana saham amanah yang lain kerana dana ini melabur di dalam sekuriti/ekuiti syarikat kecil yang sedang berkembang dan selalunya belum begitu stabil jika dibandingkan dengan syarikat besar. Terdapat enam (6) dana jenis ini di Malaysia kini.

10. Dana Negeri

Dana Negeri adalah dana saham amanah yang diuruskan oleh institusi yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Sesetengah dana mengenakan syarat ke atas pelabur yang layak melabur di dalam dana tersebut. Sebagai contohnya, terdapat Dana Negeri yang menghadkan hanya pelabur bertaraf Bumiputera sahaja yang layak melabur. Terdapat tujuh (7) dana negeri di Malaysia kini di mana lima (5) darinya adalah Dana Ekuiti Konvensional dan dua (2) darinya adalah Dana Ekuiti Syariah.

Pada minggu hadapan, kita akan membincangkan bagaimanakah caranya untuk memilih jenis dana saham amanah yang sesuai untuk beberapa golongan pelabur selaras dengan objektif pelaburan mereka.

 

BAHAGIAN 4

BAGAIMANA MEMILIH DANA SAHAM AMANAH YANG SESUAI UNTUK BEBERAPA GOLONGAN PELABUR SELARAS DENGAN OBJEKTIF PELABURAN?

Dana saham amanah merupakan satu instrumen pelaburan yang memberikan pulangan sederhana pada risiko yang sederhana. Ianya terletak di tengah-tengah di antara pelaburan di dalam instrumen berpendapatan tetap dan pelaburan di dalam pasaran saham. Namun begitu, jenis dana saham amanah sendiri boleh disusun mengikut kadar jangkaan pulangan dan risiko masing-masing.

Dalam menentukan jenis dana saham amanah yang sesuai, seseorang pelabur seharusnya berpandukan kepada ‘putaran kitar hayat’ iaitu di dalam golongan manakah mereka berada sekarang. Selain daripada itu, pemilihan dana saham amanah juga harus bersesuaian dengan objektif pelaburan masing-masing. Sebagai contoh, adakah objektif pelaburan mereka untuk memiliki rumah sendiri dalam tempoh lima belas tahun lagi atau merancang persaraan dengan kedudukan kewangan yang stabil ataupun untuk membiayai kos pendidikan anak-anak di pusat-pusat pengajian tinggi dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Untuk memudahkan pemahaman mengenai perkara ini, pelabur di Malaysia secara amnya boleh dibahagikan kepada empat (4) golongan di dalam putaran kitar hayat mengikut umur dan cara kehidupan mereka:-

1. Graduan muda – mereka yang telah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan sedang bekerja samada sebagai pegawai kerajaan atau di syarikat swasta. Golongan ini secara amnya berumur di antara 21 dan 29 tahun, belum berkahwin, menjalani kehidupan moden, mempunyai kenderaan sendiri tetapi masih belum membeli rumah. Mereka sedang membina kerjaya di bidang yang mereka ceburi dan berkemungkinan berubah ke beberapa tempat kerja. Dari segi kewangan mereka mempunyai kedudukan kewangan yang kurang stabil tetapi mempunyai tempoh melabur yang panjang. Dari segi risiko pula, mereka boleh mengambil risiko pelaburan yang tinggi memandangkan tiada tanggungan walaupun jumlah pelaburan yang mampu dibuat adalah kecil.

Bagi pelabur dalam golongan ini yang berupaya untuk mengambil risiko yang tinggi, Dana Syarikat Kecil Berkembang paling sesuai untuk mereka tetapi sekiranya mereka mahukan dana saham amanah yang kurang sedikit risikonya, mereka bolehlah melabur di dalam Dana Indeks Ekuiti.

2. Ibu-bapa muda – mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil. Golongan ini berumur di antara 30 dan 40 tahun, telah mempunyai kenderaan dan rumah sendiri, mempunyai kerjaya yang agak stabil, sudah mempunyai sejumlah kecil pelaburan seperti perlindungan insurans, simpanan tetap atau saham amanah. Dari segi kewangan, mereka mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil dan mempunyai perancangan untuk menabung sebagai persediaan pengajian anak-anak. Dari segi risiko, mereka lebih cenderung kepada pelaburan yang berisiko sederhana tetapi dapat memberikan pulangan yang memuaskan untuk jangkamasa sederhana dan panjang. Mereka juga berkemampuan untuk melabur dalam jumlah yang lebih besar dari golongan graduan muda.

Golongan ibu-bapa muda ini boleh memilih dua (2) jenis dana saham amanah yang sesuai dengan mereka iaitu Dana Pertumbuhan (bagi mereka yang mahukan pengembangan modal yang tinggi) atau Dana Pertumbuhan dan Pendapatan (bagi mereka yang mahukan pengembangan modal dan dividen).

3. Pelabur pertengahan umur – mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak remaja yang sedang meningkat dewasa. Golongan ini berumur di antara 41 dan 50 tahun, mempunyai kerjaya yang telah stabil, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri tetapi mungkin masih belum dilangsaikan pinjamannya. Mereka mungkin masih menanggung anak-anak yang sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi. Mereka juga mungkin mempunyai pelaburan di simpanan tetap, saham amanah dan bursa saham. Dari segi kewangan, mereka mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan mula bersedia menabung untuk meningkatkan taraf hidup. Terdapat juga pelabur di dalam golongan ini yang menabung untuk persediaan modal bagi menceburkan diri dalam perniagaan atau sebagainya. Dari segi risiko, mereka lebih cenderung kepada pelaburan yang berisiko agak rendah tetapi dapat memberikan pulangan yang memuaskan dan berterusan untuk jangkamasa sederhana dan panjang. Mereka juga berkemampuan untuk melabur dalam jumlah yang lebih besar dari kedua-dua golongan di atas.

Dana saham amanah yang paling sesuai untuk golongan pelabur pertengahan umur ini ialah Dana Seimbang (bagi mereka yang mahukan pengembangan modal dan dividen yang sederhana) atau Dana Pendapatan Seimbang (bagi mereka yang lebih mementingkan dividen yang berterusan).

4. Pelabur menuju persaraan/telah bersara– mereka yang berumur 50 tahun ke atas samada masih bekerja atau telah bersara. Bagi pelabur yang masih bekerja, mereka sedang berada di kemuncak kerjaya, telah mempunyai beberapa orang anak yang telah menamatkan pengajian dan sedang memulakan kerjaya mereka sendiri. Mereka juga mungkin telah bebas daripada pinjaman kenderaan dan rumah serta mempunyai kuasa melabur yang tinggi. Bahkan mereka telahpun mempunyai pelaburan yang mantap di beberapa instrumen pelaburan. Dari segi kewangan, golongan ini mempunyai kedudukan kewangan yang sangat stabil dan ini membolehkan mereka menjalani cara hidup mewah. Dari segi risiko, mereka lebih berminat kepada pelaburan yang berisiko rendah dan rela menerima pulangan yang rendah dari pelaburan mereka.

Dengan profil risiko pulangan di atas, dana saham amanah yang sesuai untuk golongan ini ialah Dana Bon dan Dana Berpendapatan Tetap.

Daripada penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa dalam pemilihan dana saham amanah yang sesuai, selain dari faktor kedudukan pelabur dalam ‘putaran kitar hayat’, tahap kesediaan pelabur menerima risiko juga adalah penting. Untuk itu, lazimnya kesediaan pelabur menerima risiko adalah bergantung kepada kedudukan kewangan dan tanggungan mereka. Sebagai contoh, walaupun anda berada di dalam golongan 3 atau 4 tetapi merasakan sanggup untuk menghadapi risiko yang lebih tinggi, maka anda boleh memilih dana yang lebih agresif.

Selain daripada itu, terdapat juga golongan pelabur yang menitik-beratkan kedudukan dana dari segi Syariah di mana golongan ini lebih cenderung kepada melabur di dalam dana-dana saham amanah yang diurus berlandaskan unsur-unsur Syariah. Dengan yang demikian, tidak kira di mana peringkat umur anda sekalipun, jika unsur-unsur Syariah yang dititik-beratkan, maka dana-dana syariah adalah lebih sesuai. Dana syariah secara amnya menumpukan pelaburannya di kaunter-kaunter halal sahaja dengan pulangan sederhana.

Kita juga dapat membuat kesimpulan bahawa walau di golongan manapun seseorang pelabur itu berada, pasti terdapat satu dana saham amanah yang sesuai untuk pelabur tersebut. Tambahan pula, dana saham amanah mampu disertai oleh sesiapa sahaja baik golongan berada mahupun yang kurang berada. Ini adalah kerana seseorang pelabur tidak memerlukan modal yang besar untuk melabur di dalam dana saham amanah. Sebagai contoh, bagi pelaburan permulaan di dalam dana-dana saham amanah yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad, pelabur hanya perlu membuat pelaburan permulaan bernilai RM100 atau 100 unit (yang mana lebih tinggi nilainya) manakala pelaburan tambahan pula boleh dibuat pada kadar sekurang-kurangnya RM50 atau 50 unit (yang mana lebih tinggi nilainya). Jelaslah bahawa dana saham amanah adalah instrumen pelaburan yang mudah, fleksibel dan mampu disertai oleh semua golongan pelabur.

Bagi anda yang masih lagi teragak-agak dan tidak begitu pasti kedudukan anda di dalam golongan pelabur yang mana, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat pengurusan dana saham amanah. Kebiasaannya syarikat-syarikat pengurusan dana saham amanah mempunyai cara mereka sendiri untuk membantu bakal pelabur membuat keputusan pelaburan berdasarkan kedudukan kewangan, objektif pelaburan serta tahap risiko yang sanggup dihadapi oleh pelabur tersebut.

Pada keluaran minggu hadapan, kita akan melihat perbezaan di antara beberapa instrumen pelaburan di Malaysia bagi membolehkan pelabur membuat penilaian tentang instrumen yang sesuai dengan objektif pelaburan mereka.

 

BAHAGIAN 5

CARA-CARA MELABUR DI DALAM DANA SAHAM AMANAH

Pada minggu lalu kita telah memahami jenis-jenis dana saham amanah yang sesuai mengikut putaran kitar hayat pelabur. Berdasarkan contoh-contoh yang telah diberikan, perlu dijelaskan di sini bahawa dalam membuat pemilihan dana saham amanah yang sesuai, selain dari faktor kedudukan pelabur dalam ‘putaran kitar hayat’, tahap kesediaan pelabur menerima risiko juga adalah penting. Untuk itu, lazimnya kesediaan pelabur menerima risiko adalah bergantung kepada kedudukan kewangan dan tanggungan mereka. Sebagai contoh, walaupun anda berada di dalam golongan pelabur pertengahan umur ataupun sedang menuju persaraan, tetapi merasakan sanggup untuk menghadapi risiko tinggi, maka anda boleh memilih dana yang lebih agresif.

Selain daripada itu, terdapat juga golongan pelabur yang menitik-beratkan kesucian pelaburan dalam sesebuah dana, mereka ini lebih cenderung kepada melabur di dalam dana-dana saham amanah yang diurus berlandaskan unsur-unsur Syariah. Dengan yang demikian, tidak kira di mana peringkat umur anda sekalipun, jika unsur-unsur Syariah yang dititik-beratkan, maka dana-dana syariah adalah lebih sesuai. Dana syariah secara amnya menumpukan pelaburannya di kaunter-kaunter halal sahaja dengan pulangan sederhana.

Kita juga dapat membuat kesimpulan bahawa walau di dalam golongan manapun seseorang pelabur itu berada, pasti terdapat satu dana saham amanah yang sesuai untuk pelabur tersebut. Tambahan pula, dana saham amanah mampu disertai oleh sesiapa sahaja baik golongan berada mahupun yang kurang berada. Ini adalah kerana seseorang pelabur tidak memerlukan modal yang besar untuk melabur di dalam dana saham amanah. Sebagai contoh, bagi pelaburan permulaan di dalam dana-dana saham amanah yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad, pelabur hanya perlu membuat pelaburan permulaan bernilai RM100 atau 100 unit (yang mana lebih tinggi nilainya) manakala pelaburan tambahan pula boleh dibuat dengan jumlah minima RM50 atau 50 unit (yang mana lebih tinggi nilainya). Jelaslah bahawa dana saham amanah adalah instrumen pelaburan yang mudah, fleksibel dan mampu disertai oleh semua golongan pelabur.

Bagi anda yang masih lagi teragak-agak dan tidak begitu pasti kedudukan anda di dalam golongan pelabur yang mana, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat pengurusan amanah saham atau perunding-perunding pelaburan. Kebiasaannya, mereka ini mempunyai cara tersendiri untuk membantu bakal pelabur membuat keputusan pelaburan berdasarkan kedudukan kewangan, objektif pelaburan serta tahap risiko yang sanggup dihadapi oleh pelabur tersebut.

Setelah mengenal-pasti dana yang bersesuaian dengan objektif pelaburan, pelabur bolehlah memilih cara-cara melabur yang sesuai dengan mereka. Secara amnya terdapat beberapa cara melabur yang disediakan oleh syarikat pengurusan amanah saham bagi memberi pilihan yang bersesuaian dengan pelbagai kategori pelabur. Antara cara-cara tersebut adalah:-

· Pelaburan Terus

Pelabur boleh membuat pelaburan terus di ibu pejabat syarikat pengurusan amanah saham atau cawangan-cawangannya. Bagi syarikat pengurusan yang berada di bawah sokongan bank dan insitusi kewangan, cawangan-cawangan bank serta anak syarikat institusi tersebut dilantik sebagai ejen kutipan bagi pelaburan ke dalam dana saham amanah yang diuruskan. Selain daripada itu, Pejabat Pos juga turut dilantik sebagai ejen kutipan bagi pelaburan ke dalam dana yang diuruskan oleh PNB.

· Pelaburan menerusi ejen

Kebanyakan syarikat pengurusan amanah saham kini mempunyai perkhidmatan agensi masing-masing yang mana sebahagian besar dari jualan unit disumbangkan oleh ejen atau Perunding Pelaburan. Terdapat juga ejen atau Perunding Pelaburan yang menguruskan pejabat agensi mereka sendiri. Untuk ini, pelabur boleh melabur menerusi ejen-ejen individu atau di pejabat-pejabat agensi yang ditauliahkan oleh syarikat pengurusan amanah saham. Untuk menjadi ejen saham amanah, mereka perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Persekutuan Pengurus-pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM).

· Skim Pelaburan KWSP

Bermula dari tahun 1996, KWSP telah melancarkan satu skim yang dinamakan Skim Pelaburan Simpanan Ahli KWSP di mana pencarum KWSP yang layak boleh mengeluarkan sebahagian dari simpanan mereka di dalam Akaun 1 KWSP untuk dilaburkan di dalam mana-mana dana saham amanah yang diuruskan oleh institusi pengurusan amanah saham yang diluluskan. Buat masa ini, terdapat 25 syarikat yang diiktiraf sebagai Institusi Pengurusan Dana yang Diluluskan.

Untuk tujuan ini, pencarum KWSP yang berumur di bawah 55 tahun dan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM55,000 di dalam Akaun 1 KWSP, mereka boleh melabur tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi 20% daripada jumlah simpanan. Pengeluaran boleh dibuat setiap tiga (3) bulan.

· Perkhidmatan Autodebit

Pelaburan secara tetap adalah antara cara melabur yang paling baik bagi pelaburan saham amanah terutama sekali bagi mereka yang mahu melabur secara berdikit-dikit tetapi berterusan. Terdapat beberapa syarikat pengurusan amanah saham yang bekerjasama dengan bank untuk menawarkan perkhidmatan arahan atau dikenali sebagai Autodebit. Dengan Autodebit, pelabur yang mempunyai akaun dengan bank yang berkaitan boleh memberikan arahan tetap untuk mengeluarkan sejumlah wang dari akaun setiap bulan untuk dilaburkan ke dalam dana saham amanah yang dipilih. Sebagai contoh, ASM Investment Services Berhad menawarkan perkhidmatan Autodebit yang disediakan oleh Maybank, Bumiputra-Commerce Bank Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd. dan Bank Simpanan Nasional.

· Potongan Gaji

Selain dari perkhidmatan Autodebit, ada juga syarikat pengurusan amanah saham yang menyediakan perkhidmatan pelaburan bulanan menerusi potongan gaji. Dengan persetujuan majikan, pelabur boleh membuat potongan gaji setiap bulan untuk dilaburkan di dalam dana saham amanah.

· Pakej dana saham amanah dan simpanan tetap

Terdapat juga syarikat pengurusan amanah saham yang bekerjasama dengan institusi kewangan dalam menawarkan pelaburan bersama di dalam dana saham amanah dan simpanan tetap. Untuk ini, pelabur mempelbagaikan pelaburan mereka di dalam dua (2) instrumen pelaburan yang berlainan (dana saham amanah dan simpanan tetap) tetapi dipakejkan bersama.

Pada siri akan datang, kita akan menerangkan dengan terperinci tentang apa yang patut pelabur tahu tentang Nilai Aset Bersih Seunit, Harga Belian Dan Harga Jualan yang dicetak di akhbar-akhbar utama.

 

BAHAGIAN 6

Dalam siri minggu lepas, kita telah memahami pelbagai kaedah melabur di dalam dana saham amanah yang boleh dipilih oleh pelabur sesuai dengan objektif pelaburan dan kemampuan mereka. Untuk siri kali ini, kita akan menerangkan dengan terperinci tentang apa yang patut pelabur tahu tentang Nilai Aset Bersih Seunit, Harga Belian Dan Harga Jualan yang disiarkan di akhbar-akhbar utama. Selain dari itu, satu penerangan ringkas tentang cara-cara mengira pulangan dari pelaburan di dalam dana saham amanah juga ditunjukkan.

PENERANGAN HARGA-HARGA DANA SAHAM AMANAH

Terdapat tiga (3) jenis harga bagi setiap dana saham amanah yang kesemuanya disiarkan di akhbar-akhbar terkemuka. Harga-harga tersebut adalah:-

Nilai Aset Bersih (NAB) Seunit – ianya dikira berdasarkan nilai keseluruhan aset bersih dana tersebut yang dibahagikan dengan keseluruhan unit dalam pusingan dana tersebut pada sesuatu tarikh selepas mengambil kira semua perbelanjaan yang dibenarkan. NAB Seunit adalah harga atau nilai sebenar yang menunjukkan prestasi sesebuah dana amanah saham dan ianya berubah mengikut kedudukan pelaburan yang dibuat oleh dana tersebut. Ianya berubah pada setiap hari urusniaga di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Harga Belian (tebusan) – ianya merupakan harga seunit dana yang dibeli balik oleh syarikat pengurus apabila pelabur menjual balik unit yang telah dibeli. Harga ini ditentukan dengan mengambil NAB Seunit dan ditolak caj belian (sekiranya ada). Pelabur boleh membandingkan caj belian yang dikenakan oleh syarikat pengurusan amanah saham dengan melihat perbezaan di antara NAB Seunit dan Harga Belian sesebuah dana. Bagi syarikat pengurusan yang mengenakan caj belian, Harga Belian akan lebih rendah dari NAB Seunit. Namun begitu, kebanyakan syarikat pengurusan amanah saham di Malaysia tidak mengenakan apa-apa caj belian, oleh itu, NAB Seunit dan Harga Belian sentiasa sama. Ini termasuklah ASM Investment Services Berhad.

Harga Jualan - ianya merupakan harga seunit dana yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan atau yang dibeli oleh pelabur. Harga ini ditentukan dengan mengambil NAB Seunit dan ditambahkan caj jualan yang tidak melebihi suatu kadar yang ditetapkan oleh syarikat pengurusan amanah saham dan dizahirkan terlebih dahulu di dalam prospektus. Dengan adanya caj jualan ini, Harga Jualan akan sentiasa lebih tinggi dari NAB Seunit. Kadar caj jualan yang dikenakan oleh syarikat pengurusan berbeza bahkan caj jualan di antara sesebuah dana juga berbeza. Pelabur boleh membandingkan caj jualan yang dikenakan dengan melihat perbezaan di antara Harga Jualan dan NAB Seunit.

Apabila sesebuah dana saham amanah mengisytiharkan dividen dan/atau pecahan unit kepada pemegang-pemegang unitnya, satu tanda khas akan diletakkan di sebelah Harga Jualan dana tersebut bagi memaklumkan perihal tersebut kepada umum. Ini adalah penting kerana harga-harga sesebuah dana saham amanah akan diselaraskan kepada dividen dan/atau pecahan unit dan ini akan menyebabkan terdapat perubahan harga yang mungkin agak ketara dari harga pada hari sebelum pengisytiharan dividen dan/atau pecahan unit tersebut.

Sekiranya dana tersebut mengisytiharkan dividen, tanda ‘xd’ akan diletakkan di sebelah Harga Jualan dana tersebut manakala bagi pecahan unit pula, tanda ‘xbi’ akan diletakkan. Lazimnya, tanda-tanda tersebut akan disiarkan selama seminggu bermula dari hari tarikh pengisytiharan dividen dan/atau pecahan unit. Dengan adanya tanda-tanda ini, pelabur akan memahami bahawa perubahan ketara harga-harga dana tersebut adalah berikutan dari dividen dan/atau pecahan unit yang baru diisytiharkan.

PENGIRAAN PULANGAN DARI PELABURAN DI DALAM DANA SAHAM AMANAH

Pelabur yang melabur di dalam dana saham amanah boleh mengira kadar pulangan di atas pelaburan mereka pada bila-bila masa sahaja dan mereka tidak perlu benar-benar menjual balik atau menebus pelaburan mereka untuk mengira kadar pulangan tersebut. Ini adalah kerana secara asasnya, Harga Belian pada sesuatu hari sentiasa boleh dianggap sebagai harga di mana pelabur menjual balik semua pelaburan mereka walaupun pada hakikat sebenarnya mereka belum berbuat demikian. Ini membolehkan pelabur membuat andaian, "Sekiranya saya menjual balik semua pelaburan saya di dalam dana ini hari ini, saya akan mendapat pulangan sekian banyak dari pelaburan saya".

Bagi tujuan pengiraan pulangan, beberapa faktor perlu diambil-kira. Untuk itu, kita melihatnya menerusi dua (2) situasi seperti di bawah:-

Situasi 1 - Tiada pengisytiharan dividen di sepanjang tempoh pelaburan

Untuk situasi ini, cara pengiraan pulangan adalah mudah. Contohnya:-

Encik Ahmad melabur RM10,000 di dalam Dana ABC pada 01 Mac 2000 dan pada ketika beliau melabur, Harga Jualan Dana ABC ialah RM1.00. Oleh itu, Encik Ahmad telah mendapat 10,000 unit Dana ABC (RM10,000 pelaburan asal dibahagikan dengan RM1.00 Harga Jualan).

Pada 01 September 2000, Harga Belian Dana ABC ialah RM1.10 dan Harga Jualan pula ialah RM1.15. Oleh itu, pada 01 September 2000, sekiranya Encik Ahmad menjual balik kesemua pelaburannya, beliau akan mendapat RM11,000 (10,000 unit yang dimilikinya didarabkan dengan RM1.10 Harga Belian). Pulangan beliau pula ialah RM1,000 (RM11,000 dari jualan balik ditolak dengan RM10,000 pelaburan asal). Kadar pulangan pelaburan Encik Ahmad di dalam Dana ABC ialah 10% (RM1,000 pulangan dibahagikan dengan RM10,000 pelaburan asal). Namun begitu, kadar pulangan ini adalah untuk tempoh enam (6) bulan dari 01 Mac 2000 hingga 01 September 2000. Kadar pulangan tahunan bagi pelaburan Encik Ahmad ialah 5% (10% kadar pulangan selama enam (6) bulan didarabkan dengan 6 / 12 bulan).

Situasi 2 - Terdapat pengisytiharan dividen di sepanjang tempoh pelaburan

Apabila terdapat pengisytiharan dividen di sepanjang tempoh pelaburan, maka pelarasan perlu dibuat untuk mengira pulangan. Dengan menggunakan contoh di Situasi 1, andaikan bahawa Dana ABC mengisytiharkan dividen bersih sebanyak 10% seunit pada 15 Ogos 2000 manakala harga-harga adalah sama seperti contoh di atas. Dengan pengisytiharan dividen tersebut, Encik Ahmad akan mendapat dividen berjumlah RM1,000 dari pelaburannya (10,000 unit yang dimiliki didarabkan dengan 10%).

Sekiranya Encik Ahmad menjual balik kesemua pelaburannya seperti contoh di Situasi 1, beliau seharusnya mengambil-kira dividen yang telah diisytiharkan untuk mengira pulangan beliau. Oleh itu, pulangan beliau ialah RM2,000 (RM1,000 pulangan dari jualan balik dicampurkan dengan RM1,000 pulangan dari dividen). Kadar pulangannya pula akan berubah menjadi 20% (RM2,000 jumlah pulangan dibahagikan dengan RM10,000 pelaburan asal) manakala kadar pulangan tahunan pula menjadi 10% (20% kadar pulangan selama enam bulan didarabkan dengan 6 / 12 bulan).

Dari contoh di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa jumlah pulangan dan kadar pulangan yang akan diterima oleh pelabur bergantung besar kepada Harga Jualan ketika unit dibeli dan Harga Belian ketika jualan balik dibuat. Contoh di atas menunjukkan pulangan yang akan diterima oleh pelabur di mana harga-harga unit dana saham amanah meningkat dalam tempoh pelaburan. Namun begitu, sekiranya harga-harga dana saham amanah tersebut menurun dalam tempoh pelaburan, pelabur boleh mengalami kerugian dari pelaburan mereka.

 

BAHAGIAN 7

Dalam siri minggu lepas, kita telah memahami tentang harga-harga saham amanah yang disiarkan di akhbar-akhbar serta cara-cara mengira pulangan dari pelaburan di dalam dana saham amanah. Untuk siri minggu ini, kita akan menerangkan tentang pelaburan yang dibuat oleh dana saham amanah bagi memberi pemahaman yang lebih baik kepada pelabur tentang had dan batasan pelaburan sesebuah dana saham amanah.

Secara amnya, jenis pelaburan yang dibenarkan bagi dana saham amanah boleh dibahagikan kepada tujuh (7) bahagian seperti berikut:-

1. Sekuriti

Pelaburan yang dibuat oleh dana adalah bergantung kepada jenis dana tersebut. Namun, secara amnya kesemua dana saham amanah mestilah melabur di dalam sekuriti yang bersesuaian dengan objektif sesuatu dana itu. Sebagai contoh, Dana Pasaran Wang melabur di dalam instrumen pasaran wang manakala Dana Bon pula melabur di dalam bon. Selain dari kedua-dua jenis dana ini, dana saham amanah yang lain melabur sebahagian besar asetnya di dalam saham dan sekuriti yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Selain dari itu, sekuriti yang dilaburkan mestilah mempunyai harga tersedia (tersiarharga) atau nilai serta didagangkan di pasaran yang dibenarkan.

2. Sekuriti Asing

Selain dari sekuriti di dalam negara, dana saham amanah juga boleh melabur di dalam sekuriti asing di pasaran luar negara asalkan ianya bersesuaian dengan objektif dana tersebut. Namun begitu, pelaburan sebegini mestilah mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysia dan lain-lain pihak yang berkuasa terlebih dahulu. Untuk tujuan ini, hanya saham, debentur, bon dan waran yang didagangkan di pasaran luar negara sahaja dibenarkan manakala pelaburan di dalam niagaan hadapan luar negara adalah tidak dibenarkan.

3. Sekuriti Tidak Tersiarharga

Dana saham amanah juga boleh melabur di dalam sekuriti tidak tersiarharga yang ditawarkan terus kepada dana saham amanah tersebut oleh penerbit Malaysia. Sekuriti tidak tersiarharga di sini bermaksud sekuriti atau saham syarikat yang belum disenaraikan di bursa saham yang dibenarkan di Malaysia tetapi telah mendapat kelulusan untuk disenaraikan. Namun begitu, nilai pelaburan di dalam sekuriti tidak tersiarharga tidak boleh melebihi 10% dari Nilai Aset Bersih (NAB) dana saham amanah tersebut.

4. Skim Pelaburan Kolektif

Dana saham amanah dibenarkan untuk melabur di dalam unit atau saham dalam skim pelaburan secara kolektif asalkan ianya konsisten dan relevan dengan objektif pelaburan dana. Namun begitu, seperti pelaburan di dalam sekuriti tidak tersiarharga, nilai pelaburan di dalam skim pelaburan kolektif tidak boleh melebihi 10% dari Nilai Aset Bersih (NAB) dana saham amanah tersebut.

5. Niagaan Hadapan

Dana saham amanah juga boleh melabur di dalam niagaan hadapan di pasaran hadapan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Akta Industri Niagaan Hadapan 1993. Pelaburan di dalam niagaan hadapan hanya boleh dibuat untuk tujuan lindung nilai sahaja. Namun begitu, bagi dana saham amanah yang mahu melabur di dalam niagaan hadapan, syarikat pengurusan dan pengurus pelaburan mestilah mendapat lesen niagaan hadapan di bawah Akta Industri Niagaan Hadapan 1993 terlebih dahulu.

6. Pinjaman Sekuriti

Dana saham amanah dibenarkan untuk memberi pinjaman sekuriti dengan syarat ia mematuhi Garispanduan untuk Pinjaman dan Memberi Pinjam Sekuriti.

7. Aset Cair

Dana saham amanah juga boleh memegang aset cair sebagai pelaburan. Aset cair di sini bermaksud tunai, simpanan dengan institusi kewangan berlesen dan/atau institusi berlesen lain yang diluluskan dan dibenarkan menerima simpanan. Aset cair juga bermaksud sebarang instrumen lain yang boleh ditukarkan kepada wang tunai dalam masa tujuh (7) hari sepertimana yang diluluskan oleh Pemegang Amanah. Tahap kecairan aset yang dipegang oleh sesebuah dana saham amanah itu ditentukan oleh syarikat pengurusan dengan persetujuan Pemegang Amanah.

Batasan Pelaburan

Selain dari jenis pelaburan seperti di atas, sesebuah dana saham amanah juga tertakluk kepada beberapa batasan pelaburan yang telah diperuntukkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Batasan pelaburan ini diperuntukkan secara amnya untuk mempastikan bahawa pelaburan dana adalah dipelbagaikan dan tidak tertumpu kepada segelintir sekuriti atau syarikat sahaja.

Antara peruntukan tersebut ialah:-

· Nilai pegangan dana saham amanah bagi modal saham mana-mana satu syarikat tidak boleh melebihi 10% daripada NAB dana tersebut. Sebagai contoh, sekiranya dana saham amanah tersebut mempunyai NAB bernilai RM100 juta, sejumlah tidak melebihi RM10 juta dari NAB dana tersebut boleh dilaburkan di dalam saham Renong.

· Nilai pegangan dana saham amanah bagi sekuriti untuk, dan sekuriti yang berkaitan dengan, mana-mana satu penerbit tidak boleh melebihi 15% daripada NAB dana tersebut. Dengan menggunakan contoh di atas, keseluruhan pelaburan di dalam saham Renong, Saham Pinjaman Renong dan Waran Renong tidak boleh melebihi RM15 juta dari NAB dana tersebut.

· Nilai pegangan dana saham amanah bagi sekuriti untuk, dan sekuriti yang berkaitan dengan, sebarang syarikat kumpulan tidak boleh melebihi 20% daripada NAB dana tersebut kecuali jika ada sebab yang munasabah boleh diberi kepada Pemegang Amanah dan Suruhanjaya Sekuriti. Dengan menggunakan contoh di atas, keseluruhan pelaburan di dalam saham Renong, Saham Pinjaman Renong, Waran Renong, saham UE(M) dan saham Time Engineering tidak boleh melebihi RM20 juta dari NAB dana tersebut.

· Nilai pegangan dana saham amanah bagi apa-apa kelas sekuriti bagi mana-mana satu penerbit tidak boleh melebihi 10% daripada sekuriti yang diterbitkan. Sebagai contoh, bagi Renong yang mempunyai 2.32 billion saham yang diterbitkan, sesebuah dana saham amanah tidak boleh melabur di dalam lebih dari 232 juta saham Renong.

Dengan penerangan di atas, anda di harap dapat memahami dengan lebih mendalam lagi tentang pelaburan yang dibuat oleh sesebuah dana saham amanah serta had dan batasan yang perlu dipatuhi.

 

BAHAGIAN 8

STRATEGI MELABUR DI DALAM SAHAM AMANAH

Dalam siri minggu lepas, ruangan ini telah memaparkan tentang had dan batasan pelaburan yang boleh dibuat oleh dana saham amanah. Pada kali ini, kita akan menerangkan tentang strategi untuk melabur di dalam saham amanah apabila pergerakan pasaran saham berubah.

Seperti yang kita sedia maklum, pergerakan pasaran saham berubah pada setiap hari urusniaga. Kadangkala pergerakan tersebut kecil dan tidak ketara tetapi kadang kala perubahan tersebut agak ketara dan mungkin akan mengubah nilai-nilai unit dana saham amanah yang membuat pelaburan di dalam saham-saham di bursa saham. Untuk itu, pelabur dana saham amanah mempunyai pilihan sama ada hendak menjadi pelabur yang pasif atau aktif. Walaupun saham amanah sememangnya satu instrumen pelaburan untuk jangkamasa sederhana dan panjang, namun pelabur seharusnya sedar bahawa nilai unit dana ketika pelaburan dibuat adalah penting dalam menentukan kedudukan untung/rugi pelaburan tersebut dan nilai unit dana pula sangat bergantung kepada kedudukan pasaran saham.

PELABUR AKTIF BOLEH MENERIMA PULANGAN YANG LEBIH BAIK

Pelabur yang pasif melabur tanpa mengira kedudukan pasaran saham. Bagi pelabur-pelabur begini, sekiranya mereka melabur ketika pasaran saham di paras yang rendah, besar kemungkinan mereka akan mendapat pulangan yang memuaskan dari pelaburan mereka. Ini adalah kerana harga dana saham amanah lazimnya berada di paras yang rendah ketika pasaran saham berada di paras yang rendah dan begitu juga sebaliknya. Namun, sekiranya mereka melabur ketika pasaran saham berada di paras tinggi, mereka berkemungkinan mengalami kerugian jika pasaran saham merudum. Nilai pelaburan akan menurun walaupun kerugian tersebut dianggap sebagai kerugian belum direalisasi sekiranya unit belum dijual.

Sebaliknya, pelabur aktif sentiasa peka kepada kedudukan pasaran saham dan bertindak mengubah kedudukan pelaburan mereka mengikut pergerakan pasaran saham. Ketika pasaran saham berada di paras yang rendah, pelabur aktif akan menambah pelaburan bagi mengurangkan kos purata seunit pelaburannya. Konsep ini dikenali sebagai "Dollar Cost Averaging".

Sebagai contoh, Encik Ahmad membuat pelaburan sebanyak 1,000 unit di dalam Dana ABC ketika Harga Jualan dana tersebut ialah RM1.00 seunit manakala Harga Belian pula ialah RM0.95. Pada masa tersebut, Indeks Komposit BSKL berada di paras 800 mata. Pasaran saham kemudiannya menurun dan Indeks Komposit BSKL pula merosot ke paras 700 mata dan Harga Jualan Dana ABC turut merosot ke RM0.90 dan Harga Belian menjadi RM0.85.

Ketika Indeks Komposit BSKL berada di paras 700 mata, Encik Ahmad telah mengalami kerugian belum direalisasi sebanyak 15.0 sen seunit kerana beliau membeli unit tersebut pada Harga Jualan RM1.00 seunit sedangkan beliau hanya boleh menjual unit tersebut pada Harga Belian RM0.85 seunit. Sekiranya Encik Ahmad benar-benar menjual unitnya ketika ini, kerugian belum direalisasi tersebut akan menjadi kerugian sebenar sebanyak 15.0 sen seunit atau RM150 (1,000 unit didarabkan dengan 15.0 sen).

Sebaliknya, sekiranya Encik Ahmad menambah pelaburannya ketika Indeks Komposit BSKL berada di paras 700 mata dengan jumlah unit yang sama banyak (1,000 unit), beliau akan membeli unit tersebut pada Harga Jualan RM0.90 seunit. Oleh itu, pelaburannya kali ini berjumlah RM900 (1,000 unit didarabkan dengan RM0.90 seunit). Beliau kini mempunyai 2,000 unit Dana ABC di mana 1,000 unit dibelinya pada harga RM1.00 seunit (ketika Indeks Komposit BSKL berada di paras 800 mata) manakala 1,000 unit lagi dibeli pada harga RM0.90 seunit (ketika Indeks Komposit BSKL berada di paras 700 mata). Oleh itu, kos purata seunit bagi 2,000 unit Dana ABC yang dipegang oleh Encik Ahmad kini ialah RM0.95 (RM1,000 dicampurkan dengan RM900 dan dibahagikan dengan 2,000 unit).

Diandaikan pasaran saham kemudiannya meningkat dan Indeks Komposit BSKL menokok ke paras 900 mata. Manakala itu, Harga Jualan Dana ABC pula meningkat ke RM1.10 seunit dan Harga Belian pula berada di paras RM1.05 seunit. Pada paras ini, pelaburan Encik Ahmad di dalam Dana ABC telah pun memberikan keuntungan belum direalisasi sebanyak 10.0 sen seunit kerana kos purata seunit pelaburannya ialah RM0.95 manakala beliau boleh menjual unit tersebut pada Harga Belian ketika itu iaitu RM1.05 seunit. Sekiranya Encik Ahmad benar-benar menjual unitnya ketika ini, keuntungan belum direalisasi tersebut akan menjadi keuntungan sebenar sebanyak 10.0 sen seunit atau RM200 (2,000 unit didarabkan dengan 10.0 sen).

Namun begitu, diandaikan Encik Ahmad tidak menambah pelaburannya ketika Indeks Komposit BSKL berada di paras 700 mata, beliau akan hanya memiliki 1,000 unit Dana ABC yang dibelinya pada harga RM1.00 seunit. Oleh itu, ketika Indek Kompsoit berada di paras 900 mata, pelaburan Encik Ahmad di dalam Dana ABC hanya memberikan keuntungan belum direalisasi sebanyak 5.0 sen seunit kerana kos purata seunit pelaburannya ialah RM1.00 manakala beliau boleh menjual unit tersebut pada Harga Belian ketika itu iaitu RM1.05 seunit. Sekiranya Encik Ahmad benar-benar menjual unitnya ketika ini, keuntungan belum direalisasi tersebut akan menjadi keuntungan sebenar sebanyak 5.0 sen seunit atau RM50 (1,000 unit didarabkan dengan 5.0 sen).

Contoh di atas menunjukkan kesan ke atas pelaburan seseorang pelabur sekiranya beliau tidak menambah pelaburan ketika pasaran saham menurun. Jelaslah, bagi Encik Ahmad, beliau akan mendapat keuntungan yang lebih iaitu sebanyak RM200 atau 10.0% pulangan di atas modal sekiranya beliau menggunakan strategi "Dollar Cost Averaging" berbanding dengan hanya RM50 atau 5.0% sekiranya beliau tidak menambah pelaburannya.

Untuk itu, pelabur di dalam dana saham amanah boleh memilih sama ada untuk menjadi pelabur yang pasif (tidak menghiraukan kedudukan pasaran saham) atau pelabur yang aktif (mengubah kedudukan pelaburan mereka selaras dengan pergerakan di pasaran saham). Namun, contoh di atas menunjukkan bahawa pelabur yang aktif dan menggunakan strategi "Dollar Cost Averaging" boleh mendapat pulangan yang lebih dari pelabur yang pasif.

 

BAHAGIAN 9

SAHAM AMANAH SEBAGAI PERANCANGAN KEWANGAN SIRI 1

Dalam siri minggu lepas, kita telah memahami tentang strategi untuk melabur di dalam saham amanah apabila pergerakan pasaran saham berubah. Kita juga telah mempelajari tentang strategi pelaburan pelabur pasif dan pelabur aktif serta teknik pelaburan yang dikenali sebagai "Dollar Cost Averaging". Untuk siri minggu ini dan berikutnya, kita akan menerangkan tentang bagaimana saham amanah boleh membantu dalam kita membuat perancangan kewangan .

Wang merupakan satu instrumen yang sangat penting di dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang bekerja untuk mendapatkan wang tetapi tidak ramai yang menjadikan wang bekerja untuk mereka. Untuk itu, ramai yang bertanyakan soalan berikut:-

· Adakah saya mempunyai wang yang cukup?

· Bagaimana cara untuk mendapatkan lebih wang?

Namun, soalan yang patut kita tanya kepada diri sendiri adalah :-

· Adakah simpanan saya mencukupi?

· Adakah saya berbelanja berlebihan?

· Bagaimana saya boleh melangsaikan hutang saya?

· Bagaimana saya hendak memperolehi wang yang mencukupi bagi membiayai kehendak saya?

Perancangan kewangan boleh membantu kita untuk menjawab soalan-soalan di atas. Perancangan kewangan merupakan satu pendekatan sistematik dalam menggunakan sumber dan penggunaan wang individu atau keluarga. Untuk merangka saru perancangan kewangan yang menyeluruh, anda seharusnya melihat kepada empat (4) aspek ini :-

· Apa yang telah anda capai – dari segi kewangan dan tanggungan, anda seharusnya menganalisa kedudukan kewangan yang dicapai dan tanggungan yang anda hadapi.

· Kedudukan anda sekarang – membuat analisa kedudukan kewangan dari segi aset dan hutang.

· Apa yang hendak anda capai – menentukan objektif perancangan kewangan anda.

· Bagaimana hendak mencapainya – menentukan cara-cara merancang kewangan yang boleh membantu mencapai objektif perancangan kewangan anda.

Sebelum kita melangkah lebih jauh lagi dalam topik perancangan kewangan ini, kita seharusnya memahami tentang aliran wang bagi individu atau keluarga. Terdapat dua (2) aliran wang masuk utama bagi individu atau keluarga iaitu:-

· Pendapatan biasa – sebagai contoh, gaji atau pendapatan dari perniagaan yang diterima setiap bulan. Secara amnya, kebanyakan individu dan kelaurga di negara ini menerima pendapatan tetap setiap bulan.

· Pendapatan dari simpanan atau pelaburan – sebagai contoh, dividen yang diterima dari pelaburan saham amanah, faedah dari simpanan tetap atau lain-lain pendapatan hasil dari simpanan atau pelaburan.

Dari segi aliran wang keluar, terdapat tiga (3) perkara utama iaitu:-

· Perbelanjaan - setiap individu atau keluarga pasti mempunyai perbelanjaan seperti sewa rumah, makanan dan minuman, pengangkutan, pakaian, hiburan dan sebagainya. Sesetengah perbelanjaan adalah tetap setiap bulan manakala sesetengah perbelanjaan bergantung kepada cara hidup dan kehendak individu atau keluarga tersebut.

· Pinjaman - lazimnya, bagi individu yang baru memasuki alam pekerjaan atau keluarga berpendapatan sederhana, mereka terpaksa meminjam untuk memiliki aset bagi kemudahan mereka. Sebagai contoh, kebanyakan individu di Malaysia terpaksa meminjam untuk membeli kereta atau rumah kerana mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli aset tersebut secara tunai walaupun kereta dan rumah merupakan kehendak asas yang diperlukan. Pinjaman tersebut memerlukan bayaran tetap setiap bulan dan menjadi aliran wang keluar utama.

· Simpanan atau pelaburan – sekiranya individu atau keluarga mempunyai lebihan pendapatan setelah menolakkan kesemua perbelanjaan dan pinjaman seperti di atas, mereka seharusnya menyimpan atau melaburkan wang lebihan tersebut. Ianya lebih baik dari menyimpannya di bawah tilam kerana wang yang disimpan di bawah tilam tidak akan memberi pendapatan kepadanya. Sedangkan wang yang dibuat simpanan akan memberikan pendapatan dan wang yang dilaburkan pula mungkin akan memberikan keuntungan yang lebih baik.

Seperti yang diterangkan di atas, anda sebenarnya mempunyai pilihan di atas apa yang hendak anda buat dengan lebihan pendapatan anda setelah menolakkan kesemua perbelanjaan dan pinjaman. Anda seharusnya menyimpannya di institusi kewangan atau melaburkannya. Sekiranya anda berhasrat untuk menyimpan di institusi kewangan, anda mempunyai pilihan untuk menyimpan di bank dengan membuka akaun simpanan atau akaun semasa. Namun, akaun simpanan dan akaun semasa memberi pulangan yang sangat rendah. Selain dari simpanan di bank, caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan simpanan di Lembaga Tabung Haji atau koperasi juga boleh dikategorikan sebagai simpanan dalam konteks ini.

Manakala itu, pelaburan pula dibuat di instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan yang lebih baik dari simpanan. Namun, seperti lumrah pelaburan, lebih tinggi pulangan lebih tinggilah risikonya. Untuk ini, pelaburan di simpanan tetap memberikan pulangan yang rendah tetapi pada risiko yang juga rendah. Selain dari simpanan tetap, pelaburan juga boleh dibuat di saham amanah, saham di bursa saham, hartanah dan sebagainya.

Pelaburan yang baik sekurang-kurangnya hendaklah boleh memberikan pulangan yang mengatasi kadar inflasi kerana kuasa beli wang sebenarnya menguncup apabila kadar inflasi meningkat. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai RM100 sekarang yang tidak dilaburkan untuk menerima apap-apa pulangan, ianya akan tetap bernilai RM100 di tahun hadapan. Namun sekiranya kadar inflasi meningkat sebanyak 4.0% dalam tempoh tersebut, kuasa beli RM100 tersebut telah menguncup. Ini adalah kerana, sekiraya barangan yang berharga RM100 sekarang akan berharga RM104 di tahun hadapan kesan dari inflasi. Oleh itu, walaupun wang anda masih bernilai RM100 di tahun hadapan, ianya tidak mampu membeli barangan tersebut yang telah meningkat ke harga RM104. Untuk menjadikan wang RM100 anda bernilai RM104, wang tersebut perlu dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan yang memberikan pulangan 4.0% setahun. Pada tahap ini, pelaburan anda baru mencapai tahap menyamai kadar inflasi dan dalam erti kata sebenar, belum meberi pulangan yang mengatasi inflasi. Untuk mendapatkan pulangan yang mengatasi inflasi, anda perlu melabur di dalam instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan lebih dari 4.0% setahun.

Sebelum anda merancang kewangan, ada beberapa faktor yang mesti diambil kira iaitu:-

· Perbezaan kehendak – setiap individu mahupun keluarga mempunyai kehendak yang berbeza. Oleh itu, semestinya perancangan kewangan untuk seseorang individu atau keluarga juga unik dan berbeza di antara satu dengan yang lain. Ada individu yang merancang kewangannya untuk persiapan sebelum mendirikan rumahtangga manakala ada individu ynag lebih mementingkan kepada pembelian kereta dari mendirikan rumahtangga. Dari pandangan keluarga pula, ada keluarga yang merancang kewangan untuk persiapan bagi kos pembelajaran anak-anak manakala ada pula keluarga yang merancang kewangan mereka untuk persiapan semasa persaraan.

· Perubahan kehendak – kehendak seseorang juga berubah mengikut umur dan kedudukan. Seseorang yang belum berkahwin mempunyai objektif perancangan kewangan untuk persediaan belanja perkahwinan atau membeli kenderaan tetapi seseorang yang baru berkahwin mungkin mempunyai objektif perancangan kewangan untuk membeli rumah atau mengerjakan haji. Dari segi kedudukan pula, seseorang yang berpendapatan sederhana mungkin mempunyai objektif perancangan kewangan untuk membeli sebuah rumah teres manakala seseorang yang berpendapatan tinggi pula mahukan sebuah rumah banglo di kawasan mewah.

· Kehendak mestilah realistik – anda seharusnya mempunyai objektif perancangan kewangan yang realistik berbanding dengan kedudukan kewangan anda. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai pendapatan keluarga dalam lingkungan RM5,000 sebulan, anda seharusnya melabur atau menyimpan sejumlah di antara RM500 hingga RM1,000 sebulan (di antara 10% hingga 20% dari pendapatan bulanan). Anda hendaklah realistik tentang jumlah pendapatan bulanan yang boleh diketepikan untuk simpanan atau pelaburan dan tidak menetapkan jumlah yang terlalu tinggi untuk dicapai.

Dalam siri akan datang, kita akan menerangkan tentang langkah-langkah yangharus diambil dalam membuat perancangan kewangan.

 

BAHAGIAN 10

SAHAM AMANAH UNTUK PERANCANGAN KEWANGAN – SIRI 2

Dalam siri minggu lepas, kita telah menerangkan tentang konsep wang, aliran masuk dan keluar wang, serba ringkas konsep inflasi serta faktor-faktor yang mesti diambil kira sebelum membuat perancangan kewangan. Minggu ini diterangkan pula langkah-langkah yang perlu diambil dalam membuat perancangan kewangan.

Secara amnya, terdapat enam (6) langkah dalam perancangan kewangan dan ianya boleh digunakan sama ada untuk individu mahupun keluarga. Langkah-langkah tersebut ialah:-

1. Membuat analisa kedudukan aset dan hutang semasa

· Anda boleh memulakan perancangan kewangan anda dengan menyenaraikan semua aset anda serta menetapkan nilainya. Pastikan bahawa nilai aset yang ditetapkan adalah nilai pasaran dan bukannya nilai kos. Sebagai contoh, kereta yang dibeli 5 tahun yang lalu pada harga RM60,000, pasti akan susut nilainya. Sebagai panduan, rujuklah dengan harga pasaran kereta yang serupa dengan kereta anda di akhbar atau di pengedar kereta terpakai. Sekiranya secara purata kereta yang serupa mempunyai nilai pasaran RM50,000, maka gunakan nilai ini dalam perancangan kewangan anda.

· Seterusnya, senaraikan semua hutang atau pinjaman anda. Seperti di atas, anda juga seharusnya menggunakan nilai pasaran dalam perihal ini. Sebagai contoh, anda membeli rumah berharga RM200,000 dan membuat pinjaman bernilai RM180,000, 9 tahun lalu. Anda seharusnya mendapatkan berapakah baki pinjaman perumahan anda dengan bank tersebut dan juga nilai semasa rumah berkenaan.

· Setelah menyenaraikan kesemua aset dan hutang anda, dapatkan nilai bersih ( nilai semua aset tolak nilai semua hutang) untuk mendapatkan kedudukan aset dan hutang anda.

2. Membuat analisa aliran wang masuk dan aliran wang keluar

· Senaraikan semua aliran wang masuk anda atau keluarga anda setiap bulan. Aliran wang masuk utama anda adalah gaji bulanan, pendapatan dari perniagaan, pendapatan dari pelaburan dan sebagainya. Namun begitu, anda seharusnya realistik terhadap aliran wang masuk bulanan anda dan menggunakan nilai purata. Aliran wang masuk yang tidak menentu seharusnya diketepikan. Sebagai contoh, pendapatan dari keuntungan pelaburan di bursa saham di mana ianya bergantung kepada suasana pasaran saham seharusnya tidak diambil kira melainkan sekiranya anda mampu untuk mendapatkan keuntungan yang konsisten setiap bulan.

· Senaraikan semua aliran wang keluar bulanan anda atau keluarga. Anda boleh mulakan senarai dengan aliran keluar tetap seperti pembayaran ansuran pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya. Ini diikuti dengan sumbangan kepada keluarga, perbelanjaan dapur, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sebagainya.

· Senaraikan semua simpanan dan pelaburan bulanan seperti simpanan di institusi kewangan, saham amanah, insurans dan sebagainya.

· Setelah menyenaraikan semua aliran wang masuk dan aliran wang keluar, dapatkan nilai bersih (kesemua aliran wang masuk tolak kesemua aliran wang keluar dan kesemua simpanan dan pelaburan) untuk mendapatkan kedudukan aliran wang anda.

3. Menentukan objektif perancangan kewangan anda.

· Senaraikan apa yang diinginkan sebagai objektif perancangan kewangan anda. Lazimnya, apa yang kita inginkan berbeza mengikut umur, kemampuan dan cara hidup. Sebagai contoh, individu yang belum berumahtangga mungkin mahukan kereta dan persiapan berumahtangga manakala pasangan yang baru berumahtangga mungkin mengutamakan pembelian rumah.

· Tentukan kos atau harga untuk apa yang anda inginkan. Sebagai contoh, anda mungkin inginkan kereta yang berharga RM60,000, rumah berkembar dua tingkat berharga RM200,000 dan sebagainya.

4. Mengklasifikasikan objektif perancangan kewangan anda.

Anda seterusnya hendaklah mengklasifikasikan kesemua objektif perancangan kewangan anda kepada tiga (3) jangkamasa iaitu pendek, sederhana dan panjang.

· Jangkamasa pendek - merangkumi apa yang diperlukan seharian untuk jangkamasa terdekat. Sebagai contoh, anda mungkin memerlukan RM500 sebulan untuk perbelanjaan dapur dan anda mungkin mahu memastikan bahawa anda sentiasa mempunyai RM300 tunai untuk kegunaan semasa kecemasan (kemalangan, kerosakan kereta, perbelanjaan kesihatan tidak terduga dan lain-lain).

· Jangkamasa sederhana - merangkumi apa yang anda ingin dapatkan dalam tempoh sederhana. Sebagai contoh, anda mungkin berhasrat untuk membeli sebuah kereta baru berharga RM60,000 dan apartmen mewah berharga RM180,000 dalam tempoh tiga tahun dari sekarang. Anda juga mungkin perlu menyediakan RM15,000 untuk persiapan awal bagi pembelajaran anak anda yang dijangka memasuki universiti tahun hadapan.

· Jangkamasa panjang - merangkumi apa yang anda ingin capai dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Anda mungkin bercadang untuk mengumpul RM20,000 bagi perbelanjaan mengerjakan haji untuk anda suami isteri dalam jangkamasa 5 tahun. Anda juga mungkin ingin memulakan perniagaan sendiri dalam masa 8 tahun dan memerlukan modal permulaan sebanyak RM50,000. Selain daripada itu, anda juga mungkin memerlukan RM100,000 dalam masa 10 tahun sebagai persiapan untuk persaraan yang selesa.

5. Menentukan strategi simpanan dan pelaburan untuk mencapai objektif perancangan kewangan anda.

Bagi langkah ini, anda akan menentukan apakah kaedah simpanan dan instrumen pelaburan yang terbaik untuk setiap objektif perancangan kewangan anda. Cara paling mudah untuk tujuan ini ialah dengan berpandukan kepada ketiga-tiga klasifikasi jangkamasa seperti yang telah dibahagikan di Langkah 4.

· Jangkamasa pendek – sesuai dengan kriteria objektif perancangan kewangan jangka pendek yang memerlukan tahap kecairan yang tinggi, anda seharusnya menyimpan wang untuk tujuan jangkamasa pendek ini di dalam akaun simpanan atau akaun semasa. Untuk ini, anda tidak akan mendapat pulangan yang tinggi dari simpanan anda tetapi ianya adalah lebih baik dari menyimpan sebahagian besar dari peruntukan ini di rumah tanpa mendapat apa-apa pulangan daripadanya.

· Jangkamasa sederhana – bagi memenuhi keperluan objektif perancangan kewangan jangka sederhana, anda memerlukan instrumen pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang lebih baik dari simpanan di bank dan juga dapat mengatasi kadar inflasi. Akaun simpanan atau semasa tidak dapat memenuhi kehendak ini bahkan kemungkinan simpanan tetap (fixed deposit) juga tidak dapat mengatasi kadar inflasi. Anda seharusnya menilai apakah instrumen pelaburan yang dapat memenuhi kehendak ini pada kadar risiko yang munasabah. Antara instrumen pelaburan yang dicadangkan ialah saham amanah, saham di bursa saham, insurans dan sebagainya.

· Jangkamasa panjang – untuk keperluan objektif perancangan kewangan jangka panjang, anda memerlukan pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang berpatutan dalam jangkamasa panjang pada risiko sederhana. Terdapat beberapa jenis dana saham amanah yang sesuai untuk tujuan ini. Selain dari saham amanah, pelaburan di bon dan hartanah juga boleh membantu mencapai objektif perancangan kewangan jangka panjang anda.

6. Mengkaji dan mengubah perancangan kewangan dari semasa ke semasa.

Seperti yang telah diterangkan pada siri lepas, objektif perancangan kewangan berbeza di antara satu individu dengan yang lain dan selalu berubah-ubah. Untuk ini, anda seharusnya sentiasa prihatin dan proaktif dalam mengkaji kedudukan perancangan kewangan anda supaya ianya mengikut peredaran masa. Antara faktor-faktor yang membuat anda perlu mengkaji dan mengubah perancangan kewangan anda ialah:-

· Umur – apabila seseorang individu semakin berumur, pastinya objektif perancangan kewangannya juga turut berubah. Sebagai contoh, golongan muda yang belum berumahtangga lebih tertumpu kepada perancangan kewangan jangka pendek tetapi golongan pertengahan umur akan menumpukan kepada perancangan kewangan jangka sederhana dan panjang.

· Kedudukan kewangan – apabila seseorang individu bertukar kedudukan kewangannya, ianya juga harus menukar perancangan kewangannya. Sebagai contoh, seseorang individu yang mendapat kenaikan gaji dari RM4,000 ke RM5,000 sebulan, kini mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik (kuasa membeli yang lebih tinggi). Untuk ini, beliau mampu untuk meningkatkan taraf hidupnya dan juga mampu untuk meningkatkan jumlah simpanan dan pelaburannya setiap bulan.

· Suasana persekitaran – terdapat juga suasana persekitaran yang mempengaruhi kehidupan kita dan memaksa kita mengubah perancangan kewangan kita. Sebagai contoh, sekiranya harga kereta menurun dengan kadar yang tinggi berikutan penurunan duti impot untuk kereta dari negara asing, ianya akan mempengaruhi perancangan kewangan bagi individu yang bercadang untuk membeli kereta. Kalau sebelum penurunan duti impot, harga kereta tersebut ialah RM60,000, kemungkinan selepas penurunan duti impot, harganya akan menurun ke RM45,000. Untuk ini, individu tersebut seharusnya mengubah objektif perancangan kewangannya selaras dengan perubahan suasana persekitaran tersebut. Mungkin individu tersebut berkemampuan untuk menyimpan wang yang mencukupi bagi mengerjakan haji berikutan dari penurunan harga kereta tersebut.

Dengan penerangan di atas, diharapkan anda mendapat panduan tentang langkah-langkah yang perlu diambil apabila ingin membuat perancangan kewangan yang efektif.

 

BAHAGIAN 11

STRATEGI PERANCANGAN KEWANGAN - SIRI 3

Minggu lepas, kita telah menerangkan tentang 6 langkah yang perlu diambil dalam membuat perancangan kewangan. Namun, perhatian yang lebih harus diberikan terhadap langkah ke 5 iaitu menentukan strategi simpanan dan pelaburan untuk mencapai objektif perancangan kewangan anda. Oleh itu, fokus minggu ini, ialah penerangan secara lebih terperinci tentang cara-cara untuk menentukan strategi simpanan dan pelaburan bagi memberi panduan kepada anda dalam memilih instrumen simpanan dan pelaburan yang sesuai.

Seperti yang telah diterangkan di siri yang lepas, setiap instrumen pelaburan mempunyai profil pulangan dan risiko yang berbeza. Carta di bawah dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan setiap instrumen pelaburan mengikut profil pulangan dan risiko masing-masing.

Carta A menunjukkan bahawa semakin tinggi pulangan yang boleh diberikan oleh sesebuah instrumen pelaburan itu, semakin tinggi pula risikonya. Ini adalah lumrah pelaburan. Namun, untuk merangka satu pelan perancangan kewangan yang komprehensif, tidak mencukupi jika anda hanya mahu menyimpan atau melabur di dalam satu atau dua instrumen pelaburan. Anda juga memerlukan instrumen pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi dari simpanan tetap dan untuk ini, anda haruslah bersedia untuk melabur di dalam instrumen pelaburan yang mempunyai profil risiko yang lebih tinggi.

Walaupun pelaburan saham di bursa saham, waran, derivatif dan tukaran wang asing/komoditi dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi, namun pelaburan begini kurang sesuai untuk individu yang berpendapatan sederhana. Pelaburan begini lazimnya memerlukan modal yang agak besar dan risikonya yang lebih tinggi boleh mengakibatkan pelabur menanggung kerugian dari pelaburan mereka. Selain dari itu, pelaburan di instrumen sebegini memerlukan pengetahuan dan kepakaran dan untuk itu ia lebih sesuai untuk pelabur institusi atau individu yang berpengalaman dalam instrumen tersebut.

Selain dari instrumen di atas, terdapat juga pelaburan di dalam bon sebagai pilihan. Namun ianya juga kurang sesuai untuk pelabur individu kerana pelaburan di dalam bon memerlukan modal yang besar dan ianya adalah pelaburan jangka panjang yang memberikan pulangan rendah.

Ini menjadikan pilihan pelabur untuk merancang kewangan mereka lebih tertumpu kepada pelaburan di dalam simpanan tetap dan saham amanah. Bagi pelaburan di dalam saham amanah, pelabur juga boleh memilih jenis dana mengikut profil pulangan dan risiko seperti yang ditunjukkan di carta di bawah:-

Carta B menunjukkan bahawa pelabur boleh memilih pelbagai jenis dana saham amanah mengikut profil pulangan dan risiko yang sesuai dengan objektif perancangan kewangan mereka. Sebagai contoh, bagi objektif perancangan kewangan jangka panjang untuk persaraan, anda seharusnya melabur di dalam dana saham amanah yang memberi pulangan sederhana dan berisiko sederhana seperti Dana Seimbang atau Dana Berkembang.

Jadual di bawah menunjukkan satu contoh objektif perancangan kewangan beserta dengan strategi simpanan/pelaburan yang dicadangkan.

Jadual ini menunjukkan bagaimana anda boleh membuat perancangan yang sistematik tentang cara-cara untuk mencapai objektif perancangan kewangan anda. Dengan adanya perancangan yang sistematik dan komprehensif sebegini, anda mempunyai matlamat di atas setiap simpanan dan pelaburan yang anda buat dan ini membolehkan anda mengawasi dan memantau setiap pelaburan anda dengan berkesan bagi memastikan pelaburan tersebut sentiasa menuju ke arah mencapai objektif perancangan kewangan anda.

Sebagai panduan untuk anda mengagihkan lebihan wang untuk simpanan dan pelaburan anda, carta C memberikan contoh dan gambaran yang jelas bagaimana pengagihan yang baik dapat membantu anda mencapai semua objektif perancangan kewangan anda sama ada untuk jangkamasa pendek, sederhana atau panjang.



RUANGAN PELABURAN PILIHAN DI UTUSAN MALAYSIA

 

BAHAGIAN 12

HAK-HAK PEMEGANG UNIT SAHAM AMANAH

Dalam siri minggu lepas, kita telah menerangkan dengan lebih terperinci tentang cara-cara untuk menentukan strategi simpanan dan pelaburan bagi memberi panduan kepada anda bagaimana memilih instrumen simpanan dan pelaburan yang sesuai. Dengan penerangan tersebut, anda kini boleh memulakan pelan perancangan kewangan yang sistematik dan menyeluruh bagi mencapai objektif perancangan kewangan anda.

Untuk siri minggu ini, kita akan menerangkan tentang hak-hak anda sebagai pemegang unit dana saham amanah. Secara amnya, sekiranya anda melabur di dalam mana-mana dana saham amanah di Malaysia, anda mempunyai hak-hak tertentu yang mungkin tidak anda sedari. Dalam usaha kerajaan untuk menjadikan masyarakat Malaysia celik pelaburan, adalah penting bagi pemegang unit dana saham amanah untuk mengetahui hak-hak mereka sebagai pemegang unit supaya kepentingan mereka terpelihara.

Seorang pelabur dianggap sebagai pemegang unit selepas membayar wang pelaburannya dan akan terus berhak ke atas semua faedah serta tertakluk kepada semua peruntukkan seperti yang terkandung di dalam Suratikatan Amanah dana berkenaan selagi pelabur tersebut menjadi pemegang unit yang berdaftar. Antara hak-hak dan tanggungan pemegang unit yang diketengahkan dalam siri kali ini ialah:-

Pulangan dari pelaburan

Apabila sahaja seorang pelabur menjadi pemegang unit sesebuah dana, beliau adalah berhak menerima apa-apa pengagihan pendapatan yang dibuat oleh dana tersebut. Ini termasuklah pengagihan pendapatan tunai, pecahan unit, unit tambahan dan sebagainya. Begitu juga lain-lain hak dan keistimewaan seperti yang diperuntukkan di dalam Suratikatan. Selain dari itu, pemegang unit juga berhak menikmati pulangan dari kenaikan harga unit dana tersebut.

Namun begitu, pemegang unit tidak berhak untuk memohon pindahmilik mana-mana aset dana atau menyoal tindakan Pemegang Amanah atau Pengurus di atas hak-hak Pemegang Amanah sebagai pemilik aset dana tersebut.

Tanggungan pemegang unit

Tanggungan pemegang unit berhubung dengan unit yang dimilikinya adalah terhad kepada Harga Jualan seunit di atas pembelian unit tersebut. Untuk itu, tiada pemegang unit yang bertanggungjawab secara peribadi untuk menjamin Pemegang Amanah dan Pengurus sekiranya berlaku kerugian di dalam dana. Ini bermaksud, pemegang unit tidak bertanggungjawab untuk memberi sumbangan sekiranya dana mempunyai hutang untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Tempoh Bertenang

Tempoh Bertenang atau dikenali juga sebagai "Cooling-Off Period" merupakan satu tempohmasa di mana pelabur yang telah membeli unit dana saham amanah diberi hak untuk menarik balik pelaburan mereka selepas mereka membayar wang untuk pelaburan tersebut. Mengikut Grasipanduan Dana Unit Amanah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, kesemua syarikat pengurusan amanah saham mestilah memberi Tempoh Bertenang tidak kurang dari enam (6) hari perniagaan. Pengurus hendaklah mengembalikan wang pemegang unit tidak kurang dari Nilai Aset Bersih Seunit tertinggi atau Harga Belian seunit pada hari hak tersebut dilaksanakan dan fi atau caj jualan seunit yang dikenakan pada hari unit tersebut dibeli dahulu. Bagi pelaburan yang dibuat dengan cek, tempoh bertenang seharusnya bermula pada hari cek tersebut dijelaskan. Bagi pelaburan menerusi skim KWSP, tempoh bertenang seharusnya bermula pada hari wang pelaburan diterima oleh Pengurus dari KWSP.

Bagi menerangkan dengan lebih mudah tentang Tempoh Bertenang ini, disertakan contoh seperti berikut:_

Andaikan anda membeli 1,000 unit Dana ABC secara tunai pada 16 Oktober 2000 berdasarkan kepada haraga-harga berikut:-

Nilai Aset Bersih Seunit (RM)
Harga Belian (RM)
Harga Jualan
(RM)
Fi Penyertaan Duluan
(RM)

1.18
1.18
1.24
0.06

Anda akan membeli unit tersebut pada Harga Jualan (RM1.24 seunit). Oleh itu, kos pelaburan anda ialah:-

1,000 x RM1.24 = RM1,240.00

Dalam masa enam (6) hari perniagaan (pada atau sebelum 24 Oktober 2000), anda memutuskan untuk menggunakan hak Tempoh Bertenang anda dan mahukan pulangan wang pada 23 Oktober 2000. Andaikan harga-harga pada 23 Oktober 2000 adalah seperti berikut:-

Nilai Aset Bersih Seunit

(RM)
Harga Belian

(RM)
Harga Jualan

(RM)
Fi Penyertaan Duluan

(RM)

1.16
1.16
1.22
0.06

Cara pengiraan wang yang patut dikembalikan kepada anda adalah seperti berikut:-

Fi Penyertaan Duluan yang dikenakan pada hari unit dibeli (16 Oktober 2000) + Yang tertinggi di antara Nilai Aset Bersih Seunit atau Harga Belian pada hari perlaksanaan hak Tempoh Bertenang (23 Oktober 2000).

= RM0.06 + RM1.16 = RM1.22

Oleh itu, jumlah wang yang akan dikembalikan ialah:-

= 1,000 unit X RM1.22 = RM1,220.00.

Dengan menggunakan hak Tempoh Bertenang, anda akan memperolehi semula pelaburan bernilai RM1,220.00 di mana anda akan hanya kerugian sebanyak RM20 (jumlah wang yang dikembalikan sebanyak RM1,220 ditolakkan kos pelaburan sebanyak RM1,240). Namun, sekiranya tiada Tempoh Bertenang, jika anda ingin menjual balik pelaburan anda di Harga Belian pada 23 Oktober 2000 iaitu RM1.16 seunit, anda hanya akan mendapat RM1,160 (1,000 unit X RM1.16) dari jualan balik tersebut dan ini akan menyebabkan anda kerugian sebanyak RM80 (jumlah wang yang diterima dari jualan balik sebanyak RM1,220 ditolakkan kos pelaburan sebanyak RM1,240).

Laporan Dana

Adalah menjadi kewajipan syarikat pengurusan amanah saham untuk mengeluarkan dan mengagihkan sekurang-kurangnya dua (2) laporan dana untuk sesuatu tahun kewangan dana tersebut. Laporan tersebut adalah Laporan Tahunan dana dan Laporan Setengah Tahun dana. Perlu diingatkan di sini bahawa tahun kewangan sesuatu dana itu berbeza di antara satu sama lain. Ianya juga tidak semestinya berakhir pada akhir sesuatu bulan (seperti 31 Disember atau 30 Jun). Sebagai contoh, bagi Dana Al-Aiman yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad, tahun kewangan dana ini berakhir pada setiap 15 Mei.

Syarikat pengurusan amanah saham juga dikehendaki memastikan bahawa kedua-dua laporan di atas diagihkan kepada semua pemegang unit berdaftar sesuatu dana dalam masa dua (2) bulan dari tarikh akhir tahun kewangan dana tersebut. Penyata kewangan laporan tahunan pula mestilah diaudit oleh juruaudit berkecuali yang dilantik dan diluluskan oleh Pemegang Amanah dana tersebut. Senarai pelaburan juga mesti disertakan di dalam laporan tersebut supaya para pelabur mengetahui apakah pelaburan yang dibuat oleh dana.

Selain dari itu, Pemegang Amanah juga dikehendaki menyediakan satu laporan yang mesti disertakan di dalam laporan dana yang menyatakan bahawa pada pandangan Pemegang Amanah, syarikat pengurusan tersebut telah menguruskan dana mengikut Suratikatan, Garispanduan Unit Dana Amanah, Peraturan-peraturan Suruhanjaya Sekuriti dan undang-undang lain yang berkaitan.

 

BAHAGIAN 13

BAGAIMANA MEMBACA PROSPEKTUS

Pelabur adalah dinasihatkan supaya membaca serta memahami kandungan prospektus sebelum melabur. Pelabur juga seharusnya mengambilkira fi dan caj berkaitan dan harga unit serta pengagihan pendapatan (jika ada) mungkin akan turun atau naik. Demikian, antara kenyataan peringatan yang dimuatkan di dalam iklan dan bahan-bahan promosi yang ditujukan kepada para pelabur mengenai hak-hak serta maklumat yang perlu mereka ketahui sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur di dalam mana-mana dana saham amanah.

Kebanyakan syarikat pengurusan amanah saham kini menerbitkan sebuah prospektus induk yang menggabungkan maklumat-maklumat mengenai semua dana-dana yang diuruskan oleh sesebuat syarikat pengurusan tersebut. Cara ini mudah dan menjimatkan kerana maklumat yang mesti disiarkan adalah ‘standard’, yang berbeza hanyalah maklumat mengenai dana sahaja. Prospektus ini perlu diperbaharui setiap tahun apabila tamat tempoh gunapakai. Namun begitu, apabila sesebuah syarikat pengurusan melancarkan dana baru dalam tahun kewangan yang sama, sebuah prospektus tambahan perlu diterbitkan bagi menerangkan tentang ciri-ciri dana tersebut. Untuk itu, apabila anda ingin mendapatkan prospektus, dapatkan yang terbaharu.

Apakah yang dimaksudkan dengan Prospektus? Bagi mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahun di dalam pelaburan, baik pelaburan secara terus di pasaran saham ataupun di dalam saham amanah, prospektus penting bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat pengurusan amanah, dana-dana saham amanah yang ditawarkan, bagaimanakah prestasi syarikat serta dana-dana tersebut. Seterusnya, pelabur diperkenalkan dengan mereka yang terlibat dalam menguruskan syarikat dan dana. Secara ringkas, anda perlu ambil tahu siapakah ahli-ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan kanan dan pengurus-pengurus dana. Apakah pengalaman mereka dalam pengurusan dana. Anda perlu juga mengkaji mengenai kedudukan kewangan syarikat pengurusan, rekod prestasi dan kepakaran syarikat serta kakitangannya. Ini penting kerana merekalah yang bakal menguruskan wang yang kita laburkan serta membuat serta membuat pelaburan bagi pihak kita. Sudah pasti anda tidak mahu wang yang dilaburkan hasil daripada penat lelah anda disia-siakan sahaja oleh mereka yang tidak di ketahui latar belakang dalam bidang pelaburan.

Terdapat juga beberapa topik di dalam prospektus yang memberikan maklumat asas mengenai pelaburan dalam saham amanah bagi memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada mereka yang baru dalam pelaburan jenis ini. Penerangan ringkas seperti, apakah yang perlu diketahui mengenai saham amanah, faedah pelaburan di dalam saham amanah, kaedah pelaburan yang terlibat, pihak-pihak yang terlibat dalam pelaburan jenis ini sehinggalah kepada cara-cara untuk memulakan pelaburan di dalam saham amanah. Lazimnya, topik-topik ini dimuatkan di bahagian permulaan prospektus.

Anda sebagai pelabur harus juga memahami objektif dana serta strateginya, had-had pelaburan, komposisi portfolio semasa dan sebarang maklumat mengenai prestasi terkini dana tersebut. Semua maklumat ini penting bagi memberikan anda panduan kasar mengenai tahap risiko dana tersebut.

Tujuan pelaburan dibuat untuk mendapat pulangan dalam jangka masa yang tertentu. Dengan yang demikian, penting bagi bakal pelabur untuk mengetahui serta menilai caj-caj serta fi-fi yang terlibat dalam tempoh pelaburan dibuat. Di dalam prospektus juga dinyatakan kos-kos terlibat yang boleh dikenakan oleh syarikat pengurusan terhadap pelabur. Sebagai panduan, syarikat pengurusan hanya dibenarkan mengenakan tiga jenis fi, iaitu, fi perkhidmatan permulaan, fi pembelian semula dan fi pengurusan. Terdapat juga kos-kos lain seperti fi pemegang amanah dan ‘brokerage expenses’ yang perlu dijelaskan dari dana tersebut. Pengurusan dana yang lemah akan menjurus kepada kos pentadbiran yang tinggi. Dengan yang demikian, adalah penting bagi anda untuk menilai pelbagai fi tersebut semasa memilih sesebuah dana.

Prestasi lima tahun dana turut dimuatkan di dalam prospektus bagi menilai prestasi lalu dana tersebut. Apabila membuat penilian prestasi, perlu diingatkan bahawa perbandingan prestasi perlu dibuat di antara jenis dana yang sama. Ini bermakna, perbandingan prestasi dana ekuiti perlu dibuat dengan sebuah dana ekuiti lain, sebuah dana bon dengan sebuah dana bon yang lain dan begitulah seterusnya. Perhatikanlah prestasi jangka panjang, seelok-eloknya dalam tempoh tiga, lima tahun atau lebih untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai prestasi dana tersebut mengikut peredaran pasaran saham. Perlu diingat kejayaan sesebuah dana itu tidak menjamin kejayannya pada masa hadapan. Dengan yang demikian, consistency adalah penting dalam membuat penilaian perbandingan prestasi.

Kadang-kadang sesebuah dana itu terdapat serba-sedikit kekangan yang mungkin bercanggah dengan keperluan anda. Sebagai contoh, nilai pelaburan permulaan sesebuah dana itu mungkin melebihi jumlah wang yang sanggup anda laburkan. Dengan mengkaji kandungan prospektus, anda akan dapat membuat keputusan sama ada dana ini bersesuaian dengan kedudukan kewangan ataupun objektif pelaburan anda.

 

BAHAGIAN 14

MEMAHAMI ISI KANDUNGAN PROSPEKTUS

Dalam siri minggu lepas, kita telah menerangkan secara ringkas tentang bagaimana pelabur seharusnya membaca dan memahami prospketus. Pemahaman akan isi kandungan Prospektus adalah penting bagi seseorang yang mahu menjadi seorang pelabur yang celik pelaburan dan tidak mencukupi dengan pemahaman tentang hak-hak dan tanggungan anda sebagai pemegang unit dana saham amanah sahaja. Menyedari tentang pentingnya pemahaman isi kandungan Prospektus, bermula dari minggu ini, kita akan menerangkan dengan lebih terperinci tentang apa yang patut pelabur tahu tentang Prospektus dan bagaimana hendak memahami isi kandungan Prospektus.

Prospektus ialah satu dokumen yang mengandungi maklumat-maklumat penting berkenaan dengan sesuatu skim yang perlu dizahirkan kepada umum bertujuan untuk memohon orang ramai menyertai skim tersebut. Prospektus sebenarnya bukanlah tertakluk kepada skim dana saham amanah sahaja, malahan ianya merangkumi tawaran terbitan saham kepada umum. Namun bagi maksud artikel ini, Prospektus di sini bermaksud dokumen berkaitan dengan penawaran pembelian unit dana saham amanah kepada umum.

Mengapakah keperluan Prospektus ini begitu penting bagi skim dana saham amanah? Ini adalah kerana seseorang itu seharusnya benar-benar memahami tentang apakah jenis pelaburan yang hendak diceburinya dari segi risiko, objektif pelaburan dan sebagainya dan maklumat-maklumat yang telus ini semuanya terkandung di dalam Prospektus.

Sebagai sebuah instrumen pelaburan yang dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti, dana saham amanah seharusnya memiliki ciri-ciri ketelusan tentang maklumat-maklumat yang perlu dizahirkan kepada orang ramai bagi membantu mereka membuat keputusan pelaburan. Dana saham amanah bukannya satu skim pelaburan ‘cepat kaya’, ‘piramid’ atau ‘labu peram’ di mana para pelabur tidak tahu menahu di manakah wang mereka dilaburkan. Di dalam saham amanah, semuanya adalah telus dan dizahirkan terutama sekali maklumat tentang syarikat pengurusan, pemegang amanah dan skim dana saham amanah itu sendiri.

Pentingnya pembacaan dan pemahaman Prospektus jelas dititikberatkan oleh Suruhanjaya Sekuriti sehingga di semua bahan-bahan promosi seperti iklan, brosur dan poster dimestikan supaya diletakkan satu kenyataan peringatan khusus tentang ini. Bagi anda yang pernah melihat bahan-bahan promosi dana saham amanah, pastinya anda pernah membaca kenyataan peringatan yang berbunyi ‘Pelabur adalah dinasihatkan supaya membaca serta memahami kandungan prospektus sebelum melabur. Pelabur juga seharusnya mengambilkira fi dan caj-caj berkaitan dan harga unit serta pengagihan pendapatan (jika ada) mungkin akan turun atau naik’. Demikian, antara kenyataan peringatan yang dimuatkan di dalam iklan dan bahan-bahan promosi yang ditujukan kepada para pelabur mengenai pentingnya mereka membaca dan memahami isi kandungan Prospektus.

Selain daripada itu, kenyataan peringatan ini juga memaklumkan kepada pelabur bahawa pelaburan di dalam dana saham amanah mempunyai fi dan caj-caj yang berkaitan. Ianya juga memberitahu pelabur tentang risiko pelaburan di dalam dana saham amanah, antara lain harga unit dan pengagihan pendapatan boleh turun atau naik. Bahkan, pengagihan pendapatan bukanlah sesuatu yang mesti ada setiap tahun. Ianya juga mungkin tiada untuk sesuatu tahun kewangan dana tersebut.

Kebanyakan syarikat pengurusan amanah saham kini menerbitkan sebuah prospektus induk yang menggabungkan maklumat-maklumat mengenai semua dana-dana yang diuruskan oleh sesebuah syarikat pengurusan tersebut. Cara ini mudah dan menjimatkan kerana maklumat yang mesti disiarkan adalah seragam, yang berbeza hanyalah maklumat mengenai dana sahaja. Prospektus ini perlu diperbaharui setiap tahun apabila tamat tempoh gunapakainya. Namun begitu, apabila sesebuah syarikat pengurusan melancarkan dana baru dalam tahun kewangan yang sama, sebuah prospektus tambahan perlu diterbitkan bagi menerangkan tentang ciri-ciri dana tersebut. Untuk itu, apabila anda ingin mendapatkan Prospektus, dapatkan yang terbaharu.

Setiap Prospektus dana saham amanah mestilah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti. Ianya mesti diperbaharui setiap tahun dan isi kandungannya mestilah mematuhi apa yang disyaratkan di dalam Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000 dan Garispanduan Tabung Unit Amanah. Pematuhan kepada Akta dan Garispanduan ini adalah untuk memastikan bahawa setiap Prospektus yang diedarkan kepada umum mengandungi segala maklumat-maklumat sahih dan terkini yang diperlukan oleh pelabur untuk membuat keputusan pelaburan.

Antara maklumat-maklumat yang perlu dizahirkan di dalam Prospektus adalah:-

Maklumat Am

Di bahagian ini, terdapat segala maklumat penting tentang syarikat pengurusan saham amanah. Ini termasuk nama dan alamat syarikat, ahli-ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, ahli-ahli Jawatankuasa Pelaburan, ahli-ahli Panel Penasihat Syariah (jika ada), setiausaha syarikat, pengurus pelaburan luaran (jika ada), pemegang amanah, juruaudit/akauntan, penasihat percukaian dan bank syarikat. Keperluan untuk memberitahu kesemua maklumat ini menunjukkan bahawa industri saham amanah di Malaysia mempunyai tahap ketelusan yang tinggi dan pengawalseliaan yang ketat.

Di sini pelabur akan diperkenalkan kepada mereka yang terlibat dalam menguruskan syarikat dan dana. Secara ringkas, anda perlu ambil tahu siapakah ahli-ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan kanan, pengurus-pengurus dana, kelayakan dan pengalaman mereka dalam pengurusan dana. Anda perlu juga mengkaji mengenai kedudukan kewangan syarikat pengurusan, rekod prestasi dan kepakaran syarikat serta kakitangannya. Ini penting kerana merekalah yang bakal menguruskan wang yang kita laburkan serta membuat pelaburan bagi pihak kita. Sudah pasti anda tidak mahu wang yang dilaburkan hasil daripada penat lelah anda disia-siakan sahaja oleh mereka yang tidak diketahui latar belakangnya dalam bidang pelaburan.

Ini diikuti dengan maklumat am tentang skim dana saham amanah yang terkandung di dalam Prospektus tersebut. Ini termasuk jumlah saiz dana yang dbenarkan, jumlah unit dalam edaran, tarikh dana dilancarkan dan tarikh tahun kewangan berakhir.

Seterusnya, Prospektus perlu menzahirkan tentang fi dan caj-caj yang berkaitan dengan dana saham amanah tersebut. Ini termasuk Fi Jualan, Fi Pengurusan Tahunan, Fi Pemegang Amanah, Fi Jualan Balik, Fi Tukar Milik dan sebagainya. Kesemua kadar fi dan caj-caj ini perlu dizahirkan di dalam Prospektus supaya pelabur dan bakal pelabur mengetahui tentang fi dan caj-caj tersebut dan boleh membandingkannya dengan skim dana saham amanah yang lain.

Maklumat tentang transaksi unit dana saham amanah juga perlu dizahirkan. Di sini, pelabur akan memahami tentang polisi syarikat pengurusan amanah saham tersebut berkaitan dengan penetapan Harga Jualan, Harga Belian, jumlah pelaburan permulaan dan tambahan minima, penjualan balik, tempoh bertenang, penukaran dana, cara-cara melabur dan sebagainya. Terdapat Prospektus yang menunjukkan dengan terperinci beserta dengan contoh tentang penetapan Harga Jualan dan Harga Belian bagi memberi pemahaman yang lebih baik kepada pelabur tentang bagaimana syarikat pengurusan amanah saham menentukan harga-harga tersebut.

Ikuti sambungan tajuk ini pada minggu hadapan.

 

BAHAGIAN 15

APA PELABUR PERLU FAHAMI DI DALAM PROSPEKTUS

Dalam siri minggu lepas, kita telah menerangkan tentang maklumat am yang seharusnya dibaca dan difahami oleh pelabur di dalam dana saham amanah. Maklumat am ini berkisar tentang latarbelakang syarikat pengurusan dan operasinya. Untuk siri minggu ini, kita akan menerangkan dengan terperinci tentang maklumat berkaitan dengan dana saham amanah yang terkandung di dalam prospektus dan seharusnya difahami oleh pelabur.

Jenis atau kategori dana

Dana saham amanah lazimnya boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti dana ekuiti, dana Syariah, dana pendapatan, dana berkembang, dana seimbang, dana bon, dana pendapatan tetap, dana indeks dan sebagainya. Dengan memahami apakah yang dimaksudkan dengan jenis dana tersebut seperti yang telah diterangkan di dalam siri yang lalu, pelabur boleh mendapatkan gambaran tentang corak pelaburan, risiko dan jangkaan pulangan dana tersebut.

Objektif dana

Objektif dana saham amanah mestilah diterangkan dengan jelas dan lengkap supaya pelabur dapat membuat penilaian yang sesuai tentang skim pelaburan yang ditawarkan oleh dana tersebut. Sebagai contoh, sebuah dana saham amanah mungkin mempunyai objektif pelaburan untuk memberikan pulangan yang berpatutan kepada pelabur dalam bentuk pengagihan pendapatan dan kenaikan modal dalam jangkamasa sederhana dan panjang. Dengan membaca objektif dana ini, pelabur dapat memahami bahawa beliau berpeluang mendapatkan pulangan dari pelaburan di dalam dana ini menerusi dua (2) cara iaitu pengagihan pendapatan dan kenaikan nilai unit. Selain daripada itu, beliau juga akan memahami bahawa pelaburan tersebut bukanlah pelaburan berbentuk spekulatif untuk jangkamasa pendek kerana jelas dinyatakan bahawa ianya adalah untuk jangkamasa sederhana dan panjang.

Polisi dan strategi pelaburan

Polisi pelaburan berbeza di antara satu dana saham amanah dengan yang lain. Ini harus difahami oleh pelabur supaya polisi pelaburan dana yang dipilih sesuai dengan objektif pelaburan beliau. Sebagai contoh, Dana Al-Aiman yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad mempunyai polisi pelaburan yang menghadkan pelaburan di dalam saham dan instrumen pasaran wang yang tidak bercanggah dengan prinsip Syariah. Dengan adanya polisi pelaburan sebegini, pelabur yang memilih Dana Al-Aiman berkeyakinan bahawa pelaburan yang dibuat oleh Dana Al-Aiman adalah pelaburan yang halal di sisi Islam.

Dari segi strategi pelaburan pula, ianya menerangkan kepada kita tentang bagaimanakah corak pelaburan yang dirancangkan untuk dana tersebut bagi mencapai objektifnya. Sebagai contoh, Dana Al-Aiman mempunyai strategi pelaburan untuk melabur di antara 70% dan 90% dari aset dana di dalam ekuiti atau saham-saham tersiarharga di Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun di masa pasaran saham lemah, bahagian ekuiti ini boleh dikurangkan. Selain daripada itu, terdapat juga prospektus yang menerangkan dengan lebih terperinci tentang strategi pelaburan yang dipraktikkan oleh dana saham amanah seperti cara-cara peruntukan aset dan pemilihan saham, menghadkan kerugian (cut-loss strategy), pemindahan pelaburan (switching) serta mengimbangi risiko dan pulangan portfolio.

Risiko Melabur di dalam Dana

Bagi memastikan bahawa pelabur memahami risiko melabur di dalam dana yang ditawarkan, satu penerangan tentang risiko tersebut mesti dizahirkan di dalam prospektus. Secara amnya, sekiranya dana tersebut membuat pelaburan di dalam saham di bursa saham, ianya mestilah menyatakan bahawa harga unitnya boleh berubah (turun atau naik) bergantung kepada prestasi saham di bursa saham yang terdapat di dalam portfolio dana tersebut.

Polisi Pengagihan Pendapatan

Seperkara yang penting kepada pelabur dalam memahami isi kandungan prospektus ialah di bahagian Polisi Pengagihan Pendapatan. Ini adalah kerana polisi pengagihan pendapatan di antara satu dana saham amanah dengan yang lain mungkin berbeza. Oleh itu, adalah mustahak bagi pelabur untuk memastikan bahawa polisi pengagihan pendapatan dana saham amanah yang dipilih sesuai dengan objektif pelaburan beliau. Lazimnya dana saham amanah mengagihkan pendapatan sekali setahun di mana pengumuman mengenainya dibuat pada akhir tahun kewangan dana tersebut. Namun terdapat juga dana saham amanah yang memberi pengagihan pendapatan dua (2) kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir tahun kewangan.

Kebanyakan dana saham amanah mengeluarkan agihan pendapatan tunai kepada pelabur dari hasil pendapatan dana dalam satu tahun kewangan. Pengagihan pendapatan juga boleh dibuat dalam bentuk pemberian unit tambahan kepada pelabur. Namun terdapat juga dana saham amanah yang tidak memberi apa-apa pengagihan pendapatan di mana pulangan dari pelaburan di dalam dana saham amanah tersebut keseluruhannya dimasuk dan ditunjukkan dalam harga nilai harian unit dana. Dana sebegini mungkin tidak sesuai untuk pelabur yang mahukan pendapatan berterusan setiap tahun.

Faedah Tambahan Melabur di dalam Dana

Kebanyakan dana saham amanah kini menawarkan faedah tambahan kepada pemegang unitnya. Antaranya seperti perlindungan insurans percuma, khairat kematian dan sebagainya. Ini juga perlu dizahirkan di dalam prospektus supaya pelabur mengetahui faedah tambahan yang ditawarkan oleh dana tersebut.

Profil Pelabur

Bahagian ini menerangkan tentang siapakah yang layak untuk melabur di dalam dana saham amanah tersebut. Pelabur juga perlu berhati-hati dalam perkara ini kerana terdapat dana saham amanah yang menghadkan pelaburnya kepada segolongan pelabur sahaja. Sebagai contoh, dana-dana Kumpulan Modal Bumiputra yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad hanya dibuka kepada pelabur bertaraf Bumiputera sahaja (individu dan institusi). Namun lazimnya kebanyakan dana saham amanah di Malaysia adalah dibuka kepada semua kaum serta syarikat, koperasi, pertubuhan, persatuan, institusi dan entiti lain. Bagi individu pula, pastikan had umur yang ditetapkan untuk menjadi pemegang unit sesebuah dana itu.

Pecahan Pelaburan Mengikut Sektor

Terdapat juga prospektus yang menunjukkan pecahan pelaburan megikut sektor pada sesuatu tarikh. Ini dapat memberi gambaran kepada pelabur di manakah aset dana saham amanah tersebut dilaburkan. Saham-saham di Bursa Saham Kuala Lumpur secara amnya boleh dibahagikan kepada 13 sektor iaitu Barangan Pengguna, Barangan Industri, Perlombongan, Pembinaan, Dagangan/Khidmat, Hartanah, Perladangan, Teknologi, Infrastruktur, Kewangan, Hotel, Amanah dan Dana Tertutup. Saham-saham diklasifikasikan mengikut perniagaan utama mereka. Lazimnya, prospektus akan menunjukkan pecahan peratusan aset terkini yang diagihkan kepada setiap sektor seiring dengan tarikh prospektus sesebuah dana tersebut.

Bahagian ini juga akan memberitahu pelabur tentang paras aset cair atau aset dana yang dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang. Untuk memahami hubung-kait di antara pergerakan pasaran saham dan Nilai Aset Bersih dana, pelabur harus melihat kepada paras aset cair dana tersebut. Sekiranya pasaran saham meningkat dan paras aset cair dana tersebut adalah tinggi, ini adalah kedudukan yang kurang baik bagi dana itu kerana kesan kenaikan pasaran saham tidak dapat dioptimumkan oleh dana. Namun, jika pasaran saham menurun dan dana tersebut mempunyai paras aset cair yang tinggi, ianya akan memberi kesan yang baik kepada dana kerana kejatuhan pasaran saham tidak akan begitu mempengaruhi Nilai Aset bersih dana tersebut disebabkan kebanyakan asetnya adalah dalam instrumen pasaran wang yang tidak dipengaruhi oleh kejatuhan pasaran saham.

Kita ikuti sambungan penerangan ini di minggu hadapan.

 

BAHAGIAN 16

APA PELABUR PERLU FAHAMI DI DALAM PROSPEKTUS

Dalam siri minggu lepas, kita telah menerangkan dengan terperinci tentang maklumat berkaitan dengan dana saham amanah yang terkandung di dalam prospektus dan seharusnya difahami oleh pelabur. Untuk siri minggu ini, kita akan menerangkan tentang dua (2) istilah yang seharusnya difahami oleh pelabur yang telah atau pun ingin melabur di dalam dana saham amanah. Istilah tersebut ialah Nisbah Perbelanjaan Pengurusan (NPP) dan Nisbah Pusing Ganti Portfolio (NPGP).

Nisbah Perbelanjaan Pengurusan (NPP) atau "Management Expense Ratio (MER)"

Untuk mentadbirkan sebuah dana saham amanah, terdapat fi dan caj yang dibenarkan untuk dikenakan kepada dana tersebut. Fi dan caj tersebut termasuklah Fi Pengurusan, Fi Pemegang Amanah, Fi Juruaudit, kos penjaga (custody costs) dan lain-lain fi profesional. Selain dari itu, terdapat juga perbelanjaan lain yang dibenar untuk dikenakan kepada dana seperti perbelanjaan percetakan dan pengagihan laporan tahunan dan setengah tahun, sijil cukai, waran dividen dan notis lain kepada pemegang unit yang berkaitan secara langsung dan perlu untuk operasi dana saham amanah tersebut. Kesemua perbelanjaan ini dikategorikan sebagai ‘Perbelanjaan yang didapatkan kembali’.

Kesemua fi dan perbelanjaan yang didapatkan kembali tersebut di atas boleh dilihat dan diukur menerusi NPP. Ini bermaksud, NPP mewakili fi dan perbelanjaan yang terlibat dalam menguruskan sesebuah dana saham amanah. Bagi tujuan penyeragaman dan memudahkan perbandingan dibuat, ianya disebut dalam bentuk nisbah setelah dibahagikan dengan saiz purata dana saham amanah tersebut.

Untuk ini, formula untuk mendapatkan NPP ialah:-

NPP : Fi + Perbelanjaan yang didapatkan kembali X 100

saiz purata dana saham amanah dikira setiap hari urusniaga

Oleh kerana NPP memberi ukuran fi dan perbelanjaan di atas saiz dana, maka adalah lebih baik kepada pemegang unit dana tersebut sekiranya nilai NPP ini rendah. Pelabur secara amnya, boleh membandingkan nilai NPP sesebuah dana dengan dana yang lain atau sebuah dana yang diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan amanah saham dengan dana yang diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan amanah saham yang lain. Perbandingan nilai NPP dapat memberi gambaran kepada pelabur apakah paras kos yang dikenakan kepada dana tersebut dan dana manakah yang lebih kos efisien. Perlu diingatkan di sini bahawa kadar NPP yang tinggi dalam jangka panjang akan menjejaskan prestasi sesebuah dana saham amanah dan ini bukanlah satu situasi yang baik kepada pemegang unit.

Sebagai contoh, diandaikan Dana ABC mempunyai NPP bernilai 1.5% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 1999 manakala Dana XYZ pula mempunyai NPP bernilai 1.8% bagi tahun kewangan berakhir yang sama. Ini bermaksud, Dana ABC mempunyai perbelanjaan sebanyak 1.5 sen bagi setiap RM1.00 purata aset bersihnya untuk tahun kewangan tersebut. Pastinya, Dana ABC adalah lebih baik dari Dana XYZ dari segi NPP kerana Dana XYZ mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi iaitu 1.8 sen bagi setiap RM1.00 purata aset bersihnya.

Selain dari itu, pelabur juga boleh membuat perbandingan tentang kos efisien sesebuah dana saham amanah dari satu tahun kewangan ke tahun kewangan yang lain. Berpandukan kepada contoh di atas, sekiranya NPP Dana ABC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2000 menurun ke 1.2%, ini bermaksud dana tersebut telah mengurangkan peratusan perbelanjaan di atas purata aset bersihnya dan ini adalah lebih baik kepada pelabur.

Nisbah Pusing Ganti Portfolio (NPGP) atau "Portfolio Turnover Rate"

NPGP menunjukkan purata pembelian dan penjualan pelaburan untuk sesebuah dana saham amanah dalam sesuatu tahun kewangan dana tersebut. Formula bagi pengiraan NPGP ialah:-

NPGP = (Jumlah belian tahun berkenaan + Jumlah jualan tahun berkenaan) / 2

Nilai purata dana untuk tahun berkenaan dikira berdasarkan setiap hari urusniaga

Jumlah belian tahun berkenaan di sini bermaksud jumlah keseluruhan pembelian sekuriti (portfolio) yang dibuat oleh dana di dalam sesuatu tahun kewangan dana tersebut. Manakala itu, jumlah jualan tahun berkenaan pula bermaksud jumlah keseluruhan penjualan sekuriti (portfolio) yang dibuat oleh dana di dalam sesuatu tahun kewangan dana tersebut.

Ini bermaksud, apa yang diukur oleh NPGP ialah kekerapan menjual dan membeli sekuriti (portfolio) oleh dana saham amanah dalam sesuatu tahun kewangan. Kadar kekerapan ini ditunjukkan dalam bentuk ‘berapa kali’ dibandingkan dengan nilai purata dana (portfolio) untuk tahun berkenaan yang dikira berdasarkan setiap hari urusniaga. Secara amnya, pelabur boleh membuat ukuran kadar aktif atau tidak aktifnya pengurus pelaburan bagi dana saham amanah tersebut dalam menguruskan dana tersebut. Sekiranya dana saham amanah tersebut diuruskan dengan aktif di mana kerap dilakukan urusniaga belian dan jualan sekuriti, kadar NPGP ini akan lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana saham amanah yang diuruskan secara lebih pasif.

Sebagai contoh, Dana ABC mempunyai NPGP bernilai 1.5 kali manakala Dana XYZ pula mempunyai NPGP bernilai 1.2 kali untuk tahun kewangan berakhir yang sama. Ini bermaksud, Dana ABC telah diuruskan dengan lebih aktif dan portfolionya dipusing ganti sebanyak 1.5 kali berbanding dengan Dana XYZ yang hanya dipusing ganti sebanyak 1.2 kali.

NPGP juga lazimnya berubah dari satu tahun kewangan ke tahun kewangan yang lain. Berbagai faktor mempengaruhi keaktifan urusniaga dana namun lazimnya objektif dana, suasana bursa saham dan kecekapan pengurus pelaburan merupakan antara faktor yang paling penting. Bagi dana saham amanah yang lebih agresif seperti dana pengembangan, kadar NPGP selalunya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana yang kurang agresif seperti dana seimbang dan sebagainya. Selain dari itu, kadar NPGP juga lazimnya lebih tinggi dalam suasana bursa saham yang memberansangkan jika dibandingkan dengan suasana bursa saham yang muram atau kurang pergerakan turun dan naik.

Selain dari itu, pengurus pelaburan dana saham amanah yang cekap lazimnya akan mengambil peluang dari turun dan naik harga saham dengan pembelian dan penjualan saham yang lebih kerap pada harga yang bertepatan. Sekiranya pengurus pelaburan tersebut dapat membuat banyak keputusan yang baik dengan membeli saham pada harga yang rendah dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi, pastinya urusniaga sebegini akan menghasilkan pendapatan yang baik kepada dana tersebut. Urusniaga yang aktif ini juga akan menghasilkan kadar NPGP yang lebih tinggi berbanding dengan pengurus pelaburan yang lebih cenderung kepada membeli saham dan membiarkannya di dalam dana tersebut tanpa mengambil peluang untuk menjual dan membeli kesan dari turun naik harga saham.

Namun begitu, perlu diingatkan di sini bahawa NPGP ini hanyalah bertindak sebagai panduan tentang kadar aktif atau tidak aktifnya urusniaga pelaburan yang dibuat oleh pengurus pelaburan sesebuah dana itu. Ianya bukanlah ukuran kepada prestasi dana kerana tidak semestinya sebuah dana yang mempunyai NPGP yang tinggi akan memberikan pretasi yang lebih baik dari dana yang mempunyai NPGP yang rendah.

Dengan penerangan yang telah diberikan, diharapkan anda kini dapat membuat penilaian yang objektif dan sistematik dalam memilih dana saham amanah atau instrumen pelaburan yang sesuai dengan objektif pelaburan anda. Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mendidik masyarakat Malaysia supaya celik pelaburan sesuai dengan arah tuju negara ke ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi) yang akan membantu negara dalam usaha murninya untuk menuju ke Wawasan 2020.

 

BAHAGIAN 17

MAKLUMAT DANA YANG PERLU PELABUR KETAHUI

Sepanjang 16 siri yang lalu di ruangan Pelaburan Pilihan ini, pembaca secara amnya telah didedahkan kepada pengetahuan asas tentang pelaburan di dalam dana saham amanah. Artikel-artikel yang ditulis telah diolah sebegitu rupa supaya ianya mudah anda fahami dan diikuti jika diandaikan anda kurang berpengetahuan tentang pelaburan dan industri saham amanah di Malaysia. Kami percaya setelah mengikuti keseluruhan 16 siri yang telah disiarkan, anda telah memperolehi pengetahuan asas yang kami fikirkan perlu untuk anda fahami sebagai pelabur yang melabur atau bercadang untuk melabur di dalam dana saham amanah.

Untuk siri minggu ini, kami akan menerangkan tentang maklumat dana yang perlu diketahui oleh pelabur dalam menilai kesesuaian dana tersebut bagi mereka. Bagi memudahkan pembaca memahami siri kali ini, kami akan menggunakan sebuah dana saham amanah iaitu Dana Al-Aiman yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad sebagai contoh.

Objektif Pelaburan

Dalam memilih dana saham amanah, antara faktor yang terpenting yang perlu ditimbangkan ialah objektif dana tersebut. Seharusnya pelabur melabur di dalam dana saham amanah yang sesuai dengan objektif pelaburan mereka. Dana Al-Aiman adalah sesuai bagi pelabur yang ingin melabur di dalam instrumen pelaburan yang berlandaskan prinsip Syariah.

Di dalam negara yang bermasyarakat majmuk, Malaysia menawarkan pelbagai pilihan dana saham amanah. Ini bermaksud tidak semua dana saham amanah di negara ini adalah dana yang berkonsepkan Syariah. Bagi memenuhi permintaaan pelabur yang berbilang agama dan kaum, dana berkonsepkan Syariah dan dana konvensional bergerak bersama dalam memajukan industri saham amanah di Malaysia. Pelabur diberi kebebasan untuk memilih sama ada untuk melabur di dalam dana berkonsepkan Syariah atau dana konvensional.

Pengalaman Syarikat Pengurusan dan Pengurus Pelaburan

Menilai sesebuah dana saham amanah dari objektif pelaburan mereka sahaja tidak mencukupi. Ini adalah kerana terdapat beberapa dana yang mempunyai objektif yang sama tetapi mempunyai ciri-ciri lain yang berbeza. Dalam hal ini, pelabur seharusnya menilai pengalaman syarikat pengurusan yang menguruskan dana dan pengurus pelaburannya. Perlu diingatkan di sini bahawa tidak semestinya syarikat pengurusan dan pengurus pelaburan sesebuah dana itu adalah entiti yang sama.

Sebagai contoh, Dana Al-Aiman diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust sebagai syarikat pengurusan tetapi pengurus pelaburannya adalah ASM Asset Management Sdn. Bhd. (ASM Asset). Ini bermaksud ASM MARA Unit Trust adalah syarikat pengurusan yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran unit, pengeluaran resit, pembayaran agihan pendapatan, penyimpanan rekod pelabur, aktiviti promosi dan pemasaran, akaun dana dan sebagainya berkaitan dengan operasi dan pemasaran. Namun begitu, kesemua aktiviti pelaburan untuk Dana Al-Aiman adalah dipertanggungjawabkan kepada ASM Asset.

Oleh itu, ASM Asset sebagai pengurus pelaburan luar bertanggungjawab membuat pelaburan dana samada di dalam ekuiti (pasaran saham), instrumen pasaran wang atau lain-lain instrumen pelaburan yang dibenarkan. Secara mudah, ini bermaksud ASM MARA Unit Trust adalah pelanggan ASM Asset. ASM MARA Unit Trust akan memantau operasi dan prestasi pelaburan Dana Al-Aiman yang dibuat oleh ASM Asset untuk memastikan bahawa ianya selaras dengan objektif dana tersebut dan tidak melanggar apa yang diperuntukkan oleh Garispanduan Unit Amanah dan Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Prestasi Dana

Setiap bahan promosi dana saham amanah seperti brosur, poster, iklan dan sebagainya, akan terdapat satu nota amaran yang berbunyi ‘Anda diingatkan bahawa prestasi lalu bukan petunjuk atau gambaran prestasi masa depan’. Nota ini adalah untuk mengingatkan bakal pelabur supaya tidak membuat keputusan pelaburan dengan bergantung kepada prestasi dana yang lepas. Ini bermaksud sekiranya sesebuah dana itu telah memberi pulangan yang baik untuk sesuatu jangkamasa yang telah lepas, ianya tidak menjanjikan bahawa dana tersebut juga akan memberi pulangan yang baik untuk jangkamasa akan datang.

Namun begitu, prestasi sesebuah dana itu sangat bergantung kepada kepakaran pengurus pelaburan yang menguruskan pelaburan dana tersebut. Ianya berkait rapat dengan tahap keupayaan pengurus dana dan kecekapannya dalam mengatur serta melaksanakan strategi pelaburan dana. Untuk ini, pelabur boleh menilai prestasi pengurus pelaburan menerusi analisa prestasi dana yang dibuat oleh pihak berkecuali. Pelabur perlu menilai prestasi dana yang dibuat oleh pihak berkecuali kerana analisa sebegini lebih adil dan tidak berat sebelah. Sekiranya analisa prestasi dana dibuat oleh syarikat pengurusan saham amanah sendiri, berkemungkinan analisa tersebut dimanipulasikan atau dibuat sebegitu rupa supaya dana yang diuruskan akan menunjukkan prestasi yang baik.

Bagi dana saham amanah di Malaysia, prestasi mereka boleh diukur dan dibandingkan menerusi analisa dua (2) prestasi dana yang berbeza. Pertama ialah Jadual Dana Lipper yang terdapat di dalam majalah ‘The Edge’. Jadual ini disediakan oleh ‘Lipper Asia Limited’ (Lipper), sebuah syarikat penyelidikan berkecuali yang mempunyai kepakaran khusus dalam membuat analisa industri pelaburan dana antarabangsa. Syarikat ini bekerjasama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) untuk mengumpulkan maklumat menyeluruh tentang dana-dana di Malaysia. Syarikat ini juga menganugerahkan sijil dana terbaik untuk pelbagai klasifikasi dana bagi jangkamasa yang berbeza. Sebagai contoh, Dana Al-Aiman telah diisytiharkan sebagai dana terbaik untuk kategori Ekuiti: Syariah bagi tempoh tiga (3) tahun berakhir 31 Disember 1999.

Perbandingan prestasi dana saham amanah juga boleh dilihat menerusi Jadual Standard & Poor’s Micropal yang disediakan oleh Standard & Poor’s Fund Services. Jadual ini juga terdapat di dalam majalah ‘The Edge’. Perbezaan yang paling ketara di antara kedua-dua kaedah penilaian prestasi dana ini ialah Jadual Dana Lipper menggunakan perbandingan Nilai Aset Bersih dana manakala Jadual Standard & Poor’s Micropal menggunakan perbandingan Harga Belian sebagai asas pengiraan prestasi dana.

Bagi kedua-dua kaedah analisa prestasi dana, dana-dana diklasifikasikan kepada beberapa jenis supaya perbandingan yang adil boleh dibuat. Sebagai contoh, di dalam Jadual Dana Lipper, terdapat 12 dana yang berkonsepkan Syariah tersenarai di dalam kategori ‘Islamic/Syariah’ termasuk Dana Al-Aiman manakala di dalam Jadual Standard & Poor’s Micropal, terdapat 13 dana yang berkonsepkan Syariah termasuk juga Dana Al-Aiman. Dengan klasifikasi ini, pelabur juga boleh membandingkan prestasi purata jenis dana saham amanah dibandingkan dengan purata prestasi jenis dana saham amanah yang lain atau membandingkannya dengan prestasi Indeks Komposit BSKL.

Faedah Tambahan Dana

Terdapat juga dana saham amanah yang dipakejkan dengan faedah tambahan. Tujuannya hanyalah untuk memberi lebih nilai kepada pelaburan yang dibuat oleh para pelabur. Sebagai contoh, Dana Al-Aiman yang diuruskan oleh ASM MARA Unit Trust menawarkan perlindungan takaful percuma kepada pemegang unit yang layak dan melabur sekurang-kurangnya 1,000 unit di dalam Dana Al-Aiman. Perlindungan yang diberikan adalah berdasarkan perlindungan bernilai RM1.00 bagi setiap unit yang dimiliki tertakluk kepada perlindungan maksimum bernilai RM200,000 termasuk perbelanjaan pengkebumian sebanyak RM1,000.

Selain dari itu, terdapat juga syarikat pengurusan yang mengadakan promosi khas untuk pelaburan di dalam sesuatu dana dari masa ke semasa. Sebagai contoh, ASM MARA Unit Trust sekarang ini menawarkan diskaun sebanyak 2.0 sen seunit dari Harga Jualan bagi pelaburan di dalam Dana Al-Aiman untuk sepanjang bulan November 2000 oleh pelabur baru. Bagi pelabur sedia ada yang mempunyai unit berdaftar dengan mana-mana dana ASM MARA Unit Trust pada 16 Oktober 2000, mereka adalah layak untuk melabur di dalam Dana Al-Aiman dengan mendapat diskaun sebanyak 3.0 sen dari Harga Jualan. Tawaran ini hanya terhad kepada pelaburan terus (tidak menerusi ejen/Perunding Pelaburan) di dalam Dana Al-Aiman dan untuk tempoh terhad dari 01 hingga 30 November 2000.

Ikuti sambungan siri ini di minggu hadapan.

 

BAHAGIAN 18

BAGAIMANA MENILAI KECEKAPAN PENGURUS PELABURAN DANA

Dalam siri minggu lepas, kita telah mempelajari tentang maklumat dana yang perlu diketahui oleh pelabur dalam menilai kesesuaian dana tersebut bagi mereka. Penerangan terperinci telah diberikan berkaitan dengan objektif pelaburan dana, pengalaman syarikat pengurusan dan pengurus dana, prestasi dana dan faedah tambahan dana di mana kesemua maklumat tersebut boleh diperolehi di dalam prospektus dana tersebut.

Untuk siri minggu ini, kita akan menerangkan tentang bagaimana pelabur boleh menilai kecekapan pengurus pelaburan dana dalam menguruskan sesebuah dana saham amanah. Sememangnya, prestasi sesebuah dana itu sangat bergantung kepada pengurus pelaburan yang menguruskan pelaburan dana tersebut. Ianya berkait rapat dengan tahap kompeten pengurus dana dan kebijaksanaannya dalam mengatur serta melaksanakan strategi pelaburan untuk dana tersebut.

Sebelum kita pergi dengan lebih jauh lagi dalam pengurusan pelaburan dana, kami ingin mengingatkan semula para pelabur bahawa pengurus pelaburan dana tidak semestinya entiti yang sama dengan syarikat pengurusan amanah saham. Walaupun terdapat syarikat pengurusan amanah saham yang menjalankan sendiri aktiviti pengurusan pelaburan dana tersebut, terdapat juga syarikat pengurusan amanah saham yang mempertanggungjawabkan pengurusan pelaburan dana kepada syarikat lain. Sebagai contoh, ASM Investment Services Berhad merupakan syarikat pengurusan amanah saham yang menguruskan 15 dana saham amanah. Namun, pengurusan pelaburan bagi kesemua dana saham amanah tersebut adalah diuruskan oleh ASM Asset Management Sdn. Bhd.

Bagi memudahkan pelabur memahami tentang cara-cara bagaimana kita boleh menilai kecekapan pengurus pelaburan dana, kita boleh mengikut jejak langkah pengurus dana dalam menguruskan pelaburan dana tersebut. Untuk ini, pengurusan pelaburan dana secara amnya boleh dilihat dari tiga (3) aspek iaitu pengagihan aset, pemilihan saham dan ketepatan masa (timing).

· Pengagihan Aset

Pengagihan aset di sini secara amnya bermaksud berapakah wajaran atau peratusan keseluruhan aset sesebuah dana itu yang dilaburkan di dalam ekuiti dan berapakah pula wajaran yang dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang. Pengagihan aset merupakan antara faktor yang terpenting dalam menentukan prestasi sesebuah dana itu kerana pengagihan aset yang baik akan membolehkan sesebuah dana itu berkembang dengan baik selaras dengan perkembangan pasaran saham. Sebaliknya, pengagihan aset yang tidak baik boleh menyebabkan prestasi yang buruk kepada dana tersebut.

Pengurus pelaburan dana yang cekap akan mengagihkan aset dana dengan baik bergantung kepada suasana bursa saham. Sebagai contoh, sekiranya beliau menjangkakan bahawa pasaran saham telah berada di peringkat yang tinggi dan akan merudum, beliau akan memastikan bahawa kebanyakan aset dana adalah dalam bentuk aset cair dan hanya sedikit yang dilaburkan di dalam saham. Oleh itu, apabila pasaran saham merudum, kesan kejatuhan harga saham tidak akan menjejaskan nilai dana dengan teruk kerana dana tersebut mempunyai kadar kecairan yang tinggi.

Begitu juga sebaliknya, jika pengurus pelaburan dana tersebut menjangkakan pasaran saham telah berada pada paras yang rendah dan akan meningkat, beliau akan membeli saham dengan banyak dan mengurangkan tahap kecairan dana. Dengan ini, apabila pasaran saham meningkat, nilai dana tersebut akan meningkat selaras dengan peningkatan harga saham yang terdapat di dalam dana tersebut.

Jelaslah di sini bahawa ketepatan pengurus pelaburan dana dalam membuat jangkaan kedudukan pasaran saham di masa hadapan merupakan faktor penting yang mempengaruhi prestasi dana tersebut. Inilah sebabnya pengurus pelaburan dana yang baik akan memastikan bahawa mereka sentiasa kemaskini tentang kedudukan ekonomi dan pasaran saham semasa serta faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pasaran saham.

· Pemilihan Saham

Komposisi saham yang terdapat di dalam sesebuah dana memainkan peranan yang penting dalam pergerakan dan prestasi dana tersebut. Pengurus pelaburan dana yang cekap akan memilih saham yang mampu memberi peningkatan harga yang baik. Di sini, terdapat satu ukuran statistik yang sering digunakan oleh pengurus pelaburan dana yang dikenali sebagai ‘Beta’ di mana ianya merupakan satu ukuran kesamaan prestasi dua (2) entiti.

Sebagai contoh, terdapat ukuran ‘Beta’ bagi saham Telekom Malaysia Berhad dibandingkan dengan Indeks Komposit BSKL. Bagi saham yang mempunyai nilai ‘Beta’ 1.0 kali, ianya bermaksud harga saham tersebut bergerak sama dengan pergerakan Indeks Komposit BSKL pada arah yang sama. Sekiranya nilai ‘Beta’ adalah 2.0 kali, ini bermaksud harga saham tersebut secara purata bergerak dua (2) kali ganda berbanding dengan pergerakan Indeks Kompsoit BSKL pada arah yang sama. Nilai’Beta’ yang negatif menunjukkan saham tersebut bergerak pada arah yang berlainan dengan arah Indeks Komposit BSKL.

Dengan berpandukan nilai ‘Beta’ dan lain-lain ‘tools’ pelaburan, pengurus pelaburan dana akan dapat menapis saham-saham yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam dana bergantung kepada suasana bursa saham semasa dan prospek masa depan. Pemilihan yang baik pastinya akan membawa kepada prestasi dana yang baik juga.

Sekiranya pengurus pelaburan dana menjangkakan pasaran saham akan meningkat, maka pengurus dana yang cekap akan meningkatkan pelaburan dana di dalam saham-saham yang mempunyai nilai ‘Beta; yang tinggi. Ini adalah kerana, apabila pasaran saham meningkat, harga saham yang mempunyai nilai ‘Beta’ yang tinggi akan meningkat dengan lebih tinggi dari peningkatan pasaran saham dan begitu juga sebaliknya.

Apabila seorang pengurus pelaburan dana membina sebuah portfolio, ini bermaksud akan terdapat lebih dari satu jenis saham di dalam portfolio tersebut. Dengan adanya lebih dari satu jenis saham di dalam sesebuah portfolio, pengurus dana boleh mencapai kedudukan dana yang lebih baik dari segi jangkaan pulangan dan risiko dana terebut. Apapbila sesebuah portfolio dibentuk, ianya akan dapat mencapai salah satu dari dua (2) keadaan berikut atau kedua-duanya sekali:-

o Jangkaan pulangan portfolio adalah lebih tinggi dari jangkaan pulangan satu jenis saham sahaja dan risiko dana tetap pada paras yang sama dengan risiko satu jenis saham sahaja.

o Risiko portfolio adalah lebih rendah dari risiko satu jenis saham sahaja dan jangkaan pulangan tetap pada paras yang sama dengan jangkaan pulangan satu jenis saham sahaja.

Ini bermaksud, dengan pembentukan portfolio, pengurus pelaburan dana berkeupayaan untuk meningkatkan jangkaan pulangan dana dan juga mengurangkan risiko dana tersebut.

· Ketepatan Masa (timing)

Pengurus pelaburan dana yang cekap akan menggunakan pelbagai petunjuk pelaburan dalam membuat pemilihan saham. Bergantung kepada citarasa pengurus pelaburan dana, mereka akan menggunakan pendekatan fundamental dan/atau teknikal dalam pemilihan saham. Lazimnya, pendekatan fundamental digunakan dalam menetukan ‘saham apa yang hendak dibeli’ manakala pendekatan teknikal digunakan dalam menentukan ‘bilakah hendak dibeli atau dijual sesuatu saham’.

Dalam menentukan bilakah masa yang baik untuk membeli atau menjual sesuatu saham, ketepatan masa (timing) yang baik memainkan peranan yang penting. Pengurus pelaburan dana yang cekap menggunakan ‘tools’ teknikal lazimnya boleh membuat keputusan pelaburan membeli dan menjual sesuatu saham pada masa yang betul. Ini bermaksud, pengurus pelaburan dana tersebut boleh mendapat petunjuk yang betul untuk membeli sesuatu saham pada harga yang rendah dan menjual saham tersebut pada harga yang lebih tinggi.

Ikuti sambungan artikel ini di minggu hadapan.

 

BAHAGIAN 19

BAGAIMANA MERANCANG PELABURAN UNTUK MENCAPAI OBJEKTIF

Untuk siri minggu ini, akan diterangkan tentang bagaimana perancangan pelaburan yang teratur boleh membantu anda mencapai objektif pelaburan mereka. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi tentang topik ini, eloklah sekiranya kita menilai kepentingan membuat perancangan yang teratur. Di dalam sebuah rumahtangga, sekiranya seorang ibu tidak merancang keperluan dapurnya, nescaya ahli keluarganya mungkin akan berlapar kerana kekurangan makanan.

Begitulah juga keperluan merancang dari segi kewangan dan pelaburan. Bagi sesebuah organisasi atau syarikat, ianya perlu bijak merancang aliran tunainya supaya kedudukan kewangan syarikat sentiasa stabil. Bahkan bagi sebuah negara, pembentangan belanjawan tahunan merupakan satu perancangan kewangan negara bagi memastikan bahawa ekonomi negara dapat berkembang dengan baik. Jelaslah di sini bahawa perancangan yang teratur adalah penting bagi memastikan kejayaan. Secara mudahnya, sekiranya kita gagal untuk merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal.

Tujuan seseorang pelabur itu merancang kewangan dan pelaburannya adalah berbeza dengan pelabur yang lain. Namun begitu, bagi memudahkan penerangan, kita akan melihat kepada dua (2) objektif pelaburan yang secara lazimnya terdapat kepada ramai golongan pelabur iaitu perancangan untuk pendidikan anak-anak dan perancangan untuk persaraan. Untuk siri minggu ini, kita akan memfokus kepada perancangan untuk pendidikan anak-anak.

Bagi merancang kewangan dan pelaburan untuk tujuan pendidikan anak-anak, ASM Investment Services Berhad telah merangka empat (4) pelan perancangan pendidikan yang sesuai untuk keluarga Malaysia. Perbezaan di antara keempat-empat pelan ini ialah bentuk pendidikan yang hendak diberikan kepada anak-anak pelabur selepas anak-anak tersebut menamatkan persekolahan di Tingkatan 5 (selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia).

Di sini, ibu-bapa diberikan pilihan bentuk pengajian atasan untuk anak-anak mereka terdiri dari pelan-pelan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pengajian menerusi Program Berkembar dan akhir sekali pengajian di luar negara. Untuk memastikan bahawa perbandingan kos pengajian adalah adil, kami mengandaikan bahawa kursus yang akan diambil oleh anak-anak pelabur adalah kursus di peringkat Ijazah pertama yang merangkumi fi pembelajaran, kos sarahidup dan lain-lain kos berkaitan.

Kami telah mengadakan satu analisa ringkas dan kami menganggarkan bahawa purata kos pengajian di IPTA ialah RM45,000, purata kos pengajian di IPTS ialah RM60,000, purata kos pengajian bagi program berkembar ialah RM120,000 dan purata kos pengajian di luar negara pula ialah RM150,000. Berdasarkan kepada andaian kos ini, pelan perancangan kewangan bagi pengajian di IPTA seperti yang ditunjukkan di jadual di atas sebagai contoh untuk penerangan selanjutnya.

Dalam merangka pelan pelaburan pendidikan tersebut, beberapa andaian telah digunakan. Andaian tersebut ialah:-

· Jangkamasa pelaburan ialah 17 tahun iaitu bermula dari kelahiran anak sehingga anak tersebut menamatkan persekolahan pada umur 17 tahun (akan memasuki institusi pengajian tinggi).

· Pelaburan dibuat pada setiap bulan pada kadar yang tetap.

· Unit yang dibeli dalam sesuatu tahun adalah pada Harga Jualan di awal tahun tersebut.

· Dana ABC yang dilaburkan akan memberi pengagihan pendapatan tunai bersih sebanyak 10.0% setiap tahun.

· Pengagihan pendapatan tunai yang diterima dilaburkan balik dengan pembelian unit baru pada Harga Jualan di setiap awal tahun.

· Harga Jualan Dana ABC ditetapkan pada 5.0% di atas Nilai Aset Bersih Seunit.

· Harga Belian adalah sama dengan Nilai Aset Bersih Seunit.

· Nilai Aset Bersih Seunit Dana ABC meningkat sebanyak 5.0% setiap tahun.

Dari jadual yang ditunjukkan di atas dengan andaian yang dibuat, seorang pelabur yang bercadang untuk menghantar anaknya mengikuti pengajian Ijazah pertama di IPTA hanya perlu membuat pelaburan bulanan sebanyak RM85.00 untuk 17 tahun di dalam Dana ABC. Dengan berbuat demikian, pelaburan beliau akan bernilai RM45,309.55 selepas 17 tahun dan ianya dijangka mencukupi bagi membiayai pengajian tinggi anaknya di IPTA.

Walaupun jadual pelan pelaburan pendidikan untuk pengajian di tempat lain tidak disertakan, namun kami telah membuat analisa yang serupa dengan contoh di atas bagi pengajian di tempat lain. Analisa kami menunjukkan bahawa seorang pelabur memerlukan pelaburan bulanan bernilai RM115.00 bagi memperolehi pelaburan bernilai RM61,301.15 untuk membiayai pengajian anaknya di IPTS. Bagi pengajian menerusi Program Berkembar pula, pelaburan bulanan yang diperlukan ialah RM226.00 bagi memperolehi pelaburan bernilai RM120,470.10. Akhir sekali, sekiranya pelabur tersebut berhasrat untuk menghantar anaknya mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di luar negara, beliau perlu membuat pelaburan bulanan bernilai RM282.00. Dengan pelaburan bulanan sebegini selama 17 tahun, pelaburan beliau akan bernilai RM150,321.09.

Dari contoh yang diberikan di atas, jelaslah bahawa perancangan kewangan dan pelaburan yang teratur dan sistematik akan membantu anda dalam mencapai objektif pelaburan anda. Pastinya mereka yang merancang dengan bijak menerusi pelan pelaburan pendidikan yang baik mampu untuk membiayai pengajian tinggi anak-anak apabila diperlukan nanti.

Pastinya anda tidak mahu berada di dalam situasi di mana anak anda tidak dapat melanjutkan pengajian tinggi hanya kerana anda tidak mempunyai wang yang mencukupi. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya anda mengenepikan sedikit wang setiap bulan untuk dilaburkan di dalam pelan pelaburan pendidikan anak-anak. Kita tidak seharusnya hanya mengharapkan kepada biasiswa atau bantuan pelajaran sahaja kerana kita tidak tahu samada anak-anak kita layak menerimanya apabila diperlukan kelak. Dari itu, adalah lebih baik sekiranya kita bersedia lebih awal dengan melabur secara berdikit-dikit dalam pelan pelaburan pendidikan.

Pelan pelaburan pendidikan yang disediakan oleh ASM Investment Services Berhad adalah fleksibel dan dapat diubahsuai mengikut kehendak dan kemampuan anda. Ianya dapat membantu anda dalam merangka berapakah pelaburan bulanan yang perlu dibuat untuk membiayai kos pengajian tinggi anak-anak anda.

 
BAHAGIAN 20 (AKHIR)

RANCANG PERSARAAN DENGAN PELABURAN SAHAM AMANAH

Dalam siri minggu lepas, kita telah membincangkan tentang cara-cara merancang kewangan dan pelaburan untuk tujuan pendidikan anak-anak. Dengan berpandukan kepada empat (4) pelan perancangan pendidikan yang sesuai untuk keluarga Malaysia yang telah disediakan oleh ASM Investment Services Berhad, ibu-bapa boleh merangka pelan perancangan pelaburan bagi membiayai kos pengajian tinggi anak-anak mereka selepas mereka menamatkan persekolahan.

Seperti yang telah diterangkan di siri minggu lepas, pelan perancangan untuk pendidikan anak-anak hanyalah salah satu daripada objektif pelaburan yang lazim di kalangan golongan pelabur di Malaysia. Satu lagi objektif pelaburan yang lazim di kalangan golongan pelabur di Malaysia yang akan diterangkan dalam siri minggu ini ialah perancangan untuk persaraan.

Persaraan merupakan satu tahap yang kritikal bagi golongan yang makan gaji. Ianya merupakan titik akhir di alam pekerjaan dan titik permulaan bagi satu tahap penghidupan baru bagi mereka. Sesetengah orang berkeupayaan untuk bersara dengan selesa tetapi ramai juga yang terpaksa terus bekerja dengan pekerjaan lain untuk menyara diri dan keluarga.

Kehidupan semasa persaraan banyak bergantung kepada penyesuaian dalam kehidupan dan bagaimana persiapan anda dalam menghadapi persaraan. Dalam merancang persaraan anda, kita boleh melihat perancangan dari dua (2) aspek iaitu sosial dan kewangan.

Dari aspek sosial, anda seharusnya menimbangkan tentang aktiviti sosial dan rekreasi yang berfaedah untuk dilakukan di alam persaraan. Ini adalah penting kerana sebagai pesara, masa yang selalunya diluangkan untuk bekerja kini perlu diisikan dengan aktiviti lain. Rancanglah aktiviti sosial dan rekreasi yang bermakna untuk mengisi masa yang terluang. Bagi yang beragama Islam, persaraan merupakan peluang yang sangat baik untuk memperbanyakkan ibadat. Selain daripada itu, persaraan memberi peluang untuk anda mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga, saudara-mara, jiran, sahabat-handai dan rakan seperjuangan yang mungkin telah terputus atau renggang disebabkan oleh kesibukan semasa di alam pekerjaan. Bagi yang lebih berkemampuan, anda juga boleh bergiat aktif di dalam pertubuhan sosial yang bersesuaian dengan minat anda.

Dari aspek kewangan pula, soalan pertama yang sering ditanyakan apabila seseorang itu bersara ialah adakah saya mempunyai wang yang mencukupi untuk bersara? Seharusnya, seseorang itu mempunyai separuh dari pendapatan yang dimilikinya semasa bekerja untuk bersara dengan selesa. Secara amnya, berapa jumlah wang yang mencukupi untuk bersara dengan selesa bergantung kepada beberapa faktor seperti gaya hidup, tempoh masa bersara, keadaan kesihatan, jumlah tanggungan yang masih tertunggak dan sebagainya.

Tujuan utama perancangan pelaburan untuk persaraan ialah untuk mengumpulkan sejumlah wang apabila seseorang itu bersara di mana wang yang dikumpulkan itu mencukupi untuk membiayai segala perbelanjaan yang diperlukan sama sewaktu di alam pekerjaan dahulu. Di sini, satu faktor yang mesti di ambil kira dalam perancangan untuk persaraan ialah inflasi. Anda perlu melabur di dalam instrumen pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi dari kadar inflasi dalam jangkamasa panjang. Sekiranya kadar pulangan instrumen pelaburan yang anda pilih tidak mampu mengatasi inflasi, besar kemungkinan wang yang anda kumpulkan tidak akan mencukupi untuk membiayai perbelanjaan anda di sepanjang tempoh persaraan.

Masa merupakan rakan yang baik dalam pelaburan. Pengumpulan wang akan berkembang selari dengan peredaran masa. Oleh itu, perancangan pelaburan untuk persaraan bergantung kepada bila anda memulakan perancangan anda di mana ianya akan menentukan tempoh masa yang anda miliki untuk mencapai objektif pelaburan anda. Sekiranya anda memulakan pelan perancangan pelaburan anda lebih awal, anda mempunyai masa yang lebih panjang. Dengan masa yang lebih panjang, anda memerlukan pelaburan bulanan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelabur lain yang mula merancang pada usia yang lebih dari anda kerana pelabur tersebut mempunyai tempoh masa untuk melabur yang lebih singkat.

Jelaslah di sini bahawa dalam merancang pelaburan untuk persaraan, tempoh masa pelaburan merupakan faktor yang penting. Selain dari tempoh pelaburan, pilihan pelaburan juga tidak kurang pentingnya. Pelabur seharusnya memastikan bahawa pelan perancangan pelaburan untuk persaraan dibuat dengan teliti dan pemilihan instrumen pelaburan haruslah dinilai dalam perspektif jangka panjang kerana pelaburan yang akan dibuat adalah untuk jangkamasa yang panjang. Instrumen pelaburan yang dipilih seharusnya memberikan pulangan yang berpatutan, tidak terlampau tinggi tetapi lebih tinggi dari kadar inflasi.

Selain daripada itu, instrumen tersebut juga seharusnya mampu memberi pulangan secara berterusan, bermaksud biarlah pulangan yang diberi lebih rendah dari dana lain asalkan ianya berterusan. Anda seharusnya tidak memilih instrumen pelaburan yang memberikan pulangan yang sangat tinggi hanya pada sesuatu tahun tetapi tidak berterusan kerana ini menyebabkan pelaburan anda tidak stabil. Untuk ini, dana saham amanah jenis seimbang adalah paling sesuai sebagai instrumen pelaburan untuk pelan perancangan pelaburan bagi persaraan. Terdapat lebih kurang 12 dana saham amanah jenis seimbang di pasaran, malah ASM Investment Services Berhad ada menguruskan sebuah dana seimbang, iaitu ASM TP Balanced Fund.

Bagi merancang kewangan dan pelaburan untuk tujuan persaraan, ASM Investment Services Berhad telah merangka satu pelan perancangan persaraan yang boleh anda digunakan. Sebagai contoh, dengan pelaburan konsisten sebanyak RM450.00 sebulan anda berkemungkinan untuk mempunyai kedudukan kewangan yang lebih selesa apabila berada di alam persaraan nanti. Anda boleh merujuk jadual yang disertakan sebagai panduan. Perlu diingatkan bahawa pelan pelaburan ini adalah tertakluk kepada andaian-andaian di bawah.

Dalam merangka pelan pelaburan persaraan di atas, beberapa andaian telah digunakan. Andaian-andaian tersebut ialah:-

· Pelabur merupakan individu berusia 23 tahun yang mempunyai tempoh masa pelaburan selama 33 tahun sebelum bersara pada umur 55 tahun.

· Pelaburan dibuat pada setiap bulan pada kadar yang tetap.

· Unit yang dibeli dalam sesuatu tahun adalah pada Harga Jualan di awal tahun tersebut.

· Dana ABC yang dilaburkan akan memberi pengagihan pendapatan tunai bersih sebanyak 10.0% setiap tahun.

· Pengagihan pendapatan tunai yang diterima dilaburkan balik dengan pembelian unit baru pada Harga Jualan di setiap awal tahun.

· Harga Jualan Dana ABC ditetapkan pada 5.0% di atas Nilai Aset Bersih Seunit.

· Harga Belian adalah sama dengan Nilai Aset Bersih Seunit.

· Nilai Aset Bersih Seunit Dana ABC meningkat sebanyak 5.0% setiap tahun.

Dari jadual yang ditunjukkan dengan andaian yang dibuat, seorang pelabur yang bercadang yang melabur RM450.00 selama 33 tahun di dalam Dana ABC seperti di atas akan memperolehi pelaburan bernilai RM1.0 juta ketika beliau bersara di umur 55 tahun. Perlu diingatkan sekali lagi bahawa nilai pelaburan juga bergantung kepada kadar inflasi semasa.

Jadual yang disertakan adalah fleksibel di mana anda boleh menentukan berapakah jumlah yang anda perlukan untuk bersara dengan selesa. Selain dari itu, tempoh masa pelaburan juga boleh disesuaikan dengan kedudukan anda. ASM Investment Services Berhad bersedia memberikan panduan kepada anda dalam merangka pelan perancangan kewangan dan pelaburan untuk persaraan yang sesuai dengan anda supaya anda boleh bersara dengan kedudukan kewangan yang selesa.

 
 

NOTA KEPADA PELABUR

Sebelum melabur, anda dinasihatkan membaca dan memahami isi kandungan Prospektus Induk bertarikh 28 April 2007 yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Permohonan untuk membeli apa-apa terbitan unit yang dimaksudkan oleh Prospektus Induk tersebut hanya akan dibuat atas penerimaan borang permohonan yang disebut dalam dan yang disertakan dengan naskah Prospektus Induk tersebut.

Prospektus Induk tersebut boleh didapati daripada ejen-ejen kami yang diiktiraf atau Pejabat-pejabat ASM Investment yang berdekatan.

Anda juga diingatkan supaya mengambil kira fi dan caj-caj yang dikenakan manakala harga unit dan pengagihan pendapatan (jika ada), mungkin turun atau naik.

Perlu diingatkan bahawa prestasi dana yang lalu bukan petunjuk atau gambaran prestasi masa depan.

 

 

Untuk maklumat lanjut dan sesalinan Prospektus Induk atau mana-mana artikel yang disiarkan di ruangan ini, sila hubungi:

Tel :
(03) 4041-7199

Faks :
(03) 4042-6511

E-mail : asmis@asmb.com.my